Thursday, January 7, 2010

Masjidilharam








Kelebihan dan kemuliaannya

Masjidilharam meliputi Kaabah, tempat tawaf di sekelilingnya serta semua bangunan dan halaman untuk bersolat termasuk bahagian pembesaran yang dimulai pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. sehingga ke zaman Khadimul Haramain Raja Abdullah bin Abdul Aziz pada hari ini.

Masjidilharam mempunyai kelebihan yang mulia dan unik yang tidak dimiliki oleh mana-mana tempat di dunia ini. Kemuliaan ini kerana kedudukannya yang berada di Makkah. Ia merupakan bumi yang sangat mulia dan terdapat binaan Kaabah di dalamnya.

Terdapat banyak dalil daripada al-Quran yang menyebut dengan jelas tentang hubungan dan kaitan yang rapat antara Kaabah, Masjidilharam dan Makkah secara umum.

Perkataan “Masjidilharam” disebut 15 kali dalam al-Quran. Semua dalil ini menunjukkan kelebihan serta kemuliaan Masjidilharam dan Makkah kesuluruhannya.

Pertama: Perkataan “Masjidilharam” bermaksud “Kaabah”.
Allah s.w.t. berfirman yang *bermaksud: Kami sering melihat engkau (wahai Muhammad) mengangkat mukamu ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang engkau sukai. Palinglah mukamu ke arah Masjidilharam. (Surah al-Baqarah: 144)

Kedua: “Masjidilharam” bermaksud “Makkah”.
Allah s.w.t. berfirman yang *bermaksud: Wahai orang yang beriman, sesungguhnya orang musyrik (kafir) itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam selepas tahun ini. (Surah al-Taubah:28)

Masjidilharam telah dimuliakan sejak sebelum Islam lagi. Kaum Arab sebelum Islam tidak memasuki kawasan Haram dengan kasut mereka. Mereka mengelilingi Kaabah dengan tidak berpakaian kerana mereka percaya bahawa pakaian mereka telah dikotori oleh dosa-dosa mereka. Kaum lelaki melakukan tawaf pada waktu siang dan perempuan pada
malam hari.

Sebagai memuliakan Kaabah, Arab Quraisy juga tidak membina ruman-rumah mereka dengan bentuk empat segi, tetapi dengan bentuk bulatan.

Kedudukan Binaannya Sebelum Islam

Lebih kurang 200 tahun sebelum Hijrah, Makkah telah menjadi sebuah Bandar. Sebelum itu tiada binaan di kawasan sekitar Kaabah. Penduduk Makkah tinggal di sekitar lurah Bukit merah (sekitar kawasan Mudda’a dan al-Ma’lah) dan Jabal Abu Qubais yang menghadap ke arah lembah itu.

Apabila Qusai bin Kilab memegang pemerintahan Makkah, beliau telah menerajui binaan Bandar Makkah dan reka bentuknya. Semua rumah telah dibina mengelilingi Kaabah dengan satu kawasan persegi dikosongkan sekitarnya. Dengan permulaan yang ringkas ini, Makkah telah berkembang menjadi Bandar Suci bagi seluruh dunia Islam.

Sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. hingga ke zaman Qusai keadaan Masjidilharam hanyalah kawasan lapang sekitar Kaabah, tidak ada bangunan, ia dilingkungi oleh rumah orang Quraisy.

Perkembangan Selepas Pembukaan Makkah

Selepas kedatangan Islam dan pembukaan kota Makkahpada tahun ke-8 Hijrah sehinggalah ke zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar r.a., tidak berlaku sebarang perubahan mahupun pembinaan terhadap Kaabah serta kawasan di sekitarnya. Kerana pada waktu itu tidak ada keperluan untuk meluaskan kawasan Kaabah atau memagarinya.

Binaan dan Perkembangan Masjidilharam Dalam Sejarah

Pertama: Pembesaran Masjidilharam pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. pada tahun 17H / 638M.

Ia merupakan pembesaran yang pertama. Khalifah Umra r.a. mengambil keputusan ini apabila Kaabah telah rosak dilanda banjir. Beliau juga mendapati kawasan solat menjadi begitu sesak dan sempit, lalu beliau membeli kawasan di sekitar Kaabah dan menjadikannya kawasan masjid. Beliau juga mengarahkan agar pagar dibina di sekeliling masjid dengan beberapa pintu dan lampu-lampu dipasang di dindingnya.

Kedua: Pembinaan Masjidilharam oleh Khalifah Usman bin Affan r.a., pada tahun 26H / 646M.

Apabila Khalifah Usman r.a. datang ke Makkah untuk mengerjakan umrah pada tahun 26H, beliau mendapati tempat tersebut menjadi begitu sesak dan penduduk Makkah telah bertambah dengan pesatnya. Beliau mengarahkan agar dilaksanakan proses pembesaran Masjid dengan meruntuhkan rumah dan bangunan di sekitarnya dengan membayar pampas an kepada pemiliknya.

Pembesaran Masjidilharam yang dilakukan oleh Usman ini berbeza sekali dari segi binaan dengan yang sebelumnya. Beliau telah membina atap untuk melindungi para pengunjungnya daripada panas matahari. Pembesaran masjid yang dilakukan oleh Usman r.a. ini dianggarkan keluasannya ialah 2,040 meter persegi.

Ketiga: Pembinaan oleh Abdullah bin al-Zubair r.a. pada tahun 65H / 684M.

Abdullah bin al-Zubair r.a. merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk membaiki semula binaan Masjidilharam dan Kaabah apabila ia terjejas akibat kepungan yang telah dilakukan oleh penduduk Syam terhadap Kaabah. Beliau memustuskan untuk membaiki kerosakan yang berlaku terhadap Masjidilharam serta meruntuh dan membina semula Kaabah. Beliau tidak terus melakukannya, bahkan beliau meminta nasihat serta pandangana daripada beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w. yang lain.

Sebahagian daripada mereka bersetuju dan sebhagaiannya tidak. Tetapi beliau berpegang dengan hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang *bermaksud:

“Wahai Aishah! Kalaulah bukan kerana kaummu (Quraisy) yang masih baru meninggalkan suasana jahiliah (kufur) nescaya aku akan mengarahkan supaya diruntuhkan Kaabah dan dibina semula dengan memasukkan sudut yang telah dikeluarkan (oleh Quraisy) dan merendahkan binaan (pintunya) di atas tanah, kemudian menjadikan baginya dua pintu, iaitu satu disebelah timur dan satu lagi di sebelah barat, menjadikan binaannya menurut asas yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s.

Lalu beliau meninaikan kehendak Rasullah s.a.w. Kebetulan keadaan Kaabah pada ketika itu perlu diruntuhkan dan dibina semula. Abdullah meletakkan Hajarulaswad di kaabah, membina pintunya rapat ke tanah dan membuka sebuah lagi pintu di bahagian baratnya.

Apabila selesai pembinaan tersebut, beliau merenjiskan dengan wangian dan haruman serta menutupi dengan dibaj (kain sutera asli). Beliau juga telah meluaskan kawasan Masjidilharam di bahagian timur, utara dan selatan. Untuk tujuan ini, beliau telah mengarahkan agar beberapa rumah dan bangunan di sekitar Masjidilharam diruntuhkan dan dibayar pampasan kepada pemiliknya dan dijadikan masjid. Beliau juga mengarahkan agar atap masjid dibina.

Keempat: Pembaikan Masjid oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan pada tahun 75H / 694M.

Pada tahun 75H Khalifah Abdul Malik telah memerintahkan agar dilakukan penambahan dan peninggian terhadap binaan dinding Masjid. Manakala atapnya dibuat daripada saj (kayu jati). Emas seberat 50 misqal (1 misqal = 4.25g; 4.25 X 50 = 212.5 g) diletakkan di atas setiap tiang panjang yang bulat. Binaan inidikira sebagai proses pembaikan terhadap bangunan dan peninggian dinding masjid tanpa merubah kawasan sekitarnya.

Kelima: Pembesaran Masjidilharam oleh Khalifah al-Walid ibn Abdul Malik pada tahun
91H / 710M.

Pada tahun 91H, al-Walid telah mengambil keputusan untuk merombak semua pembaikan yang dilakukan oleh bapanya. Beliau membinanya semula secara terancang dan lebih sempurna. Beliau merupakan orang pertama yang membawa masuk tiang marmar dari Mesir dan Syam ke Makkah. Beliau juga membina pintu gerbang utama di setiap empat penjuru masjid.

Bahagian hadapan setiap serambi masjid pula dibina seperti gerbang dengan tiang marmar yang bersalut emas. Serambi yang telah dihiasi marmar ini juga diliengkapi dengan beranda yang dihiasi dengan batu kapur. Beliau juga memerintahkan agar dinding masjid disaluti dengan marmar sehingga berukuran satu meter tinggi. Atas masjid diperbuat daripada kayu jati yang berukir.

Keenam: Pembesaran Masjidilharam oleh Khalifah Abu Ja’far al-Mansur pada tahun 137H / 754M.

Di bawah pemerintahan al-Abbasiyah, binaan Masjidilharam telah memasuki era baru dari segi reka bentuk dan seni bina. Keluasan kawasan Masjidilharam juga bertambah berbanding keadaan sebelumnya. Pembesaran ini termasuk di bahagian utara dan barat masjid.

Khalifah Abu Ja’far al-Mansur telah membeli kesemua rumah di bahagian utara dan barat dan memasukkannya ke dalam kawasan masjid. Beliau juga mengarahkan pembinaan menara masjid apabila selesai pembesaran tersebut.

Pembinaan oleh al-Mansur ini termasuklah satu pintu gerbang besar yang diperbuat daripada marmar di sekeliling kawasan tengah masjid. Bahagian depan gerbang ini dihiasi dengan mozek dan emas. Bahagian dalam masjid pula ditutupi dengan marmar. Hijr Ismail juga dihiasi dengan marmar dan disaluti dengan batu pualam putih (alabaster) di bahagian dalam, luar dan di atasnya.

Pembesaran al-Mansur ini bermula pada tahun 137H dan berakhir pada tahun 140H.

Ketujuh: Pembesaran oleh Khalifah Muhammad al-Mahdi pada tahun 160H / 776M.

Pada tahun 160H, Khalifah Muhammad al-Mahdi bin Abi Jaafar al-Mansur telah datang ke Makkah untuk menunaikan haji. Beliau bertekad untuk membesarkan Masjidilharam dan meperbaharui binaanya. Perluasan ini melibatkan bahagian timur, barat dan selatan masjid. Beliau telah memerintahkan agar tiang-tiang marmar dibawa masuk ke Makkah dari Syam dan Mesir. Beliau juga menambah dua serambi di atas tiang yang diperbuat daripada marmar. Atap masjid dibuat daripada kayu jati berukir. Pembinaan ini siap pada tahun 164H.

Pembesaran kedua oleh al-Mahdi pada tahun 164H.

Semasa mengerjakan haji pada tahun 164H, beliau mendapati bahawa kedudukan Kaabah lebih hampir dengan bahagian selatan masjid daripada bahagian-bahagian lain. Ia tidak berada di tengah tengan masjid. Beliau terus mengarahkan agar semua rumah rumah yang terletak di bahagian tersebut diruntuhkan. Pelan baru telah direka, di mana Masjidilharam dijadikan dalam bentuk empat segi dan kaabah terletak ditengah-tengahnya.

Masjidilharam dibina dengan sempurna dan menjadi permata yang indah di dalam dunia seni bina pada zaman Abbasiyah. Binaan al-Mahdi ini kekal sebagai binaan yang teragung sehingga ke zaman moden. Beliau juga telah membina tiga buah menara masjid.

Kelapan: Pembesaran oleh Khalifah al-Mu’tadhid pada tahun 284H / 894M.

Pembesaran ini turut dikenali sebagai pembesaran Dar al-Nadwah. Dar al-Nadwah merupakan istana persinggahan bagi para khalifah apabila mereka berada di Makkah. Ia terletak di bahagian selatan kawasan masjid serta mempunyai halaman yang luas. Keluasan kawasannya lebih kurang 1,250 meter persegi.

Apabila rumah ini telah menjadi buruk ia telah diruntuhkan dan dijadikan sebagai masjid yang bersambung dengan Masjidilharam. Bangunan ini dibina dengan tiang persegi serta melengkung dengan atap daripada kayu jati. Dua belas buah pintu telah dibuka dari masjidilharam untuk ke masjid ini.

Pada tahun 306H bangunan tambahan ini telah disatukan dengan binaan Masjidilharam setelah ia menjasi masjid yang berasingan buat seketika. Para jemaah yang bersolat di dar al-Nadwah ini dapat melihat Kaabah di hadapan mereka.

Kesembilan: Pembesaran Masjidilharam oleh Khalifah al-Muqtadir Bilah pada tahun 306H / 918M.

Pembesaran ini di kenali sebagai pembesaran Bab Ibrahim. Ia terletak di bahagian barat Masjidilharam, iaitu di antara dua rumah Siti Zubaidah (isteri Khalifah Harun al-Rasyid), bersebelahan Bab al-Khayyatin dan pintu Banu Juma’.

Kawasan ini telah di masukkan ke dalam Masjidilharam. Dua pintu tersebut telah dibuang dan digantikan dengan satu pintu besar yang dinamakan Bab Ibrahim.

Pada zaman pemerintahan al-Mamalik 802H

Selepas kejatuhan kerajaan Abbasiyah di tangan Monggol pada tahun 656H / 1258M, kekuasaan untuk menjaga Masjidilharam telah bertukar kepada pemerintahan al-Mamalik di mesir. Mereka telah bekerja keras dalam usaha untuk membaiki dan menjaga Masjidilharam demi mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allah s.w.t.

Beberapa sultan al-Mamalik telah melakukan pembaharuan yang sewajarnya terhadap Masjidilharam, bermula pada tahun 802H semasa pemerintahan Sultan al-Nasir bin Barquq, manakala pembaharuan yang terakhir ialah pada tahun 882H /1477M semasa pemerintahan Sultan al-Asyraf Qaitbai.

Pembaikan Masjidilharam pada zaman Uthmaniyah 979 – 984H.

Kerajaan Uthmaniyah juga telah memainkan peranan besar dalam menunaikan tanggungjawab menjaga dan memperbaharui Masjidilharam, semenjak bumi Hijaz berada di bawah kekuasaan mereka pada tahun 923H / 1517M yang dipimpin oleh Sultan Salim 1. Sejak itu mereka menjadi pengawal kepada hal ehwal bagi dua Tanah Haram.

Setiap tahun mereka menghantar kiswah (kelambu) Kaabah, begitu juga dengan gaji dan elaun pekerja dan mereka telah membaiki dan menghiaskan Masjidilharam.

Pada zaman pemerintahan Sultan Salim dan Sultan Murad, serambi bahagian timur masjid kelihatan melengkong ke arah Kaabah. Ini disebabkan atap dan dinding kayu yang buruk telah menjadi reput dan berkarat kerana terdedah kepada cahaya matahari.

Kerja-kerja pembaikan di bahagian timur ini dimulakan pada tahun 980H. Ia telah diruntuhkan dan dibina semula.

Pada akhir proses pembaikan ini, Sultan Salim Khan ibn Sultan Sulaiman telah meninggal dunia dan digantikan oleh anaknya Sultan Murad yang mengarahkan agar projek tersebut diselesaikan dengan segala usaha yang terdaya. Akhirnya projek ini selesai pada akhir tahun 984h dan Masjidilharam terus mendapat perhatian dan penjagaan istimewa daripad Sultan Aal (keluarga atau dinasti) Uthmani.

Perhatian: Pembesaran Masjidilharam yang terakhir di lakukan oleh al-Muqtadir al-Abbasi, dan selepas itu Masjidilharam tidak diperbesarkan sepanjang sejarah di bawah pemerintahan al-Fatimiyyin, al-Ayyubiyyin, al-Mamalik dan al-Uthmaniyah. Masjidilharam Cuma dibaiki dan dihiasi dengan keluasan yang sedia ada, hinggalah sampai kepada pembesaran yang dibuat oleh kerajaan Arab Saudi pada tahun 1375H.

Kesepuluh: Masjidilharam di bawah Kerajaan Arab Saudi.

Almarhum Raja Aziz ibn Abdul Rahman al-Sa’ud telah member perhatian yang besar dalam kerja-kerja membaiki Masjidilharam, sama ada di bahagian dalam atau luarnya untuk memastikan penampilan yang sesuai dan setaraf dengan kemuliaannya.

Perhatian ini termasuklah projek membaik pulih semua kerosakan pada dinding, atap dan tiang masjid. Ia turut melibatkan proses membaiki kawasan laluan, sekeliling tempat tawaf, kesemua pintu dan mengecat Maqam Ibrahim dengan warna hijau, di samping tiang tembaga, beranda keempat-empat bahagian masjid, serta perhiasan dalam dan luar dinding masjid. Semua kubah telah dibersihkan, pintu-pintu masjid dibaiki dan dicat semula begitu juga tiang-tiang masjid. Raja Abdul Aziz begitu bersungguh-sungguh membaiki dengan sempurnanya keseluruhan Masjidilharam untuk menjadikan cantik berseri. Semua kerja ini selesai pada tahun 1347H.

Pembesaran pertama pada tahun 1375 – 1396 / 1955M

Perintah diraja telah dikeluarkan untuk memulakan proses pembesaran Masjidilharam, iaitu dengan meruntuhkan sesemua bangunan yang berada di sekelilingnya dan pemiliknya dibayar pampasan. Projek ini telah dijalankan delam beberapa peringkat selama 20 tahun, di bawah pemerintahan Raja Sa’ud dan Raja Faisal. Projek ini bertujuan untuk mengekalkan binaan berserambi Uthmaniyah. Sebahagian besarnya telah diruntuhkan dan dibina semula.

Pembinaan bermula di bahagian selatan masjid, diikuti kawasan seterusnya. Kerja-kerja dimulai dengan membina kawasan Mas’a (tempat sa’i – antara bukit Safa dan Bukit Marwah). Panjangnya sejauh 396m dan lebarnya 20m. Kawasan Mas’a tersebut dibina menjadi dua tingkat. Banyak pintu dan jendela baru telah dibina.

Kawasan bawah tanah dan serambi juga telah dibina. Tujuh menara baru didirikan. Nama-nama lama bagi pintu dan pagar dikekalkan. Bilangan kesemua pintu setelah selesai pembinaan ini 51 buah, meliputi pintu kecil dan besar.

Jumlah keseluruhan pembiayaan projek ini mencapat angka 662 juta Riyal Saudi. Luas keseluruhan kawasan Masjidilharam menjadi 180,850 meter persegi, dan boleh menampung seramai 400,000 jemaah, iaitu lebih dua kali ganda berbanding jumlah sebelumnya yang hanya mempunyai keluasan 27,850 meter persegi.

Pembesaran kedua oleh Khadimul Haramain, Raja Fahd ibn Abdul Aziz pada tahun 1409H / 1988M

Pada bulan Safar 1409H, Khadimul Haramin, Raja Fahd ibn Abdul Aziz telah meletakkan batu asas untuk pelaksanaan projek pembesaran Masjidilharam di bahagian timur masjid iaitu di antara Bab al-Malik dan Bab al-Umrah.

Pembesaran ini termasuklah pembinaan satu tingkat bawah tanah, dua lapisan tingkat atas, satu pintu utama yang dinamakan Bab al-Malik Fahd dan 14 buah pintu tambahan (kecil) yang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 95 buah pintu yang bernombor. Dua menara baru telah ditambah di bab al-Malik Fahd yang menjadikan keseluruhan menara Masjidilharam adalah sebanyak sembilan buah.

Pembesaran ini selaras dan seimbang dengan pembesaran yang dibuat sebelumnya. Kawasan atap (sutuh) masjid turut disiapkan untuk menampung lebih daripada 80,000 jemaah. Ia boleh dinaiki dengan 7 tangga elektrik (escalator) yang ditempatkan di sekeliling masjid.

Khadimul Haramain juga telah mengarahkan agar kawasan (medan) terbuka di sekililing masjid dilapisi dengan marmar dan dilengkapi dengan lampu yang mencukupi. Luas medan ini berukuran 88,000m.

Terowong bawah tanah telah dibina untuk kenderaan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan Masjidilharam. Kawasan khas disediakan untuk kenderaan berhenti bagi menurunkan penumpang serta mengambil pengunjung masjid yang kemudiannya akan dibawa naik dengan tangga elektrik ke medan Raja tadi. Sistem lampu, peredaran udara dan kawalan komputer yang canggih dipasang di dalam terowong ini.

Pusat pendindingan udara telah dibina di daerah Kudai untuk menyejukkan Masjidilharam dan kawasan Mas’a. Sistem penyejukan air juga di adakan untuk menyejukkan air zamzam.

Sebanyak sembilan ribu bilik air dilengkapi dengan tandas dan tempat berwuduk telah dibina, semuanya dilengkapi dengan system termoden dan tercanggih.

Projek pembinaan Masjidilharam dan persekitarannya ini selesai pada bulan Zulkaedah tahun 1413 / 1993M.

Ukuran Masjidilharam sekarang

Luas keseluruhan bangunan masjid selepas projek pembesaran baru ini ialah 76,000m. Ini tidak termasuk kawasan bumbung dan medan luar masjid (88,000 m).

Pembesaran ini telah menjadikan kawasan Masjidilharam tiga kali ganda lebih besar daripada pembesaran Saudi yang pertama. Jumlah keseluruhan luas Masjidilharam sekarang ialah 278,999 m, dan boleh menampung jemaah seramai 694,000 orang. Luas kawasan sekitar Masjidilharam pula ialah 366,000 m, boleh menampung seramai 220,000 orang. Oleh yang demikian, Masjidilharam boleh menampung seramai sejuta orang lebih, disebabkan peningkatan pengunjung yang begitu ramai ke Makkah khususnya pada musim haji dan bulan Ramadan.

Pada tahun 1424H / 2003M kerajaan Saudi telah melakukan pembaikan al-Mataf (tempat tawaf) di semua tingkat, khasnya di tingkat atas yang bentuknya tidak sekata, menjadikan jaraknya jauh dan susah bagi para jemaah untuk menjaga posisi sewaktu melakukan tawaf. Pembaikan ini dapat menampung lebih ramai jemaah yang melakukan tawaf, khasnya pada bulan Ramadan dan musim haji.

Imam al-Nawawi r.hm. telah menjelaskan bahawa sah melakukan tawaf di tingkat atas Masjidilharam. Pendapat ini telah dipersetujui oleh Majlis Fatwa Arab Saudi.

Penyusunan Saf di Dalam Masjidilharam

Pada mulanya, orang ramai bersolat bersama imam di belakang Magam Ibrahim. Namun, disebabkan bertambahnya bilangan kaum Muslimin, tempat ini menjadi bertambah sempit. Sehinggalah Khalid bin Abdullah al-Qasri (meninggal dunia tahun 120H), iaitu Gabenor Makkah pada masa itu menyatakan pendapatnya untuk menyusun dan mengatur saf para jemaah yang bersolat.

Pendapatnya ini mendapat sokongan daripada ulama-ulama besar dalam kalangan tabiin pada masa itu. Maka usaha penyusunan saf ini diteruskan.

Ibn Juraij bertanya kepada ‘Ata’ r.hm.: “Jika orang yang bersolat di Masjidilharam sedikit bilangannya, manakah yang lebih baik bagimu, sama ada mereka bersolat di belakang Maqam Ibrahim atau dengan cara membentuk satu saf sahaja di sekeliling Kaabah?” Ata’ menjawab, “Satu saf di sekeliling Kaabah dan seterusnya.”

Pendapatnya ini berdasarkan firman Allah s.w.t. yang *bermaksud: “Dan Kamu (Muhammad) akan melihat para malaikat bersaf-saf di sekeliling Arasy sambil bertasbih memuji Tuhannya.” (Surah al-Zumar: 75)

Harus diingat bagi orang yang bersolat di dalam masjid adalah wajib keatasnya untuk menghadap ke arah Kaabah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Umar r.a. bahawa antara timur dan barat itu semua kiblat kecuali di Kaabah (yakni wajib menghadap ke arahnya).

Manakala riwayat daripada Ibn Abi Husain mengatakan: “Kaabah ialah kiblat bagi orang yang berada di dalam masjid, manakala masjid itu kiblat bagi penduduk di Tanah Suci.

Setelah proses pembesaran Saudi yang pertama dan kedua selesai dilaksanakan, para jemaah sukar untuk melihat Kaabah secara langsung kerana terhalang oleh tiang, atap bangunan, tempat sa’i, halaman sekitar masjid dan sebagainya. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan Saudi di bawah pemerintahan Raja Fahd telah membuat garisan lengkung mengelilingi Kaabah di lantai masjid bagi memudahkan jemaah solat membuat saf yang betul.

Al-Mas’a (Tempat Sa’i)

Mas’a ialah ruang tempat sa’i di antara Bukit Safa dan Marwah. Sa’i adalah termasuk dalam rukun ibadat haji dan umrah. Tanah tempat sa’i ini, asalnya merupakan tanah yang berliku, curam dan tidak rata. Pembaikan dan pembaharuannya dilakukan sedikit demi sedikit sepanjang sejarah sehinggalah keadaannya seperti hari ini.

Sebelum ini, Mas’a serta Masjidilharam tidak bersambung dan dipisahkan oleh bangunan-bangunan. Ia terletak di kawasan pasar yang di kiri kanannya terdapat kedai-kedai dan para penjaja. Jadi pada waktu itu orang bersa’i dengan segala kesibukan di tengah-tengah deretan kedai.

Ini adalah satu perkara yang peilik, walaupun Mas’a ini merupakan salah satu tempat ibadat yang penting bagi haji dan umrah, tetapi sebelum ini tidak ada pihak berkuasa Tanah haram yang terfikir untuk menjadikannya satu tempat ibadat yang khusus, sedangkan mereka telah melakukan pelbagai pembesaran dan pembaikan terhadap masjid. Keadaan ini berkekalan sehingga pada zaman al-Syarif Husain dan perluasan serta penyatuan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Orang pertama yang membina atap bagi Mas’a ialah al-Syarif Husain bin Ali. Pada tahun 1335H beliau telah mengarahkan pembinaan atap untuk Mas’a bermula dari sebelah Marwah sehingga ke Ban al-‘Abbas (sekarang Bab Ali), manakala bahagian yang selebihnya tidak beratap. Tetapi atap ini tidak kukuh dan lama-kelamaan setelah terdedah kepada cuaca dan matahari ia menjadi berkarat dan bocor di sana sini.

Maka pada tahun 1366H Raja Abdul Aziz telah memerintahkan agar semua atap tersebut diruntuhkan dan diganti dengan atap yang baru. Maka atap baru dibuat daripada besi yang tahan karat dan utuh untuk melindungi Mas’a dari panas sepenuhnya, bermula dari safa hingga ke Marwah kecuali satu bahagian kecil sepnjang 8 m di hadapan Bab Ali yang tidak ditutup.

Ini kerana ia merupakan medan yang luas dan keadaan yang terbuka begitu lebih elok dan baik. Keluasan atap ini adalah lebih kurang 20.5 m. Apabila berlaku perluasan Saudi yang pertama pada tahun 1375H, (yang menyatukan Masjidilharam dan Mas’a) atap ini dibuang seluruhnya dan dipasang semula di atas jalan Mudda’a dan Judriyyah. Sebahagian daripadanya masih kekal sehingga ke hari ini (1424H / 2003M).

Untuk memudahkan orang ramai melakukan sa’i, kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan agar pasar tersebut ditutup serta semua bangunan yang memisahkannya dengan Masjidilharam diruntuhkan dan kedua-duanya dijadikan satu bangunan.

Mas’a ini telah dibina dua tingkat dengan lantai marmar. Panjang setiap tingkat Mas’a ini lebih kurang 394.5 m. Bermula dari hujung dinding di atas Bukit Safa sehingga hujung dinding di atas Bukit Marwah. Lebarnya pula kira-kira 20 m. Pada masa sekarang, atapnya (sutuh) juga telah dijadikan Mas’a.

Tingkat bawah telah dibahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian untuk melakukan sa’t dari Safa ke Marwah dan satu lagi untuk sa’i dari Marwah ke Safa. Di antara dua jalan ini, terdapat satu lorong khas untuk kerusi roda atau kereta sorong bagi orang yang memerlukannya. Ia juga dilengkapi dengan pendingin udara yang dikawal bersama dengan masjid.

Setelah pembesaran Masjidilharam dan Mas’a siap dilaksanakan, satu binaan yang bersambung telah dibuat di antara kedua-duanya. Pembinaan ini bagaimanapun, menimbulkan beberapa persolan:

Pertama: Hukum melakukan sa’i di tingkat atas Mas’a

Ahli Majlis Ulama Besar (The great Ulama’s Board) Arab Saudi dalam persidangan ke-4, pada 19 Oktober 1393 dan 12 November 1293H telah membuat keputusan:

“Harus melakukan sa’i di tingakat atas jika perlu, dengan syarat seseorang itu mesti melalui semua jarak di antara Safa dan Marwah dan tidak keluar daripada sempadan kawasan Mas’a.

Kedua: Adakah Mas’a termasuk dalam hokum Masjidilharam?

Oleh yang demikian, wanita haid atau nifas tidak boleh memasuki nya untuk melakukan sa’i dan sebagainya.

Al-Majma ‘al-Fiqhi al_Islami (Islamic Fiqh Council) di bawah Rabitah al-‘Alam al-Islami dalam persidangannya yang ke-14 pada 20 Syaaban 1415H bersamaan 21 Januari 1995 telah membuat keputusan dengan pendapat ramai: “Bahawa Mas’a selepas dibina bersambung dengan binaan Masjidilharam tidak termasuk dalam binaan dan hukum Majidilharam.”

Mas’a ialah suatu masy’ar (tempat ibadat) yang tersendiri, Allah s.w.t. berfirman yang *bermaksud: “Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syi’ar agama Allah.” (Surah al-Baqarah: 158)

Begitu juga menurut pendapat jumhur ulama, antaranya ialah imam mazhab empat, dari segi hukum adalah harus melakukan solat padanya dan berimamkan imam Masjidilharam, sama seperti tempat suci yang lain. Orang yang berhadas besar, haid atau junub boleh duduk dan melakukan sa’i, namun adalah disunatkan untuk melakukan sa’i dengan berwuduk. Wallahu a’lam.

Pada tahun 1428H atau 2007M pula, Kerajaan Arab Saudi telah membesarkan Mas’a (tempat sa’i) dengan menambah sebuah bangunan baru bersebelahan dengan bangunan yang lama. Kemudian diruntuhkan bangunan lama untuk dibina bengunan baru yang sama dengannya.

Pembesaran ini telah menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ramai ulama. Ia dibantah oleh kebanyakan anggota Ulama Besar Arab Saudi berdasarkan fatwa lama yang dibuat oleh mantan mufti Sheikh Muhammad bin Ibrahim r.hm. Ia juga mendapat sokongan sebahagian daripada ulama seperti Syeikh Abdullah al-Mani’ dan lain-lain.

Berdasarkan persaksian yang dibuat oleh mereka yang pernah tinggal di atas Bukit Safa dan Marwah, bahawa dua bukit itu adalah sebuah bukit yang besar pada asalnya. Ini bermakna perluasan yang dibuat itu masih dalam kawasannya dan tidak terkeluar dari tempat yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Firman Allah yang *bermaksud:
Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar agama Allah, Maka sesiapa yang beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, tidak ada dosa baginya mengerjakan sa’i antara kedua-duanya. (Surah al-Baqarah: 158)

Pendapat ini juga telah mendapat sokongan daripada ulama antarabangsa seperti, Syeikh Dr. Yusuf al-Qadarwi, dalam satu kenyataannya yang termaktub dalam laman web beliau iaitu www.qadarwi.net ketika ditanya berkenaan tindakan Kerajaan Arab Saudi itu.

Beliau menyatakan keizinan itu adalah berdasarkan kepada firman Allah s.w.t. yang *bermaksud: Allah mahu kamu senang dan Allah tidak mahu kamu susah. (Surah al-Baqarah: 185)

Juga sabda Nabi s.a.w. yang *bermaksud: “Kamu dibangkitkan dalam keadaan senang, dan kamu tidak dibangkitkan dalam keadaan menyusahkan.” (Sahih al-Bukhari, 213)

Allah s.w.t. menyatakan dalam al-Quran tentang “jangka tempat” sa’i itu, iaitu antara Safa dan Marwah, tanpa Allah menyatakan “lebar laluan” ke Safa dan “lebar laluan” ke Marwah. Oleh itu, tidak menjadi satu kesalahan bagi kerajaan Arab Saudi memperluaskan tempat sa’i antara Safa dan Marwah. Ini kerana, tidak terdapat nas yang mengharamkan perbuatan memperluaskan tempat sa’i, bahkan yang wujudnya adalah nas yang menguatkan lagi dalil keizinan memperluaskannya dengan alas an “agama islam adalah agama yang mudah.” Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment