Tuesday, December 15, 2009

Fadhail zamzam dan beberapa hukum berkaitan zamzam



Nama-Nama Zamzam

Para ulama berkata bahawa antara tanda-tanda yang menunjukkan ketinggian sesuatu perkara ialah terdapat banyaknya nama dan sifat bagi perkara tersebut. Demikianlah keadaan air zamzam yang merupakan air yang terbaik dan termulia di atas muka bumi.
Zamzam mempunyai lebih daripada lima puluh nama. Antaranya ialah Zamzam, Barakah, Mubarakah, Barrah, Busyra, Tuktam, Maktumah, Haramiyyah, Hafirah Abdul Muttalib, Rakdhah Jibrail, Al-Rawa’, Sabiq, Salimah, Siqayah al-Haj, Sayyidah, Shabba’ah, Syarab al-Abrar, Syifa’ Suqmin, Sofiyah, Thahirah, Tha’am Thu’min dan lain-lain lagi.
Fadhail (kelebihan) Zamzam

Zamzam mempunyai keberkatan, kelebihan dan keistimewaan yang banyak, yang tidak terdapat pada air-air lain. Di bawah ini dinyatakan beberapa cirri keistimewaannya sebagaimana yang tersebut dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. Antaranya:

1. Merupakan air yang terbaik di atas muka bumi dan boleh menyembuhkan penyakit (dengan izin Allah s.w.t.)


Sabda Nabi s.a.w. yang *bermaksud: “Sebaik-baik air ada di muka ialah air zamzam. Terdapat di dalamnya zat makanan (orang yang meminumnya akan berasa kenyang seperti memakan makanan) dan penyembuh daripada penyakit.”

2. Zamzam diberkati dan mengenyangkan peminumnya.

Abu Zar (Jundub bin Junadah) al-Ghifari r.a. telah menceritakan mengenai kedatangannya ke Makkah sehingga bertemu Rasulullah s.a.w. dan seterusnya memeluk Islam. Menurut beliau, setelah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Baginda bertanya kepadanya: “Sejak bila kamu berada disini?” Jawabnya: “Semejak 30 hari yang lalu.” Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Siapa yang member kamu makanan?” Jawab Abu Zar: “Saya tidak mempunyai makanan dan saya hanya meminum air zamzam sahaja. Tetapi saya merasa semakin gemuk dan tidak pernah merasa lapar.” Sabda Rasulullah s.a.w. yang *bermaksud: “Sesungguhnya zamzam merupakan air yang diberkati. Sesungguhnya ia mengandungi zat makanan (orang yang meminumnya akan merasa kenyang seperti memakan makanan).”

3. Zamzam menyempurnakan hasrat peminumnya (dengan izin Allah).

Sabda Rasulullah s.a.w. yang *bermaksud: “Air zamzam itu untuk sebarang tujuan (niat) orang yang meminumnya (dengan izin Allah).”
Selain hadis-hadis diatas, terdapat banyak lagi kelebihan air zamzam yang disebut oleh para ulama. Ada yang bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. atau athar (kata-kata sahabat r.a.) yang sahih dan ada pula bersandar kepada hadis atau athar yang daif.

KELEBIHAN AIR ZAMZAM

 Merupakan salah satu daripada mata air syurga.

 Merupakan kurniaan pertama yang Allah s.w.t. berikan hasil doa Nabi Ibrahim a.s.

 Allah s.w.t. telah menjadikan air zamzam yang berkat ini sebagai penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah. Seterusnya kewujudan Baitullah di bumi tersebut.

 Merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t. di Tanah Haram.

 Merupakan salah satu daripada nikmat yang besar dan manfaat yang dapat dilihat di Tanah Haram Makkah.

 Telaga zamzam muncul melalui perantaraan Jibrail a.s.

 Air zamzam terbit dari kawasan yang paling mulia di atas muka bumi.

 Air zamzam merupakan air yang dipilih untuk membersihkan hati Rasulullah s.a.w. beberapa kali.

 Air zamzam bertambah keberkatannya dengan ludahan Rasulullah s.a.w. ke dalamnya.

 Air zamzam boleh menyembuhkan demam panas.

 Banyak meminum air zamzam merupakan sebahagian daripada tanda keimanan dan tanda kebebasan daripada sifat munafik. (Hal ini kerana orang munafik tidak mempercayaikelebihannya, wallahu a’lam).

 Merupakan minuman orang-orang yang mulia (al-Abrar).

 Air zamzam ialah sebaik-baik hadiah atau buah tangan.

 Air zamzam tidak akan kering walaupun ramai orang telah mengambilnya.

 Air zamzam boleh menambahkan kekuatan (tenaga) tubuh badan.

Beberapa Hukum Berkaitan Zamzam


Setelah kita mengetahui kelebihan dan keutamaan air zamzam, maka kita digalakkan meminumnya dengan sepuas-puasnya sekiranya kita berpeluang, minumlah dengan niat yang baik. Semoga Allah s.w.t. menunaikan segala hajat yang di kehendaki dan menyembuhkan penyakit yang dihadapi.

Disini akan dijelaskan pula tentang adab-adab ketika meminum air zamzam dan beberapa
hukum yang berkaitan dengannya.

1. Adab meminum air zamzam

Para ulama telah menggariskan beberapa adab yang patut diikuti semasa meminum air zamzam. Antaranya:

a. Mengadap ke arah kiblat.

b. Minum dengan tiga kali nafas, iaitu dengan tiga kali teguk.

c. Membaca “Bismillah” setiap kali meminumnya.

d. Memuji Allah dengan menyebut “Alhamdulillah” pada setiap nafas.

e. Minum dengan tangan kanan kerana Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan agar kita menggunakan tangan kanan ketika makan dan minum dan melarang daripada makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri. Hal ini kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kiri.

f. Berdoa setelah meminum air zamzam kerana ia merupakan antara waktu yang diperkenankan doa. Berdoalah dengan doa “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada semua penyakit.”

2. Adakah minum air zamzam disunatkan sambil berdiri atau duduk?

Ulama mazhab Hanafi mengatakan bahawa sunat meminum air zamzam sambil berdiri berdasarkan hadis yang sahih daripada Ibn Abbas r.a. bahawa beliau berkata: “Aku telah menuang air zamzam untuk Rasulullah s.a.w. Baginda meminumnya sambil berdiri.”

Ulama mazhab Maliki dan Hanbali mengatakan bahawa harus minum air zamzam sambil berdiri berdasarkan hadis di atas.

Ulama al_Syafi’iyyah pula mengatakan sunat meminum air zamzam sambil duduk dan makruh meminumnya sambil berdiri. Dalil mereka ialah sebuah hadis sahih daripada Anas r/a/ bahawa: “Nabi s.a.w. melarang perbuatan minum sambil berdiri.”

Mereka menetapkan hukum makruh dan bukan haram kerana Rasulullah s.a.w. telah meminum air zamzam sambil berdiri. Perbuatan Rasulullah s.a.w. ini bertujuan untuk menyatakan keharusan perbuatan tersebut.

Masalah ini ada keloggaran padanya, kita tidak perlu melarang sesiapa sahaja yang meminum zamzam sama ada berdiri atau duduk, wallahu a’lam.

3. Keharusan berwuduk atau mandi dengan air zamzam.

Daripada Ali bin Abi Talib r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. telah meminta setimba air zamzam lalu meminumnya dan berwuduk dengannya”.

4. Kebenaran membawa air zamzam keluar dari Tanah Haram.

Nabi s.a.w. telah menghantar sepucuk surat kepada Suhail bin ‘Amr yang berbunyi: “Jika suratku sampai kepadamu pada waktu malam, maka janganlah kamu lengahkan sehingga waktu pagi atau jika ia sampai pada waktu pagi janganlah kamu lengahkan sehingga waktu petang untuk menghantar air zamzam kepadaku.”

Saiyidatina Aishah r.ha. pernah membawa air zamzam di dalam botol dan beliau memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w. telah membawanya di dalam bekas air. Baginda menyiramnya ke atas orang yang sakit dan menyuruh mereka meminumnya.

Berkata para ulama bahawa sebab dibolehkan untuk mengeluarkan air zamzam dari Tanah Haram ialah kerana air zamzam akan bertambah dan tidak berkurang. Sebaliknya tanah dan batu tidak boleh dikeluarkan (menurut mahzab Syafi’i) kerana ia tidak bertambah.

Banyak lagi kelebihan dan hokum yang berhubung dengan air zamzam. Untuk keterangan lanjut mengenainya sila rujuk kitab Fadhlu Ma-ie Zamzam dan kitab-kitab lain.

No comments:

Post a Comment