HajarulaswadKetika Nabi Ibrahim membina Kaabah dan sampai di tempat Hajarulaswad, Nabi Ibrahim a.s. meminta Nabi Ismail a.s. agar mengambil seketul batu yang boleh dijadikan sebagai tanda tempat permulaan tawaf. Lalu Nabi Ismail a.s. pergi mencarinya.
Tiba-tiba datang malaikat Jibrail membawa Hajarulaswad kepada Nabi Ibrahim a.s. Allah s.w.t. telah menyimpannya di Bukit Abi Qubais ketika berlakunya taufan Nabi Nuh a.s. lalu berfirman kepada Jibrail:
“Apabila engkau lihat khalili (kekasih-Ku) membina Rumah-Ku maka keluarkanlah ia kepadanya.
Apabila Nabi Ismail a.s. kembali bersama seketul batu, baginda mendapati bapanya telah meletakkan Hajarulaswad di situ. Dia terus bertanya: “Wahai bapaku, siapakah yang telah membawa batu ini kepadamu?” Lalu Ibrahim menjawad: “Ia dibawa kepadaku oleh orang yang tidak mengharapkan batu yang dibawa olehmu, ia dibawa oleh Jibrail.”
Semasa Quraisy membina Kaabah, setiap kabilah telah dibahagikan satu penjuru Kaabah. Apabila sampai binaan ke tempat Hajarulaswad mereka mula membantah. Setiap kabilah mendakwa mereka lebih berhak untuk meletak Hajarulaswad di tempat asalnya, sehingga mereka bersumpah untuk berperang sekiranya mereka tidak dapat meletakkannya.
Akhirnya mereka membuat keputusan bahawa: “Orang yang akan memutuskan perkara ini ialah orang yang pertama memasuki masjid ini dari pintu Bani Syaibah.”
Orang pertama yang memasuki pintu tersebut ialah Rasulullah s.a.w. Apabila melihatnya mereka bersetuju untuk menjadikannya sabagai hakim dalam permaslahan tersebut. Mereka memberitahu Rasulullah s.a.w. yang berumur 35 tahun pada ketika itu dan terkenal dengan gelaran “al-Amin”.
Rasulullah s.a.w. mengambil sehelai kain lalu meletakkan Hajarulaswad di atasnya. Kemudian Rasulullah s.a.w. mengarahkan seorang wakil daripada setiap kabilah untuk mengangkatnya hingga sampai ke tempatnya, dan Rasulullah s.a.w. mengambil Hajarulaswad dengan tangan Baginda yang mulia dan meletakkan ia di tempatnya.
Hajarulaswad merupakan batu yang tertanam di penjuru kaabah yang sangat penting, kerana ia adalah sebagai tanda permulaan dan akhir tawaf. Asalnya ia merupakan seketul batu sahaja, tetapi sekarang sudah pecah menjadi 8 kepingan batu kecil. Kepingan yang terbesar sebesar sebiji tamar, tertanam di dalam batu besar lain yang di lingkungi dengan sebuah penutup yand di berbuat daripada perak.
Menurut Syeikh Mohd Tahir al-Kurdi (meninggal dunia pada tahun 1400H): “Yang jelas daripada Hajarulaswad pada zaman kita – pertengahan abad ke-14 hijrah – yang kita sentuh dan kita kucup merupakan lapan kepingan batu kecil yang mempunyai saiz yang berbeza. Kepingan yang terbesar ialah sebesar sebiji tamar. Perpecahan Hajarulaswad kepada beberapa kepingan kecil ini disebabkan angkara khianat yang dilakukan oleh beberapa golongan penjahat pada masa yang lalu.
Sejak 50 tahun dahulu – pada awal abad ke-14 Hijar – bilangannya adalah sebanyak 15 keping. Kemudian ia semakin berkurangan disebabkan oleh proses baik pulih yang dilakukan terhadap lingkungan Hajarulaswad. Bahagian-bahagian batu yang kecil dan sudah hancur telah diuli semula dengan lilin dan kasturi. Kemudian ia diletakkan semula di tempatnya. Warnanya bertambah hitam kerana terlalu banyak air wangi diletakkan ke atasnya.
Perhatian: Berdasarkan maklumat ini, pada masa sekarang bukan semua batu yang berada dalam lingkungan perak ialah Hajarulaswad. Hajarulaswad ialah 8 keping batu kecil yang berada di dalamnya. Sesiapa yang ingin mengucup Hajarulaswad maka dia hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan batu tersebut, wallahu a’lam.
Beberapa peristiwa mengenai HajarulaswadHajarulaswad telah melalui beberapa peristiwa sepanjang kewujudannya di muka bumi ini, yang menyebabkan ia menjadi pecah dan hancur. Antara peristiwa tersebut ialah:
1. Kesan daripada kebakaran yang pernah berlaku di Kaabah, sewaktu pemerintahan Quraisy dan pemerintahan Abdullah bin al-Zubair r.a. pada tahun 64H. Hajarulaswad telah retak menjadi tiga bahagian lalu Ibn al-Zubair mengikatnya dengan perak. Beliau merupakan orang yang pertama melakukan perkara tersebut.
2. Peristiwa al-Qaramithah. Salah satu cabang Syiah Isma’iliyyah al-Batiniyyah telah menanggalkan Hajarulaswad dan membawanya ke al_Ahsa’ Arab Saudi (dalam sirah disebut Hajar). Ia kemudiannya dikembalikan pada tahun 339H.
Pada 8 Zulhijjah 317H (dipanggil hari Tarwiyah) (dipanggil hari Tarwiyah), Abu Tahir al-Qurmuthi bersama 900 orang pengikutnya telah melakukan keganasan di Makkah, khasnya di dalam Masjidilharam. Mereka telah membunuh para jemaah haji dan mencampakkan mayat mereka ke dalam telaga zamzam. Lebih 30,000 orang telah di bunuhnya.
Mereka menanggalkan Hajarulaswad dan membawanya ke negari mereka dengan tujuan untuk menarik orang ramai ke sana untuk mengerjakan haji, sebagaimana Abrahah telah membina Kaabah di negerinya. Maka tempat Hajarulaswad telah menjadi kosong selama 22 tahun. Sehingga tahun 339H, Sanbar bin al-Hasan al-Qurmuthi telah menghantar kembali Hajarulaswad ke tempatnya selepas binasanya Abu Tahir.
Beberapa peristiwa lain.
Warna HajarulaswadRasulullah s.a.w. bersabda yang *bermaksud:
“Hajarulaswad itu diturunkan dari syurga. Warnanya lebih putih daripada susu. Maka dosa anak-anak Adam yang telah menjadikannya hitam.”Bahagian yang berwarna hitam ialah bahagian depan yang disentuh oleh manusia, tetapi bahagaian dalamnya yang tertanam di Kaabah warnanya tidak berubah.
Dapat dibuat pengajaran di sini bahawa dosa-dosa manusia boleh menghitamkan batu yang putih berseri syurga, apatah lagi pengaruh dan kesannya terhadap hati manusia. Kita wajib menghindarkan diri daripada melakukan dosa dan maksiat yang menjadikan hati kita hitam oleh dosa-dosa yang dilakukan.
Kelebihan (fadhail) HajarulaswadAntara kelebihan Hajarulaswad ialah:
1. Berasal daripada batu syurga (yaqut) yang mulia,Sabda Nabi s.a.w. yang *bermaksud:
“Hajarulaswad dan Maqam Ibrahim merupakan dua biji batu daripada batu syurga. Allah s.w.t. telah menghilangkan cahaya pada kedua-duanya. Jika tidak, nescaya cahaya kedua-duanya akan menerangi di antara timur dan barat.”2. Mendapat kelebihan dan ketinggian yang tiada diberikan kepada batu-batu yang lain.Kedudukannya berada di penjuru rumah Allah s.w.t. yang mulia. Ditambah lagi dengan kucupan Rasulullah s.a.w. kepadanya, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh nabi-nabi sebelumnya.
Hajarulaswad menjadi tempat pertemuan bibir para nabi, orang soleh, para jemaah haji dan umrah di sepanjang lipatan sejarah. Ia juga menjadi temoat permulaan dan berakhirnya tawaf, sekali gus ia ialah tempat doa yang mustajab (dikabulkan doa).
3. Hajarulaswad akan menjadi saksiHajarulaswad akan menjadi saksi kelak kepada orang yang telah menyalaminya (menziarah dan mengusapnya) dengan kebenaran pada hari kiamat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang *bermaksud:
“Demi Allah, Allah s.w.t. akan menbangkitkannya pada hari kiamat kelak, baginya dua mata. Dia akan melihat dengannya. Baginya lidah yang dia akan berkata-kata dengannya, menjadi saksi kepada sesiapa saja yang telah mengusapnya dengan kebenaran.”Menurut riwayat Ibn Khuzaimah: “Hajarulaswad akan dibangkitkan pada hari kiamat besarnya seperti Bukit uhud di Madinah.” Ada juga riwayat mengatakan ia sebesar Bukit Abi Qubais di makkah.
4. Mengucup Hajarulaswad dan mengusap Rukun Yamani dapat menghapuskan dosa.Sabda Rasulullah s.a.w. yang *bermaksud:
“Mengusap Rukun Yamani dan mengucup Hajarulaswad akan menghapuskan kesalahan (dosa).”Ibn Abbas r.a. mengatakan: “Rasulullah s.a.w. tidak mengusap tangannya melainkan pada Hajarulaswad dan Rukun Yamani.”
Abdullah bin Umar r.a. mengusap Hajarulaswad kemudian mengucup tangannya lalu berkata: “Aku tidak pernah meninggalkannya semenjak aku melihat Rasulullah s.a.w. melakukannya.”
5. Rasulullah s.a.w. sangat mengambil berat terhadap Hajarulaswad dan memuliakannya.Suwaid bin Ghafalah telah berkata: “Saya lihat Umar r.a. mengucup Hajarulaswad dan berada berhampiran sambil berkata yang *bermaksud:
“Aku lihat Rasulullah s.a.w. sangat mengambil berat (menghormati, mengucup, mengusap) engkau.”Umar bin al-Khattab r.a. mengucup Hajarulaswad lalu berkata yang *bermaksud:
“Aku tahu kamu hanyalah sebiji batu yang tidak dapat memberi musibah mahupun memberi manfaat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah s.a.w. mengucupmu, aku tidak akan melakukannya.”Hikmah daripada ucapan Umar: “Engkau tidak dapat memberi musibah mahupun memberi manfaat.”Kata ulama: Umar berkata sedemikian kerana pada ketika itu manusia sangat dekat dengan zaman penyembahan berhala maka dibimbangi aka nada orang jahil yang menyangka bahawa mengucup hajarulaswad adalah sama dengan perbuatan orang jahiliah mengagungkan berhala.
Maka Umar r.a. ingin mengajar mereka bahawa mengucup Hajarulaswad bertujuan untuk membesarkan Allah s.w.t. semata-mata dan mengikuti ajaran Rasulullah s.a.w.
Perbuatan tersebut juga termasuk dalam amalan haji yang telah diperintah oleh Allah s.w.t.
Perbuatan tersebut berbeza dengan amalan jahiliah kerana mereka menyangka perbuatan menyembah berhala untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka Umar r.a. memberi peringatan agar membezakan perbuatan ini daripada iktikad jahiliah, bahawa ibadat tidak dilakukan kecuali kepada Tuhan yang boleh memberi mudarat dan manfaat iaitu hanya kepada Allah s.w.t.
Rahsia mengapa orang kafir tidak menyembah Hajarulaswad atau Kaabah.Syeikh Mohd. Tahir r.hm. berkata: “Antara perkara yang patut disebut dan diambil perhatian ialah: Amalan orang Arab pada zaman jahiliah ialah mereka menyembah batu, khasnya batu-batu Makkah dan Tanah Haram, namun tidak ada riwayat yang mengatakan mereka telah menyembah Hajarulaswad atau Maqam Ibrahim, dalam keadaan mereka cukup menghormati dan menjaganya.
Setelah kami taammul (perhati) rahsia di sebaliknya, jelas ia merupakan ‘ismah (pemeliharaan) daripada Allah s.w.t., kerana sekiranya ia disembah pada zaman jahiliah kemudian datang Islam membesarkannya dengan arahan agar mengucupnya serta melakukan solat di belakang Maqam Ibrahim, maka orang munafik dan seteru Islam akan berkata: Islam menerima penghormatan kepada berhala dan masih wujud unsur-unsur syirik.
Orang yang pernah menyembahnya pula akan terus berpegang dengan kepercayaannya. Untuk itu Allah s.w.t. telah menjaganya semenjak dari zaman Nabi Ibrahim a.s. hingga ke hari ini, daripada disembah oleh orang jahil, sama seperti pemeliharaan-Nya terhadap Kaabah.
Beberapa Hukum Mengenai Hajarulaswad1. Sunat mengucup atau mengusapnya pada bila-bila masa.
2. Sunat mengucup atau mengusapnya ketika mula melakukan tawaf.
3. Sunat meletakkan muka ke atasnya ketika mengucupnya.
4. Sunat mengucup atau mengusapnya ketika ingin keluar ke Safa untuk melakukan sa’i.
5. Mengucupnya dengan cara tidak mengeluarkan bunyi seperti mencium anak.
6. Istilam Hajarulaswad boleh dilakukan dengan mengucup atau mengusapnya dengan tangan atau dengan tongkat atau dengan mengisyaratkan tangan ke arahnya, kemudian mencium apa yang diisyaratkan kepadanya.
7. Kaum wanita hendaklah mencari waktu yang sesuai agar bercampur dengan lelaki.
8. Tidak menyakiti orang lain sewaktu berebut untuk mengucupnya.
9. Tidak berhenti di garisan Hajarulaswad sewaktu melambaikan tangan, khasnya pada waktu orang ramai, kerana ia akan mengganggu perjalanan orang yang sedang menunaikan tawaf dan akan menyakiti orang lain. Dan lain-lain lagi.
Sejarah Maqam IbrahimTakrif Maqam IbrahimDari segi bahasa, “Maqam” bererti tempat berpijak.
Maqam Ibrahim ialah batu yang dibawa oleh Nabi Ismail a.s. untuk dijadikan tempat berpijak bapanya Nabi Ibrahim a.s. ketika mereka membina Kaabah. Dari atas batu inilah Nabi Ibrahim a.s. membina Kaabah dengan tangannya sendiri daripada batu-batu yang dibawa oleh Nabi Ismail a.s.
Setiap kali bangunan Kaabah bertambah tinggi, batu (maqam) tersebut ikut naik seolah-olah ia berfungsi seperti tangga kren.
Diriwayatkan bahawa Said bin Jubair berkata: “Batu Maqam Ibrahim ini, Allah s.w.t. telah menjadikannya lembut dan ia sebagai rahmat. Nabi Ibrahim a.s. berdiri di atasnya manakala Nabi Ismail a.s. menghulurkan batu-batan kepadanya.
Di atas batu ini juga Nabi Ibrahim a.s. menyeru manusia supaya dating mengerjakan haji setelah selesai membina Kaabah.
Al-Fakihi meriwayatkan bahawa: “Apabila selesai membina kaabah, Allah s.w.t. telah memerintahkan agar Nabi Ibrahim a.s. menyeru manusia untuk datang mengerjakan haji. Nabi Ibrahim a.s. naik ke atas batu (Maqam Ibrahim) lalu berseru: “Wahai manusia! Telah difardukan ke atas kamu mengerjakan haji.”
Maka ia telah diperdengarkan kepada mereka yang berada dalam sulbi lelaki dan dalam rahim perempuan. Mereka yang beriman serta mereka yang telah ditulis oleh Alalh s.w.t. akan datang untuk mengerjakan haji hingga hari kiamat telah menyahutnya dengan menyebut: Labbaikallahumma labbaik.
Oleh sebab perbuatan ini merupakan salah satu daripada amalan yang dicintai oleh Allah, maka Allah s.w.t. telah menjadikan kesan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. ini kekal sebagai peringatan kepada orang yang beriman daripada keturunannya, bagi mereka dan seluruh manusia.
Kedudukan Maqam IbrahimUlama berselisih pendapat mengenai kedudukan asal Maqam Ibrahim.
Pertama: Pada zaman Nabi Ibrahim a.a., seterusnya hingga ke zaman Rasulullah s.a.w., zaman Abu Bakar al-Siddiq dan Umar r.a. Mawam ini berada di tempat yang ada sekarang. Kemudian berlaku banjir pada zaman Umar bin al-Khattab r.a. lalu membawanya ke bahagian bawah makkah. Maka penduduk Makkah membawa dan meletakkannya di tepi kaabah, hingga datang Umar. Beliau telah bermesyuarat menegenai temoatnya yang asal dan meletakkan ia di tempat tersebut hingga ke hari ini.
Pendapat ini diriwayatkan pleh al-Azraqi dengan sanad yang sahih dan di sokong oleh Syeikh Said Bakdas.
Kedua: Pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan selepasnya, Maqam ini bersambung dengan Kaabah dan diletakkan sebgelah kanan pintu, sehinggalah ia dipindahkan oleh khalifah Umat al-Khattab r.a. ke tempatnya hari ini.
Pendapat ini diriwayatkan oleh Badur Razzak dalam al-Musannaf dengan sanad yang sahih daripada ‘Ata’ dan lain-lain, juga daripada Mujahid. Al-Baihaqi pula meriwayatkan daripada Aishah r.ha. dengan sanad yang kuta bahawa:
“Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar al-Siddiq r.a., Maqam ini bersambung dengan Kaabah, kemudian Umar bin al-Khattab r.a. mengalihkannya ke belakang (ke tempatnya hari ini.)
Tiada seorang pun daripada kalangan para sahabat dan orang yang selepasnya mempertikaikan perbuatan Umar ini. Mereka semuanya bersetuju dalam hal ini.
Umar berpendapat kedudukan asalnya telah menyempitkan kawasan tawaf dan solat, lalu dia meletakkannya di tempat yang lebih baik bagi maslahat umum. Perbuatannya itu mungkin sudah diilhamkan oleh Allah s.w.t. kerana dialah yang mencadangkan pada awalnya agar tempat tersebut dijadikan sebagai tempat solat.
Pendapat ini di sokong olah al-Hafiz Ibn Kathir Ibn Hajar dan al-Mu’allimi r.hm. Wallahu a’lam.
Cubaan Memindahkan Maqam Ibrahim ke belakangMemandangkan bertambahnya bilangan jemaah haji dan umrah, kawasan tempat tawaf telah menjadi sempit. Tambahan pula ada sebahagian jemaah berhenti melakukan solat di belakang Maqam Ibrahim.
Pada tahun 1377H timbul fikrah (pendapat atau cadangan) untuk memindahkan Maqam Ibrahim ke belakang selepas pembesaran Masjidilharam. Maka timbul pro dan kontra dalam kalangan ulama Islam mengenai cadangan tersebut.
Buku pertama yang menyokong pemindahannya telah ditulias oleh Syeikh Abdul Rahman al-Mu’allimi al-Yamani, Pengarah Perpustakaan al-Haram al-Makki (meninggal dunia tahun 1386H) dan disokong oleh Syeikh Muhammad bin Ibrahim, iaitu bekas Mufti Am Arab Saudi (meninggal dunia tahun 1389H).
Ramai pula ulama yang menentang cadangan tersebut, kerana tempat tersebut telah dipilih oleh Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Umar r.a. Mengekalkan Maqam Ibrahim di tempatnya adalah lebih baik, lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh fitnah ini.
Pada musim haji tahun 1385H, Muktamar Rabitah al-‘Alam al-Islami telah membuat keputusan bahawa Maqam Ibrahim dikekalkan di tempatnya dengan di ubah suai lingkungan kaca tebal dengan ukuran yang lebih kecil untuk mengelakkan kesesakkan, maka ia kekal hingga ke hari ini.
Kelebihan Maqam Ibrahim1. Dijadikan sebagai tempat solat yang diarahkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana dalam firman-Nya yang *bermaksud:
“Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang ama.n. Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.” (Surah al-Baqarah: 125)Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab r.a. berkata: “Pendapatku telah diterima oleh Tuhanku dalam tiga perkara. Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, kenapa tidak kita jadikan Maqam Ibrahim ini sebagai tempat solat?’ Kemudian ayat ini pun diturunkan.”
Qatadah r.hm. menerangkan tentang ayat ini: “Kamu disuruh bersolat di situ, tetapi tidak disuruh menyentuhnya. Kami telah diberitahu oleh mereka yang telah melihat kesan tapak kaki dan jarinya (Ibrahim a.s.). Manusia berterusan menyentuhnya sehingga kesannya tanggal dan hilang.”
Solat sunat tawaf di Maqam IbrahimJabir r.a. telah meriwayatkan mengenai cara pelaksanaan haji Rasulullah s.a.w. dengan katanya: “Ketika ku sampai di Kaabah bersama Rasulullah s.a.w., Baginda terus mencium Hajarulaswad, kemudian (tawaf tujuh pusingan) berlari-lari anak pada tiga pusingan yang awal dan empat pusingan dengan berjalan biasa. Baginda lalu ke Maqam Ibrahim lalu membaca: ‘Dab jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.’ Rasulullah s.a.w. menjadikan Maqam Ibrahim berada di tengah antara Baginda dan Kaabah.”
2. Maqam Ibrahim merupakan batu dari syurga.Rasulullah s.a.w. bersabda yang *bermaksud:
“Sesungguhnya Hajarulaswad dan Maqam Ibrahim merupakan batu-batan dari syurga, Allah telah menghilangkan cahaya kedua-duanya, seandainya Allah tidak menghilangkan cahaya kedua-duanya, nescaya ia menerangi seluruh timur dan barat.”Menurut riwayat al-Baihaqi: “Jika tidak kerana dosa anak cucu Adam, nescaya chayanya akan mampu menerangi seluruh timur dan barat dunia.”
3. Tempat makbul doa.Menurut al-Hasan al-Basri (meninggal dunia tahun 110H) dan ulama-ulama lain, berdoa di belakang Maqam Ibrahim a.s. adalah amat mustajab.
4. Bukti Nyata (Aayaatun Bayyinat)Maqam Ibrahim ialah bukti nyata tentang kekuasan Allah s.w.t. dan mukjizat Nabi Ibrahim a.s. yang kekal sehingga ke hari ini.
Firman Allah s.w.t. yang *bermaksud:
Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk (tempat beribadat) bagi manusia ialah Baitullah yang berada di bakkah (Makkah) yang di berkati dan menjadi petunjuk bagi manusia. Padanya terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang nyata, (antaranya) Maqam Ibrahim. Sesiapa yang memasukinya akan mendapat keamanan. (Surah Ali ‘Imran: 96)Maqam Ibrahim merupakan suatu tanda yang besar, mengandungi beberapa tanda kekuasaan Allah s.w.t. dan mukjizat yang nyata yang telah dizahirkan-Nya melalui batu ini, antaranya:
a. Kesan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. di batu yang pejal.Allah s.w.t. akan menundukkan apa-apa saja dalam kalangan makhluk-Nya jika seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah s.w.t.
Kesan ini terukir di maqam yang telah dikenali oleh penduduk Tanah Haram. Abu Talib, bapa saudara Nabi s.a.w. pernah berkata mengenainya yang *bermaksud:
“Tempat letak tapak kaki Ibrahim di batu yang dilembutkan – bagi kedua-dua tapak kaki yang tidak beralas.”
Persamaannya dengan tapak kaki rasulullah s.a.w.Juga diketahui bahawa tapak kaki Rasulullah s.a.w. mirip dengan tapak kaki datuknya Nabi Ibrahim a.s. sebagaimana yang di riwayatkan oleh seorang sahabat, Jahm bin Huziafah al-Qurasyi r.a. (seorang yang pakar dalam ilmu mengenali waris) yang menyaksikan proses pembinaan Kaabah oleh Quraisy dan Ibn al-Zubir) berkata: “Sesungguhnya aku tidak perhah melihat sesuatu yang lebih sama, seperti samanya tapak kaki Rasulullah s.a.w. dengan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. yang pernah kami lihat di Maqam.”
Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam hadis Isra’: “Aku melihat Nabi Ibrahim a.s. yang sangat hamper rupa dengannya.”
Ukuran Tapak Kaki Nabi Ibrahim a.s.Seorang ahli sejarah Syeikh Mohd. Tahir al-Kurdi mengatakan bahawa kesan tapak kaki di Maqam itu sebelahnya sedalam 10cm manakala sebelah lagi 9cm, panjangnya 22cm dan mempunyai kelebaran 11cm. Ini menunjukkan bahawa nabi Ibrahim a.s. mempunyai ketinggian yang lebih kurang sama dengan kebanyakan lelaki pada masa ini. Hari ini bekas jari-jari kaki tidak nampak kerana Maqam dulunya terbuka dan ia hilang akibat sering disentuh oleh orang ramai.
b. Kekal sepanjang sejarahTidak sepertimana kesan para nabi dan rasul yang lain, walaupun terdapat beberapa usaha untuk mencuriny, juga terdedah terhadap cuaca dan banjir yang melanda Masjidilharam selama beribu-ribu tahun, namun sehingga kini ia tetap terpelihara dengan baik.
Pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. berlaku banjir besar yang dikenali dengan nama “Banjir Ummu Nahsyar”. Apabila banjir mulai surut, Umar r..a. segera pergi ke Maqam Ibrahim dan mendapatinya telah dihanyutkan ke satu dataran rendah di Makkah. Lalu Umar r.a. mengambil dan meletakkan ia di tempatnya semula.
Diriwayatkan oleh al-Fakihi pada suatu masa di Makkah terdapat seorang yang bernama Juraij (Yahudi atau Nasrani). Pada suatu malam Maqam Ibrahim didapati telah hilang, setelah dicari ternyata ada padanya, rupa-rupanya dia ingin membawanya kepada Raja Rom. Lalu diambil kembali Maqam Ibrahim daripadanya dan di penggal lehernya.
Al-Qaramithah yang telah mencuri Hajarulaswad juga cuba untuk mengambil Maqam Ibrahim, tetapi ia sempat disembunyikan oleh penjaga Masjidilharam.
Banyak lagi kejadian dan peristiwa yang menimpa Maqam Ibrahim sepanjang sejarah, Allah s.w.t. sahajalah yang menjaganya.
c. Terpelihara daripada menjadi sembahan kaum Musyrikin.Pada zaman jahiliah, orang Arab menyembah berhala daripada batu-batan, tetapi tidak ada seorang pun yang diketahui pernah menyembah Hajarulaswad dan Maqam Ibrahim. Hal ini kerana penghormatan mereka terhadap kedua-duanya. Perkara ini merupakan kesucian yang dipelihara oleh Allah s.w.t., kerana Islam menghormati Hajarulaswad dengan cara mencium dan mengusapnya, manakala Maqam Ibrahim dihormati dengan cara bersolat di belakangnya. Jadi, tidak dapat dikatakan bahawa Islam telah member (atau memperakui) kehormatan terhadap sebhagian daripada berhala, kerana ini merupakan jenis ibadah yang membawa kepada syirik.
Dan banyak lagi kelebihannya.
Mengusap atau mencium Maqam IbrahimMengikut sunah Rasulullah s.a.w. yang telah diajarkan bahawa mencium dan mengusap itu hanya khusus untuk Hajarulaswad dan Rukun Yamani. Sementara bagi Maqam Ibrahim, keutamaan dan kemuliaannya adalah dengan menjadikannya sebagai tempat solat. Oleh itu, mencium dan mengusap Maqam Ibrahim bukan sebahagian daripada sunah Rasulullah s.a.w. Sehinggakan ketika Abdullah bin al-Zubair r.a. melihat sekumpulan manusia yang sedang mengusap Maqam Ibrahim beliau berkata: “Wahai manusia kamu tidak disuruh untuk menyentuhnya tetapi disuruh untuk bersolat di situ.”
Perlu diingatkan di sini bahawa kebencian para ulama salaf dahulu terhadap perbuatan mengusap dan mencium Maqam Ibrahim ini terjadi ketika Maqam masih terbuka dan belum ditutup denagn sesuatu pun. Jadi, jika ia telah diletakkan di dalam kotak kaca yang tertutup pada masa sekarang, tentulah mengusap dan menciumnya lebih dibenci dan sangat tidak disukai.
alhamdulillah...baik penulisannya
ReplyDeletetp masih ada hadith2 yg tidak ditulis rujukannya...sanadnya mahupun perawinya
klu blh lengkapknlah bg mengelakkan sebarang keraguan. juga jikalau blh, ltk kn juga kekuatan hadith...sahih, hassan dsb...
wallahualam~