Sunday, December 6, 2009

Hukum Haram Makkah



Tanah Haram Makkah mempunyai keistimewaan yang tersendiri sebagaimana yang telah disebut dalam hadis di atas. Di bawah ini pula akan disebut beberapa hokum yang dikhususkan kepada Makkah secara ringkas, antaranya:







1. Tidak boleh memasuki Makkah bagi mereka yang ingin melakukan haji atau umrah kecuali dengan berihram.

Rasulullah s.a.w. telah menetapkan miqat (tempat niat ihram haji dan umrah) bagi setiap penjuru jalan menuju ke makkah kemudian Baginda bersabda.
*Maksudnya: “semua miqat (yang telah ditentukan itu) bagi penduduk kawasan itu dan mereka yang melalui kawasan tersebut daripada kalangan yang bukan penduduknya yang ingin melakukan haji atau umrah.”

Sesiapa yang melintasi miqat dengan tidak berihram hukumnya berdosa dan dikenakan membayar dam (denda).

Sebaliknya boleh memasuki Makkah dengan tidak berihram jika seseorang itu masuk dengan tujuan lain (bukan haji atau umrah).”

2. Tidak boleh menebang / memotong tumbuh-tumbuhan.

Ulama telah bersepakat (ijmak) bahawa haram memotong tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram yang tumbuh dengan sendiri, tetapi boleh memotong tanaman yang ditanam oleh manusia. Demikian juga boleh melepaskan binatang ternakan memakan rumput di Tanah Haram.

Menurut Imam Malik, sesiapa yang melakukannya adalah berdosa, mesti beristighfar tetapi tidak dikenakan sebarang fidyah (denda). Imam Abu Hanifah pula mengatakan dia dikenakan bayaran fidyah mengikut harganya.

Imam al-Syafi’I dan Ahmad mengatakan dikenakan fidyah (denda), bagi sebatang pokok besar iaitu seekor lembu, yang kecil seekor kambing dan rumput pula dikira dengan harganya.

3. Tidak boleh membunuh binatang perburuan.

Ulama telah bersepakat mengatakan haram bagi orang yang berada dalam ihram dan orang yang tidak berihram menangkap serta membunuh binatang perburuan yang hidup bebas (bukan dipelihara oleh sesiapa) di Tanah Haram.

Sesiapa yang membunuhnya, menurut jumhur (kebanyakan) ulama akan dikenakan balasan (jaza’)sama saperti hukuman orang yang sedang berihram membunuh binatang perburuan di semua tempat. Setiap binatang dinilai mengikut jenis dan saiz binatang yang seumpama dengannya. Kalau tidak ada yang seumpama dengannya maka ia dinilai dengan harganya.

Ada juga beberapa jenis binatang yang dibenarkan untuk membunuhnya di Tanah Haram dan semasa berihram, antaranya ialah burung gagak, helang, kala jengking, tikus, anjing garang, ular, binatang buas, serigala dan burung reng pemakan bangkai.
Untuk keterangan lanjut sila rujuk kitab-kitab haji, bab larangan semasa ihram. Wallahu a’lam.

4. Orang kafir tidak dibenarkan memasuki Tanah Haram.

Ulama bersepakat mengatakan orang kafir tidak boleh menjadi penduduk tetap di Tanah Haram Makkah. Adapun memasukinya untuk sesuatu urusan, menurut pendapat mejoriti (jumhur) ulama, adalah tidak harus.

Dalilnya ialah firman Allah s.w.t. yang *bermaksud: Wahai orang yang beriman, sesungguhnya orang musyrik (kafir) itu najis (jiwa mereka kotor kerana mempersekutukan Allah), maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam selepas tahun ini (9 Hijrah).

Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan Sayidinia Abu Bakar al-Siddiq r.a. pada musim haji pada tahun ke-9 Hijrah agar mengisytiharkan bahawa ayat yang *bermaksud: “Orang kafir tidak boleh lagi dating mengerjakan haji selepas tahun ini, dan tidak boleh melakukan tawaf di baitullah dengan tidak berpakaian.

Kata al-Hafiz Ibn Hajar r.h.: “Ayat di atas jelas melarang orang musyrik daripada memasuki Masjidilharam walaupun bukan dengan tujuan untuk mengerjakan haji. Oleh sebab haj merupakan tujuan yang besar mereka yang dating ke makkah disebut larangan daripada melakukannya, maka dengan itu larangan memasukinya dengan tujuan yang lain adalah lebih kuat lagi. Maksud Masjidilharam dalam ayat ini ialah Tanah Haram seluruhnya.

5. 100,000 pahala untuk mereka yang bersolat di Makkah.

Jumhur (kebanyakan) ulama mengatakan pahala solat 100,000 di Makkah adalah untuk Tanah Haram seluruhnya.

Ada ulama yang berpendapat 100,000 pahala hanya dikhususkan kepada solat di Masjidilharam (Masjid Kaabah) sahaja. Namun, solat di Tanah Haram lebih afdal daripada solat di tanah halal kerana ia merupakan tempat terawal dibina untuk beribadat, ramainya bilangan ahli jemaah dan telah disepakati oleh ulama akan pahala yang berganda di tempat ini dengan tidak ada keraguan lagi. Pendapat ini dipersetujui oleh Syeikh Ibn Uthamin r.hm.

Lima waktu yang dilarang melakukan solat sunat Mutlak, kecuali di Masjidilharam.
- Selepas solat Subuh hingga naik matahari.
- Ketika naik matahari hingga naik meninggi hingga sekadar 15 minit.
- Ketika matahari di tengah-tengah langit hingga tergelincir (masuk waktu Zuhur).
- Selepas solat Asar hingga terbenam matahari.
- Ketika matahari hampit terbenam hingga terbenam sepebuhnya.


6. Boleh solat pada bila-bila masa di Makkah.

Imam al-Syafi’I dan Ahmad r.hm berpendapat boleh melakukan solat sunat dan tawaf pada bila-bila masa di Makkah tidak ada waktu yang dilarang, berbeza dengan tempat lain yang mempunyai waktu yang dilarang, berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang *bermaksud: Daripada Jubair bin Muth’im berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Bani Abdi Manaf, jangan kamu tegah seseorang daripada melakukan tawaf di Baitullah dan bersolat pada mana-mana waktu yang dikehendakinya, malam atau siang.”

Imam Abu Hanifah (al-Nu’man bin Thabit) dan Imam Malik r.hm pula berpendapat tidak ada beza antara Makkah dengan tempat-tempat lain. Larangan di atas adalah umum bagi semua tempat berdasarkan perbuatan Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a. Beliau melakukan tawaf selepas solat Subuh. Setelah itu beliau keluar dari Makkah dan berhenti di Zi Thuwa dan melakukan solat sunat Tawaf selepas naik matahari.

Ada yang mengatakan maksud hadis di atas (Bani Abdi Manaf) ialah khas untuk solat sunat Tawaf sahaja, wallahu a’lam.

Para jemaah haji dan umrah dinasihatkan agar melakukan amalan lain selain daripada solat; saperti tawaf, membaca Quran, berzikir dan beristighfar pada waktu tersebut, kecuali solat yang bersebab, seperti Tahiyyatul masjid, sunat Tawaf dan sebagainya.

7. Hukum melintasi orang yang sedang bersolat di Masjidilharam.

Haram melintas di hadapan orang yang sedang bersolat, kecuali di antara saf-saf solat di belakang imam.

Begitu juga dibolehkan sekiranya seseorang itu meletakkan sesuatu di hadapannya sebagai sekatan (sutrah) sempadan tempat solatnya, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang *bermaksud “Kalau seseorang itu tahu akan kesalahan melintas di hadapan orang yang sedang bersolat, nescaya dia berdiri menunggu (orang itu sehingga selesai solat) selama 40 (tahun, bulan atau hari) lebih baik baginya daripada melintas di hadapan orang yang sedang bersolat.

Menurut mazhab Imam al-Syafi’i, tidak ada beza antara Masjidilharam dengan masjid lain. Haram melintas di hadapan orang yang sedang bersolat pada semua masjid, berdasarkan umum hadis di atas, kecuali bagi orang yang melakukan tawaf. Boleh baginya melintasi orang yang bersolat di tempat laluannya kerana dharurah (terpaksa).

Menurut mazhab Hanbali, harus melintasi di hadapan orang yang sedang bersolat di Masjidilharam berdasarkan hadis: “Nabi s.a.w. bersolat berdekatan dengan Kaabah dengan tidak ada sekatan (sutrah). Kelihatan orang berjalan melintasi di hadapannya".

Menyekat orang daripada melintasinya merupakan suatu perkara yang menimbulkan masyyaqqah (kesusahan dan kepayahan).

Namun demikian, sebaik-baiknya elakkan seboleh mungkin daripada berjalan di hadapan orang yang sedang solat. Wallahu a’lam.

8. Tahiyyah (penghormatan) Kaabah ialah tawaf.

Tahiyyah semua masjid ialah dengan melakukan solat sunat Tahiyyatul masjid, manakala tahiyyah Kaabah ialah dengan melakukan tawaf. Tahiyyah Tanah Haram ialah dengan melakukan ihram haji atau umrah. Tahiyyah Mina pula ialah melontar.

Menurut Imam al-Nawawi, sesiapa yang memasuki Masjidilharam hendaklah terus melakukan tawaf, sama ada tawaf qudum (bagi mereka yang melakukan haji Ifrad) atau tawaf umrah, kecuali takut terlepas solat fardu atau sunah ratibah (qabliyah: sebelum solat) atau terlepas solat jemaah. Maka hendaklah dia laksanakan solat tersebut sebelum tawaf. Setelah selesai, barulah dilakukan tawaf. Begitu juga ketika hampir waktu solat, dilarang (orang perempuan khususnya) daripada melakukan tawaf, sebaliknya hendaklah melakukan solat sunat Tahiyyatul masjid.

9. Tidak menghadap atau membelakangi arah kiblat sewaktu membuang air.

Antara keistimewaan Makkah ialah haram menghadap ke arahnya, ataupun membelakanginya, ketika membuang air. Ayat yang *bermaksud: Daripada Abi Ayub al0Ansari berkata bahawa

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila kamu duduk untuk membuang air, janganlah kamu mendhadap kearah kiblat dan jangan pula membelakangibya, hadaplah kea rah Timur atau ke Barat.

Arahan menghadap kea rah timur dan barat ini khas untuk penduduk Madinah. Manakala di tempat lain seseorang itu perlu mengikut kedudukan negeri. Bagi kita di Malaysia misalnya, kea rah utara atau selatan. Apa yang penting ialah tidak menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya.

Perhatian: Setiap Muslim perlu berhati-hati sewaktu membina rumah. Pastikan kedudukan tandas tidak menghadap kea rah kiblat. Walaupun ulama mengatakan ia harus dalam bangunan yang tertutup, tetapi mengelak daripadanya adalah lebih baik.

10. Jika bernazar untuk solat di Baitul Maqdis, memadai dengan solat di Masjidilharam.

Sesiapa yang bernazar untuk melakukan solat di Masjid Aqsa atau Masjid Madinah, nazarnya terlepas dengan melakukan solat di Masjidilharam Makkah.

Ayat yang *bermaksud: Daripada Jabir bin Abdullah r.a. berkata: Seorang lelaki bangun berdiri pada hari pembukaan Kota Makkah sambil berkata: “Wahai Rasulullah, saya telah bernazar sekiranya Allah s.w.t. menolong tuan membuka Kota Makkah (daripada orang kafir) saya akan bersolat dua rakaat di batul Maqdis.” Sabda Nabi s.a.w.: “Solatlah di sini (Makkah).” Kemudian lelaki tersebut mengulanginya lagi. Sabda Nabi s.a.w.: “Solatlah di sini.” Lelaki tersebut mengulanginya sekali lagi. Rasulullah s.a.w. pun bersabda: “Terpulanglah kepada kamu.”

Demikian 10 perkara yang berhubung dengan hokum Tanah Haram Makkah yang dicatatkan bersama dalil-dalinya.

Beberapa hukum lagi tentang haram Makkah, sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Jalaluddin al-Sayuti r.hm.

1. Tidak boleh mengeluarkan tanah dan batu Tanah Haram daripadanya (menurut mahzab Syafi’I dan Hambali).
2. Makruh memasukkan tanag atau batu daripada luar ke Tanah Haram.
3. Tempat sembelih haiwan hadyu, dam atau fidyah hanya di Tanah Haram.
4. Tidak boleh mengambil barang-barang yang tercicir untuk dimiliki.
5. Ahli (penduduk) Makkah tidak dikenakan dam haji Qiran atau Tamattu’.
6. Ahli (penduduk) Makkah mesti berniat ihram haji di Makkah, tidak boleh keluar daripadanya.
7. Sunat mandi untuk memasuki kota Makkah, demikian juga untuk memasuki Madinah.
8. Berniat untuk melakikan ilhad (kejahatan) di Makkah sudah dikira salah.


Banyak lagi kelebihan atau hokum yang berhubung dengannya. Boleh rujuk kitab Imam Badruddin al-Zarkashi r.hm: I’lam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid. Beliau menyebutkan terdapat 125 masalah berhubung dengan adab memasuki Tanah Haram.

No comments:

Post a Comment