Thursday, January 28, 2010

Mahmudah vs. Mazmumah


SYUKUR NIKMAT


Allah berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu meningkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim 14:7)

Tahu Berterima Kasih

Satu tidakan holistic amat perlu bagi menzahirkan rasa syukur. Oleh sebab itu hati, lisan dan seluruh anggota badan perlu berganding bahu. Jadi kerahkan semuanya.

Hati perlu takutkan Allah, harap keredaan-Nya, cintakan-Nya hingga membawa kepada melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya serta ikhlas dalam setiap gerak geri.

Lisan pula memperbanyakkan tasbih, tahmid dan takbir, menyebut-nyebut nikmat kurniaan-Nya, sentiasa melafazkan hamdalah dan sebagainya.

Zahirkan Rasa Syukur

1. Menggunakan segala nikmat yang diberikan untuk mendekatkan diri kepada pemberi nikmat.

2. Apabila ditimpa musibah bersabar dan sekiranya dilimpahkan nikmat dia bersyukur.

3. Merasa cukup dengan nikmat yang sedikit.

4. Memberi dan berkongsi apa sahaja sama ada berupa kebendaan atau nasihat.

Rasa syukur perlu ditanam dan disuburkan. Berikut beberapa tip menyuburkan benih syukur:

1. Tahu dan sedar siapa sebenar Pemberi nikmat.

2. Bayangkan bahawa dunia ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan akhirat. Oleh sebab itu, nikmat yang kecil atau besar pasti tidak seberapa jika dibandingkan dengan nikmat di “sana”.

3. Ucapkan pada setiap akhir natijah lafaz “Alhamdulillah ‘ala kulli hal.”

4. Apabila berterima kasih kepada manusia, ucaplah “Jazakallah” (bagi lelaki) atau Jazakillah (bagi wanita).

Ingin nikmat ditambah-tambah oleh Pemberi nikmat? Jika jawapannya ya, maka bersyukurlah. Syukur perlu diluahkan melalui rasa hati, gerak lidah dan ikhlasnya seluruh anggota badan.

KUFUR NIKMAT

Ada segolongan manusia yang dikurniakan Allah nikmat berganda tetapi sering lupa untuk menzahirkan syukur. Bertambah pelik apabila mereka menyangka bahawa segala nikmat yang diperolehi itu adalah hasil titik peluhnya sendiri. Inilah gologan yang kufur dengan nikmat Allah.

Kufur dari segi syarak bermaksud tidak beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Namun apabila kalimah kufur digandakan dengan perkataan nikmat, maka ia membawa erti seseorang yang tidak bersyukur atau menyalahgunakan nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya bukan pada jalan ketaatan dan mencari keredaan-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah (daripada kalangan) kamu yang bersyukur.” (Surah al-‘Araf 7:10)

Tanda-tanda kufur:

1. Enggan mengucap lafaz “Hamdalah”.
2. Tidak pernah merasa cukup dengan nikmat yang diberikan.
3. Mengeluh saat nikmat ditarik balik.
4. Menggunakan nikmat yang diberi bukan pada jalan yang disukai Allah.
5. Enggan membayar zakat apatah lagi bersedekah.

Kikis Kufur

1. Tahu dan sedar bahawa segala nikmat yang diberikan merupakan pinjaman semata-mata.
2. Kita merupakan khalifah yang ditugaskan mengurus nikmat, bukannya pemilik nikmat.
3. Sentiasa mengucap kalimah syukur tidak kira sama ada dalam keadaan susah atau senang.
4. Manfaatkan nikmat.
5. Ingatlah bahawa Allah akan menambah nikmat mereka yang reti bersyukur.

Apa kesudahan mereka yang tidak bersyukur? Kesudahannya adalah akan ditimpakan azab yang pedih sebagaimana yang dijanjikan Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7.

No comments:

Post a Comment