Saturday, November 21, 2009

Umrah - 1 minggu sebelum melaksanakan Umrah

60 Tip & Manual Pelaksanaan SATU MINGGU SEBELUM BERLEPAS

1. Hubungi pihak agensi pengendali Umrah anda dari semasa ke semasa untuk memastikan urusan berkaitan dengan ibadah anda itu berjalan lancar mengikut perancangan saperti kelulusan visa Umrah, kesahan jadual penerbangan, tempahan hotel dan penginapan, jadual perjalanan dan perziarahan serta pengahihan bilik-bilk penginapan.

2. Jangan bimbang dan gusar dengan merasakan perbuatan anda yang banyak bertanya dan mengambil tahu itu akan disalah tafsirkan oleh pihak agensi sebagai terlalu cerewet atau kaki sibuk kerana anda berhak untuk tahu kedudukan sebenar tentang program anda itu.

3. Anda membayar untuk perkhidmatan mereka dan bayarannya pula bukannya murah. Mereka berkewajipan untuk memberitahu setiap pelanggan mereka maklumat serta kedudukan yang sebenar terhadap setiap perancangan yang mereka lakukan itu.

4. Mula menyediakan barang-barang keperluan yang bakal di bawa ke tanah suci kelak. Anda harus bijaksana dalam membawa barang-barang keperluan tersebut kerana dikhuatiri anda akan membawa bebanan yang tidak perlu dan sia-sia. Perlu diketahui bahawa had maksima bagi penerbangan pergi ialah 20 kilogram sahaja manakala dalam penerbangan balik had berat maksima bagi sesuatu barangan atau bagasi tidak boleh melebihi 30 kilogram. Perlu juga diakuri bahawa setiap lebihan kilo akan dikenakan penalti setiap kilogram.

5. Sediakan sebuah beg besar untuk mengisi barang-barang keperluan saperti sepasang telekong (bagi wanita), dua pasang tuala ihram (bagi lelaki), dua pasang pakaian untuk bersolat, dua pasang pakaian untuk bersiar-siar serta dua pasang pakaian untuk tidur dan dua pasang selipar.

6. Jangan membawa lebih daripada itu kerana ia akan memakan ruang dan mejejaskan had berat untuk bagasi penerbangan balik nanti. Adalah lebih bijak sekiranya ruangan dan had berat itu di khususkan untuk membeli cenderahati saperti pakaian, sejadah, buah kurma, kismis dan seumpamanya yang amat murah di tanah suci. Tambahan pula urusan membasuh serta menyidai pakaian ada disediakan di setiap tempat penginapan. Lagi pun harga untuk upah dobi (mencuci serta menggosok) pakaian juga amat berpatutan dan murah.

7. Gunakan beg galas yang dibekalkan oleh pihak agensi untuk membawa peralatan perlu di dalam perjalanan seperti berus dan ubat gigi, ubat-ubatan serta makan-makanan. Tidak perlu membeli beg galas yang lain kerana beg galas yang dibekalkan oleh pihak agensi lengkap dengan lambang serta logo agensi lebih relevan untuk digunakan dan boleh menjadi tanda pengenalan sekiranya ditakdirkan anda terpisah daripada kumpulan atau beg berkenaan tercicir atau tersalah ambil oleh jemaah lain.

8. Beg galas ini boleh di bawa ke dalam pesawat sebagai bagasi kabin atau ‘hand luggage’. Tiada had berat yang khusus bagi beg ini tetapi dinasihatkan supaya tidak melebihi 10 kilogram untuk memastikan supaya ia tidak menjadi bebanan kepada anda sewaktu membawanya menaiki dan menuruni pesawat kelak terutama sekiranya penerbangan anda itu terpaksa berhenti untuk transit atau persinggahan sementara.

9. Tulis nama, alamat lengkap dan nombor anda pada setiap beg berkenaan. Peraturan ini amat perlu dipatuhi bagi memastikan beg-beg tersebut mudah dikenali, tidak tersalah ambil dan mudah diserahkan kepada pemiliknya sekiranya tercicir atau tersalah letak sewaktu penerbangan kelak. Sila tulis dengan terang menggunakan pen marker serta mudah dibaca oleh pihak-pihak yang berkaitan.

10. Beri satu penanda khusus saperti gumpalan riben berwarna atau roset berbentuk gubahan bunga daripada tali raffia atau riben kertas berwarna dan ikatkan pada cangkuk pengangkat beg berkenaan. Ini bertujuan untuk memudahkan anda mengenali beg anda itu terutama sewaktu proses pengutipan bagasi di lapangan terbang.

11. Sila bawa tali guni, pita pelekat, pen marker dan seumpamanya untuk di gunakan bagi mengikat kotak-kotak berisi kurma, kismis, buku-buku dan sebagainya untuk di bawa balik kelak. Lazimnya benda-benda ini banyak didapati di tanah suci namun kualitinya tidak berapa baik berbanding dengan bahan yang terdapat di tanah air kita. Tali guni yang terdapat di tanah suci sebaliknya mereka menjual tali pengikat jenis nylon yang licin dan mudah terungkai apabila diikat.

12. Ikatan pada kotak serta beg-beg besar anda itu perlu kuat dan kukuh bagi memastikan ia tidak mudah putus atau pecah di sepanjang perjalanan yang amat lasak itu. Mengikut pengalaman, petugas-petugas yang menguruskan setiap barangan serta bagasi anda itu tidak begitu ‘mesra pelanggan’ dan kekasaran tindakan mereka itu boleh menyebabkan beg atau bagasi anda pecah atau terburai. Jesteru, anda memerlukan beg yang tahan lasak serta ikatan yang kuat dan kukuh.

13. Laksanakan niat dan hajat untuk mengadakan kenduri kesyukuran dalam minggu ini. Sebaik-baiknya kenduri tersebut janganlah menjejaskan bajet dan kedudukan kewangan anda dan juga janganlah menyebabkan anda penat dan tergugat kesihatan diri serta kestabilan emosi dan perasaan anda.

14. Perlu difahami bahawa mengadakan kenduri kesyukuran sebenarnya tidak disyariatkan dalam urusan ibadah Umrah dan tidak pula menjadi suatu kesalahan atau kehinaan sekiranya tidak dilakukan. Sebaliknya ia boleh bertukar menjadi suatu fitnah dan prasangka buruk oleh pihak yang cemburu serta tidak serasi atau sealiran dengan anda dimana mereka akan menggap kenduri untuk mengerjakan Umrah itu sebagai riak dan usaha untuk menunjuk kekayaan atau kebaikan diri.

15. Bagi mengatasi masaalah fitnah dan prejudis berkenaan, disyorkan supaya anda melaksanakan hajat dan hasrat berkenaan di masjid atau surau tanpa pengetahuan sesiapa. Serahkanlah wang dan tanggungjawab tersebut kepada ahli jawatankuasa surau atau masjid untuk melaksanakannya bagi pihak anda kerana Allah Maha Mengetahui setiap niat itu meskipun tidak dizahirkan melalui kata-kata atau ungkapan.

16. Sahkan wakil penjaga bagi anak-anak serta harta benda saperti rumah, kereta dan sebagainya sama ada dari kalangan saudara mara atau sahabat handai terdekat sepanjang berada di tanah suci bagi menyempurnakan ibadah Umrah anda itu.

17. Pasrahi hati dan keyakinan diri serta berikan sepenuh keprcayaan kepada wakil yang telah diamanahkan itu kerana Umrah yang Berjaya memerlukan ketenangan jiwa serta penyerahan diri yang mutlak dan tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT.

18. Wakil amanah yang dilantik itu perlu dimaklumkan tentang apa jua tanggungjawab yang anda kehendaki untuk dilaksanakan supaya ia mengetahui apa kehendak serta pengharapan anda kepadanya. Lafazkan akad penyerahan dan penerimaan tanggungjawab agar ia menjadi sesuatu yang sah dan perlu diberikan sepenuh perhatian atau tumpuan.

19. Tinggalkan wasiat secara bertulis tentang apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh wakil amanah yang dilantik itu sekiranya berlaku kematian di tanah suci kerana ajal dan maut tidak dapat diramalkan dan tiada sesiapa yang mengetahui bila, di mana atau bagaimana ia akan berlaku.

20. Tarbiah anak yang bakal ditinggalkan supaya mereka tidak berasa kecil hati atau tersinggung perasaan keana tidak dibawa bersama. Tegas dan nyatakan kepada mereka bahawa pemergian itu adalah sebahagian daripada tuntuan ibadah dan syariat Allah SWT yang difardukan-Nya ke atas setiap orang dewasa yang telah berkemampuan manakala kanak-kanak belum lagi dituntut berbuat demikian.

21. Tegaskan juga bahawa sebaik-baiknya ibadah Umrah ini wajib dilaksanakan wang hasil daripada usaha dan titik peluh sendiri setelah mereka dewasa kelak. Semoga dengan alasan dan rasional anda itu mereka akan pasrah dan redha serta mendoakan pemergian anda ke tanah suci berkenaan. Jika tidak mereka akan mendengus dan merajuk di atas apa yang mereka anggap sebagai suatu ketidakadilan anda terhadap mereka.

22. Mantapkan lagi pemikiran minda serta kepasrahan niat dan ketulusan matlamat anda menunaikan ibadah Umrah itu dengan meningkatkan lagi amalan solat sunat tahajjud, tasbih, taubat dan hajat anda supaya amalan berkenaan boleh menjadi dinding atau benteng yang kebal dan kalis daripada tipu daya dan muslihat berhelah iblis dan syaitan.

23. Perlu diinsafi bahawa sesungguhnya makhluk terlaknat itu amat terkenal dengan kegigihan serta semangat tidak mudah menyerah kalah dan berputus asa. Mereka akan menggemblengkan sepenuh tenaga dan usaha dalam jangka masa satu minggu sebelum berangkat ini untuk merangka strategi dan melaksanakan pelan tindakan yang paling dinamik bagi menggagalkan hasrat suci anda itu.

24. Pohonkan dengan setulus hati dan sekujur perasaan dalam solat hajat berkenaan agar anda terhindar daripada segala pujuk rayu dan tipu daya iblis dan syaitan itu. Pohonkan juga agar Allah tidak mendatangkan sebarang musibah yang boleh membantut serta menggagalkan hasrat murni anda itu.

25. Pasrahi hati, jiwa dan perasaan anda dengan zikir-zikir yang boleh mencetuskan keyakinan serta kesepaduan minda anda dalam menyerahkan diri serta kebergantungan anda kepada Allah SWT. Kepasrahan tersebut mampu menolak atau menepis tusukan panah beracun iblis dan syaitan yang akan menimbulkan serta menyuntikkan rasa gelisah, was-was, ragu-ragu, bimbang dan seumpamanya dalam diri, minda serta jiwa raga anda.

26. Tentang serta lawan habis-habisan perasaan dan pemikiran melalut dan beraneka andaian negri dan trajis yang sengaja diada-adakan oleh iblis dan syaitan bagi memporak-perandakan kestabilan minda, jiwa, emosi dan perasaan anda.

27. Serahkan diri dan keyakinan anda secara total kepada qada’ dan qadar Allah SWT. Yakini maksud hadith yang menyebutkan bahawa setiap jemaah Umrah itu adalah TETAMU ALLAH dan setiap doa mereka akan dimakbulkan oleh-Nya. Sehubungan itu banyakkan berdoa serta ikhlaskan hati sekujurnya ketika melampiaskan doa dan harapan tersebut.

28. Mantapkan amalan solat berjemaah hingga menjadi suatu keresahan dan kerinduan jika terlepas dan menjadi suatu kenikmatan yang tiada terhingga sekiranya Berjaya dilaksanakan sebanyak lima kali sehari semalam itu.

29. Konsep berjemaah ini amat penting dibudayakan pada diri para peserta bakal-bakal jemaah Umrah kerana ia adalah teras utama kepada ibadah Umrah atau Haji bukan sahaja dalam aspek solat tetapi juga dalam aspek lain saperti berkongsi bilik penginapan, tandas, bilik air, maka minum juga sewaktu berziarah dan seumpamanya.

30. Cekalkan diri dalam apa jua majlis yang melibatkan suasana berjemaah kerana kebiasaan dan kecekalan terhadap suasana dan cabaran itu akan memudhakan anda bercampur aduk dalam kelompok jemaah yang lebih besar saperti dalam Masjidil Haram yang sentiasa padat dan penuh sesak itu serta tidak canggung atau kekok menghadapi suasana berhimpit-himpit, berasak-asakan serta bertolakan semasa menunaikan ibadah tawaf dan saie itu kelak.

31. Suburkan lagi kecintaan dan kerinduan anda kepada tempat-tempat yang bakal anda ziarahi saperti baitullah atau Kaaba, Masjidil haram, Masjid Nabawi, Makam Rasulullah, Raudhah, Hajar Aswad, Makam Ibrahim, Padang Arafah dan sebagainya lagi itu sehingga mampu mewujudkan perasaan ghairah, teruja serta tidak sabar untuk menghadirkan diri padanya atau menjejakkan kaki ke tempat-tempat tersebut.

32. Renungi gambar atau visual tempat-tempat berkenaan menerusi poster-poster yang dijadikan perhiasan dinding rumah serta rakaman video yang memaparkan visual tempat-tempat berkenaan sehingga terbawa-bawa dalam mimpi di malam hari serta mengigau sewaktu tidur di siang hari.

33. Buat senarai tugas serta sasaran-sasaran aktiviti yang bakal anda laksanakan sepanjang berada di tanah suci berkenaan saperti berapa kali atau berapa kerap kita melakukan qiamullail, solat sunat tahajjud, tasbih, taubat dan hajat serta berdoa di Multazam, dalam Hijir Ismail di belakang Hajar Aswad, melakukan Umrah sunat, tawaf sunat, membaca Quran, menghafal surah serta bersedekah kepada fakir miskan sepanjang berada di tanah suci kelak.

34. Senarai semak dan sasaran tugas ini amat penting diputuskan dalam tempoh satu minggu sebelum berangkat ke tanah suci itu bagi memastikan ibadah Umrah yang bakal anda laksanakan itu penuh dengan pengisian serta aktiviti yang berfaedah serta dapat mengelakkan diri anda daripada hanyut dalam kelalaian serta kelekaan yang tidak menguntungkan.

35. Mantapkan serta mahirkan diri anda dengan solat jama’ dan qasar secara taqdim atau ta’khit serta solat menghormati waktu yang amat diperlukan sepanjang waktu dalam perjalanan dan semasa menunaikan ibadah Umrah berkenaan.

36. Fahami setiap hukum-hakam serta tatacara pelaksanaannya agar solat tersebut menepati segala syariat dan tuntutan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT itu. Jangan biarkan kejahilan serta kemalasan untuk belajar dan mengambil tahu itu meranapkan pahala serta kesahan solat yang anda dirikan.

37. Mantapkan juga kemahiran anda tentang solat jenazah kerana saban waktu pada setiap solat fardhu sama ada di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi anda akan bertemu dengan solat jenazah. Amatlah rugi sekiranya kesempatan yang Allah bukakan untuk kita mendapat pahala yang berlipat kali ganda itu anda sia-siakan akibat kejahilan dan kebodohan sendiri.

38. Tanamkan azam dan tekad untuk menunaikan solat jenazah tersebut sebaik-baiknya kerana solat berkenaan dapat mendidik jiwa anda mengingati kematian yang pasti menjenguk setiap insan dan makhluk yang bernyawa di dunia ini.

39. Pelihara jasmani atau fizikal diri anda daripada terdedah kepada kesakitan atau kecederaan dengan tidak melakukan kerja-kerja yang berat dan berisiko tinggi saperti mencangkul tanah, memikul atau mengankat bebanan yang berat, memanjat menggunakan tangga untuk membaiki bumbung rumah yang bocor serta menyabit rumput atau memotong pepohonan di halaman menggunakan pisau atau peralatan yang tajam.

40. Kerja-kerja tersebut boleh mendedahkan diri kepada kecederaan dan kemalangan yang mampu membantutkan hasrat dan niat untuk menyempurnakan ibadah Umrah berkenaan. Sekiranya perlu atau terdesak sangat upahkan kerja-kerja tersebut kepada pihak yang mahir dan professional dalam bidang berkenaan.

41. Tangguhkan penglibatan anda dalam permainan yang menggunakan kudrat dan tenaga yang berprofil tinggi serta berpotensi menjerumuskan anda kepada kecederaan dan kemalangan saperti bolasepak, hoki, badminton, berjogging di kawasan yang tidak rata atau berlubang, berlari di atas simen yang basah serta lalai dan leka sewaktu menaiki dan menuruni tangga, menyeberangi jalan raya dan seumpamanya.

42. Elakkan diri anda dari mengembara dan memandu kenderaan ke destinasi destinasi yang jauh untuk mengunjungi saudara mara atau sahabat handai kerana perjalanan yang jauh serta pemanduan yang lama akan mendedahkan diri anda kepada kemalangan-kemalangan yang boleh menyebabkan kecederaan yang serius dan seterusny boleh menjejaskan peluang anda untuk menunaikan ibadah Umrah berkenaan.

43. Akui hakikat bahawa sebarang kecederaan dan kesakitan walau pun ringan saperti terseliuh kaki atau tangan, luka-luka kecil atau bengkak-bengkak boleh menjejaskan reputasi serta prestasi dan tumpuan peribadahan Umrah anda itu.

44. Sebaik-baiknya dalam jangka waktu ini biarlah saudara mara yang datang menziarahi anda dan bukannya anda pergi menziarahi mereka.

45. Ambil cuti dalam jangka waktu satu minggu sebelum melaksanakan ibadah Umrah ini bagi merehatkan otak serta fikiran di samping membuat persiapan terakhir saperti menghafal doa-doa, membaca nota-nota yang perlu dan penting yang berkaitan dengan rukun, wajib serta sunat-sunat Umrah serta tatacara komprehensif mengerjakan ibadah Umrah berkenaan.

46. Jangan berasa rugi untuk bercuti ini krana ia amat perlu untuk melupakan sejenak serta membebaskan diri daripada belenggu alam pekerjaan serta tanggung jawab tugasan yang tidak kungjung putus atau habis itu. Cuti ini juga member peluang kepada anda untuk membentuk serta membina suatu perasaan atau momentum yang betul serta dapat menjana tumpuan yang bakal menggamit kekhusyukan serta kesyahduan ibadah Umrah yang bakal anda kerjakan.

47. Tangguhkan kerja-kerja yang memerlukan tumpuan, pena’akulan, penelitian serta pemikiran aktif dan kreatif menggunakan computer dan internet kerana kerja-kerja ini akan memenatkan otak dan menyerabutkan fikiran. Fenomena serta gejala ini juga boleh menghakis keghairahan anda untuk beribadah serta menumpulkan minda, emosi dan penghayatan untuk mengerjakan Umrah yang berkualiti dan terbaik.

48. Elakkan terus daripada menonton siri serta tayangan televisyen yang memaparkan adegan-adegan yang mengghairahkan, merangsang serta meneruja nafsu dan syahwat anda dalam minggu ini.

49. Elakkan juga sepenuhnya aktiviti mendengar muzik serta nyanyian yang mengasyikkan sehingga anda terlupa dan terleka dengan tugasan suci yang sedang menunggu anda tidak berapa lama lagi itu. Kedua-dua factor ini bakal menjadi virus yang boleh meracuni kesyahduan dan kesenduan ibadah Umrah yang bakal; anda persembahkan untuk penilaian Allah SWT itu.

50. Akui hakikat bahawa kedua-dua factor itu adalah wadah dan wahana yang paling dinamik dan berkesan bagi iblis dan syaitan untuk merobek-robek serta memporak-perandakan visi serta misi suci yang ingin anda realisasikan itu.

51. Sebagai alternatifnya gantikan dengan menonton VCD, DVD yang berkaitan dengan ibadah Umrah atau Haji itu meskipun VCD, DVD tersebut telah kita tonton berulang kali. Ketahuilah bahawa tontonan berulang kali itu akan memantapkan kefahaman serta mam pu menggamit penghayatan dan keseronokan.

52. Gantikan amalan mendengar muzik rancak itu dengan menghayati rakaman surah-surah Al-Quran oleh para Qari yang tersohor atau nasyid-nasyid masa kini yang amat bermutu serta mempunyai lirik serta mesej yang dapat meneruja keimanan dan ketaqwaan anda kepada Allah SWT.

53. Elakkan diri daripada terdedah kepada terjahan cuaca saperti panas, sejuk, hujan dan embun, serta amalan berjaga hingga larut malam, kurang tidur, tidur berlebihan dan seumpamanya kerana fenomena ini boleh mengakibatkan anda dihinggapi selsema, demam, batuk, mengantuk serta letih dan tiada bermaya.

54. Bila gejala ini menimpa anda di saat-saat anda akan berangkat untuk memulakan kembara suci yang amat memerlukan keperkasaan jiwa raga serta keampuhan kesihatan dan jati diri itu maka sudah hampir pasti anda tidak akan mampu menghasilkan persembahan yang terbaik untuk dinilai oleh Allah SWT.

55. Jaga dan kawal mutu dan jenis pemakanan anda dalam jangka waktu ini agar anda terhindar daripada penyakit atau masaalah-masaalah yang mengganggu keharmonian serta keselesaan perut dan usus anda. Masaalah-masaalah ini juga boleh menjadi factor yang menjejaskan semangat dan kekhusyukan kembara suci serta ibadah Umrah yang bakal anda kerjakan.

56. Elakkan daripada memakan makanan yang telah sejuk dan hamper basi, makanan yang terdedah kepada habuk, lalat atau semut, makanan yang terlalu pedas disebabkan penggunaan terlalu banyak cili serta rempah ratus serta minuman berais dan berkabonat yang boleh menyebabkan cirit birit, pedih hati, perut memulas, batuk, lelah dan seumpamanya pada jangka waktu satu minggu sebelum berangkat ini.

57. Gunakan sepenuh kesempatan satu minggu sebelum berlepas ke tanah suci itu untuk memohon keampunan daripada kedua ibu bapa, sahabat handai serta sanak saudara atas apa jua kesalahan yang telah dilakukan secara tidak sedar atau separa sedar. Anda semua amat beruntung kerana dalam era alam siber ini anda boleh berhubung dan berinteraksi dengan begitu mudah melalui alat komunikasi yang canggih dan sofistikated saperti telefon bimbit, internet dan menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) yang tidak memerlukan anda berhadapan dengan pelanggan anda itu.

58. Lengakapi juga telefon bimbit anda itu dengan kemudahan liputan antara bangsa (international roaming service) bagi memudahkan anda berhubung dengan anak pinak, saudara mara serta sahabat handai di tanah air untuk saling bertanya kahbar dan saling mengetahui keadaan satu sama lain sepanjang berada di tanah suci kelak.

59. Pastikan anda telah menukar sebahagian wang anda kepada mata wang Saudi Riyal yang bakal digunakan sepanjang perjalanan. Anda memerlukan sekurang-kurang SR200 untuk kegunaan membeli makanan dan minuman atau apa jua keperluan dalam perjalanan sebelum tiba di destinasi terakhir.

60. Jumpa doktor yang selalu merawat penyakit anda serta dapatkan bekalan ubat-ubatan yang bakal dibawa bersama ke tanah suci kelak. Dapatkan juga surat pengesahan daripada dockor berkenaan terhadap jenis ubat yang dibekalkan itu agar tidak mendatangkan masaalah apabila berhadapan dengan pihak kastam dan eksais Arab Saudi kelak.

3 comments: