Sunday, November 8, 2009

Aturcara 12 hari / 10 malam - Pakej Umrah Biasa

Salam semua,

Berikut adalah aturcara am untuk Umrah Biasa 12 hari. Semua jemaah akan melalui aturcara yang hampir serupa dan tidak jauh bezanya kecuali tempat mendarat either di Jeddah atau di Madinah,jumlah hari dan juga masa yang bersesuaian dengan pakej yang di tempah.

HARI 01 :: KUALA LUMPUR - MADINAH
Jemaah diminta berkumpul di KLIA 3 jam sebelum masa berlepas. Pasport, tiket dan boarding pass akan diserah kepada jemaah untuk bertolak ke Madinah. Setibanya di Jeddah/Madinah, jemaah akan disambut oleh mutawwif dan pegawai umrah Madinah/Makkah untuk dibawa menaiki bas ke hotel yang ditetapkan.

HARI 02 :: MADINAH (ZIARAH DALAM)
Selepas sarapan, jam 7.00 pagi jemaah diminta berkumpul di lobi hotel untuk menziarahi Makam Rasulullah dan para sahabat, Raudhah dan perkuburan Baqi’. Selesai ziarah, jemaah bebas untuk beribadat di Masjid Nabawi. Kelebihan bersolat di Masjid Nabawi ; sabda Rasulullah s.a.w :

“Pahala sembahyang di Masjidku ini adalah seribu kali lebih baik daripada sembahyang di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram”

HARI 03 :: MADINAH (ZIARAH LUAR)
Jam 3.30 pagi jemaah dinasihatkan bangun untuk sembahyang subuh di Masjid Nabawi. Jam 7.00 pagi jemaah diminta berkumpul dilobi hotel untuk menziarahi tempat-tempat bersejarah di Madinah seperti Masjid Quba, Masjid Tujuh, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan bazaar kurma. Selepas itu jemaah bebas beribadat.

ZIARAH PILIHAN DI MADINAH

A. Penemuan baru - Bayaran tambahan SR20, Masjid Tikar, Gua Uhud dan Lapangan Magnet.

HARI 04 :: MADINAH - MAKKAH
Jam 3.30 pagi jemaah dinasihatkan bangun untuk sembahyang subuh di Masjid Nabawi. Kemudian jemaah diminta membuat ziarah wida’ di makam Rasulullah s.a.w sebelum berangkat ke Makkah (menaiki bas), jemaah dinasihatkan mandi sunat ihram dan berpakaian ihram terlebih dahulu (tanpa niat ihram). Jemaah akan singgah di Bir Ali untuk bermiqat (berniat ihram umrah) yang dibantu oleh mutawwif. Setibanya di Makkah jemaah akan mendaftar di tempat penginapan. Kemudian jemaah akan dibawa oleh mutawwif untuk menyempurnakan ibadat umrah iaitu tawaf Baitullah, sa’i dan tahlul. Selesai umrah, jemaah bebas untuk beribadah di dalam Masjidil Haram.

HARI 05 :: MAKKAH
Jam 4.00 pagi jemaah dinasihatkan bangun untuk sembahyang subuh di Masjidil Haram. Selepas sarapan jam 7.00 pagi jemaah diminta berkumpul di lobi hotel untuk melawat sekitar Masjidil Haram seperti Bukit Abi Kubis, tapak rumah Abu Bakar, tapak rumah Saidina Omar, tapak rumah Siti Khatijah ( Isteri Nabi ), Tapak rumah Abu Lahab, Rumah kelahiran Nabi Muhammad, Masjid Jin ( tempat Nabi Muhammad berdakwah pada golongan Jin), Masjid Syajarah (pokok yang datang bertemu Nabi ), Perkuburan Ma’ala (tempat Siti Khatijah dikebumikan) dan Pasar zink untuk melihat kawasan membeli belah. Seterusnya, jemaah bebas untuk beribadat.

Ceramah agama diadakan sama ada selepas Asar atau selepas Isya’ di dewan makan hotel.

HARI 06 :: MAKKAH
Jam 4.00 pagi jemaah dinasihatkan bangun untuk sembahyang subuh di Masjidil Haram. Jam 7.00 pagi jemaah diminta berkumpul di lobi hotel untuk menziarahi tempat-tempat bersejarah di Makkah seperti Jabal Thur, Arafah, Jabal Rahmah, Jabal Nur, Muzdalifah dan Mina (tempat melontar seperti Jamratul Aqabah, Ula dan Wusta). Jemaah akan dibawa ke Ja’ranah untuk bermiqat dan seterusnya kembali ke Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah. Seterusnya, jemaah bebas untuk beribadat.

HARI 07 :: MAKKAH
Jam 4.00 pagi jemaah dinasihatkan bangun untuk sembahyang subuh di Masjidil Haram. Jam 7.00 pagi jemaah diminta berkumpul di lobi hotel, jemaah akan dibawa ke Tanaim (Masjid Saidatina Aishah) untuk bermiqat (niat mengerjakan umrah) dan seterusnya kembali ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan ibadat umrah dan seterusnya jemaah bebas untuk beribadat di Masjidil Haram dan ziarah di kawasan sekitar yang berhampiran.

HARI 08 - 10 : MAKKAH
Jemaah bebas mengisi masa lapang dengan perbanyakkan ibadah di Masjidil Haram. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :

“Pada Ka’abah itu ada 120 rahmat kepada pengunjungnya pada setiap hari, iaitu 60 untuk Tawaf, 40 untuk Solat Sunat dan 20 untuk melihat Ka’abah.”

ZIARAH PILIHAN JEMAAH
A. Jemaah akan dibawa ke Hudaibiyah untuk melawat ladang unta dan tempat bersejarah di sekitar Hudaibiyah (Syumaisi) termasuk perigi Saidina Othman dan seterusnya bermiqat (berniat ihram umrah) kemudian kembali ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan rukun umrah. Sekiranya mendapat keizinan daripada pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi jemaah akan dibawa melawat ke muzium 2 Masjid (Masjid Nabawi & Masjidil Haram) dan Kiswah (kilang kelambu ka’abah) sebelum balik ke Masjidil Haram. Insya’Allah….

(Perhatian: Lawatan ini tidak termasuk di dalam harga pakej, sekiranya ingin pergi jemaah boleh berunding dengan ketua rombongan sebelum hari yang keenam dengan perbelanjaan tambahan SR30 seorang)

B. Sekiranya ada permintaan jemaah akan dibawa mendaki Jabal Nur melihat Gua Hera’ tempat Nabi menerima wahyu yang pertama pada waktu malam selepas Isha’. (perbelanjaan tambahan SR15 seorang. Jemaah mesti mempunyai kesihatan yang baik untuk mendaki)

HARI 11 - 12 :: MAKKAH - JEDDAH - KUALA LUMPUR
Jemaah dinasihatkan menyempurnakan tawaf wida sebelum meninggalkan Makkah. Jemaah kemudiannya akan dibawa kelapangan terbang Jeddah untuk penerbangan ke KLIA. Jemaah dijangka tiba mengikut jadual yang ditetapkan.

Semoga anda selamat tiba ke tanah air dengan Umrah yang maqbullah. Ameen.

No comments:

Post a Comment