Thursday, December 24, 2009

Hijrah perlukan pengorbanan


Source: Utusan Malaysia -Bicara Agama
Oleh: Nuruk Izzah Sidek

TAHUN baru sering digambarkan sebagai permulaan yang baru. Bagi sesetengah orang, ia suatu saat untuk melihat dan menilai pencapaian dan azam lalu serta proses muhasabah diri supaya menjadi individu lebih baik. Namun tidak kurang juga yang hanya menganggap tahun baru hanyalah permulaan dalam sesebuah kalendar dan tidak membawa apa-apa makna kerana menganggap azam dan matlamat tidak akan bertahan lama.

Di dalam Islam, tahun baru Hijrah membawa signifikan yang besar kepada umatnya. Ia bukanlah sambutan perayaan atau simbolik semata-mata, tetapi membawa maksud yang lebih mendalam.

Umum memahami peristiwa hijrah adalah perpindahan besar Rasulullah SAW serta pengikut-pengikut baginda waktu itu dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Kita mengetahui bahawa peristiwa hijrah Rasul itu membuka lembaran baru ke arah penyebaran Islam yang lebih cemerlang.

Perpindahan itu bukanlah semata-mata kerana putus asa atau melarikan diri, tetapi ia adalah usaha untuk merubah keadaan yang lebih baik, merencanakan strategi yang lebih mantap supaya dapat mengembangkan syiar Islam di muka bumi ini.

Justeru, hijrah dari segi pengertian secara umum ialah meninggalkan larangan Allah dan melaksanakan perintah-Nya. Hijrah membawa pengertian yang luas, iaitu keluar daripada medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil.

Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredaan Ilahi.

Hayati roh hijrah

Hijrahnya Rasullullah SAW dan para sahabat dengan segala pengorbanan dan kesusahan, adalah semata-mata kerana menyahut seruan Allah bagi meninggalkan buat sementara negeri Mekah yang ketika itu dipenuhi dengan kekufuran dan kesyirikan. Mereka menuju ke kota Madinah untuk mendirikan sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam menurut ajaran Allah dan Rasul-Nya. Oleh sebab itu, hijrah merupakan kewajipan utama yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam ketika itu, kerana tanpa hijrah tersebut masyarakat Islam tidak dapat dibentuk.

Hijrah yang amat bermakna dipimpin oleh Rasulullah SAW itu menjadi titik tolak penting dalam sejarah perkembangan Islam dan pembinaan tamadun seterusnya. Konsep 'rahmah alamiah' menjadi teras pembangunan umat dan masyarakat.

Lebih banyak titik temu daripada titik beza yang wujud dan terdapatnya perbezaan dilatari oleh kelainan adat resam, budaya dan aliran kepercayaan mencetuskan kekayaan dan kepelbagaian yang akhirnya memantapkan kota Madinah sebagai kota agama yang menjadi asas terbinanya suatu tamadun.

Asas yang sangat penting dikembangkan dalam konteks masyarakat bertamadun ialah wujudnya kepelbagaian, hadirnya kepimpinan yang dihormati oleh semua pihak, adilnya kepimpinan yang ada, rasa selamatnya warga Madinah pada waktu itu selagi ikrar dan janji tidak dilanggar dan berkembangnya kota Madinah sebagai kota dagang dan kota pengembangan ilmu dan pendidikan yang memiliki ciri-ciri kosmopolitan.

Semua situasi di atas tentunya berlaku berlandaskan rasa berkorban yang tinggi. Pengorbanan dan toleransi adalah elemen utama apabila berlaku sesuatu penghijrahan.

Konsep hijrah Rasul sangat sesuai dijadikan model dalam masyarakat berbilang kaum supaya hidup dalam kesepakatan dan aman sejahtera. Oleh itu, roh hijrah Rasul serta semangat Aidiladha yang baru berlalu wajib dikenangi oleh masyarakat hari ini supaya hidup ditelusuri dengan lebih penghayatan.

Remaja, hijrah dan pengorbanan

Persoalannya, apakah remaja hari ini benar-benar menghayati semangat pengorbanan dan konsep hijrah? Adakah ia cukup dengan meraikan di surau-surau dan masjid-masjid? Malangnya apabila tahun baru masihi menjelang, ia disambut dengan pesta, hiburan melampau dan tidak bermoral.

Sambutan Maal Hijrah bagi umat Islam merupakan titik permulaan melakukan yang terbaik dan sewajarnya diadun dengan khasiat iman dan takwa yang tinggi.

Tanpa melibatkan iman dan takwa, seseorang Muslim itu tidak mampu mengharungi kemelut dunia yang makin mencabar apatah lagi Islam di asak dari pelbagai sudut oleh musuhnya yang sentiasa menanti saat-saat kelalaian.

Tidak dinafikan, remaja memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Potensi remaja perlu dibangunkan secara holistik dan sempurna supaya dapat meneraju negara dengan acuan dan model sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada anasir-anasir dan pengaruh dari luar.

Kita melihat umat Islam di sana-sini terhimpit dengan desakan globalisasi, kemiskinan dan kemunduran.

Kemunduran berpunca daripada sempitnya akal fikiran, ketidaksanggupan manusia untuk berubah, kejahilan serta sikap tamak dan rakus yang natijahnya memakan diri dan masyarakat.

Oleh itu setiap remaja Islam mesti ada semangat dan cita-cita untuk berubah. Berubah dari segala sifat yang kurang baik kepada yang lebih bermakna untuk diri dan masyarakat.

Ini bermakna remaja harus berani melakukan perubahan dan pengorbanan. Remaja mesti bersedia mengorbankan tabiat-tabiat lama yang kurang baik seperti membuang masa, suka berhibur tanpa arah serta tidak berfikiran terbuka.

Remaja juga harus bersedia untuk menerima pandangan, berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran diri, memantapkan keterampilan diri supaya lebih maju dan dalam masa yang sama berpegang teguh kepada syariat Islam.

Remaja Islam tidak kekurangan contoh dan tauladan dalam membangunkan umat. Tamadun Islam yang lampau boleh dijadikan titik refleksi tentang pencapaian umat Islam pada hari ini.

Sememangnya kita wajar berasa iri dengan kejayaan Barat dan orang bukan Islam dalam pelbagai bidang pada masa kini, tetapi dalam masa yang sama kita juga harus berani mendepani cabaran tersebut dan berusaha untuk merubah keadaan umat Islam.

Hijrah sepatutnya membawa perubahan dalam hidup ke arah yang lebih baik, sempurna dan diredai Allah, dimana hasilnya ialah kemenangan kita dalam mempertahankan akidah, agama, cara hidup dan nilai-nilai yang kita amalkan.

Pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh yakin pasti akan membuahkan hasil yang terbaik.

Perlu difahami bahawa hijrah merupakan syiar keimanan, sama ada hijrah dari suatu tempat kekufuran, kemusyrikan dan kejahilan kepada tempat yang dinaungi akidah keimanan dan hakikat kebenaran.

Oleh yang demikian, setiap remaja Muslim perlu memiliki semangat untuk berubah dan berjaya dalam segenap ruang kehidupan, apatah lagi melihat kepada cabaran globalisasi yang semakin menghimpit dan arus kemodenan yang semakin menghakis nilai-nilai keimanan dan ketakwaan.

Kesimpulan

Hijrah adalah suatu bentuk perubahan yang memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan yang ikhlas, proses penghijrahan sukar dilakukan.

Pengorbanan pula menuntut semangat jihad dan keyakinan yang tinggi dalam diri. Justeru, perubahan dan pengorbanan adalah suatu tuntutan hidup, iaitu berubah dari suatu yang buruk kepada yang baik, dari yang baik kepada yang terbaik.

No comments:

Post a Comment