Tuesday, February 9, 2010

Hakikat azab kubur

dipetik dari artikel al-Ustaz al-Muhaddis Umar b M Noral-Syafi'iy HafizahulLah dalam majalah Solusi Terbitan Telaga Biru Sdn Bhd

Dalam tulisan yang lalu, saya telah berbicara sedikit tentang seksa kubur. Pada tulisan kali ini, insya-Allah saya akan lebih memperluaskan bahasan tentang perkara yang sangat penting ini. Hal pertama yang harus kita ketahui ialah ijmak (kesepakatan) semua ahlu sunnah atas keyakinan adanya azab kubur berdasarkan dalil-dalil qat’i daripada al-Quran dan sunnah.

Salah satunya ayat 46 surah Ghafir (Al-Mu’min), al -Quran bercerita tentang kondisi Firaun dan para pengikutnya setelah mereka mati. Firman Allah: “Kepada mereka dinampakkan Neraka pada pagi dan petang.” Al-Hafiz Ibn Kathir berkata, ayat ini menjadi landasan besar bagi Ahlu Sunnah untuk menyatakan adanya azab kubur.”

Pendapat ini selari dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Jika seseorang meninggal dunia, akan diperlihatkan tempat (yang akan ditinggalinya) pada waktu pagi dan petang. Jika ia seorang penduduk syurga, maka diperlihatkan syurga. Dan jika ia seorang penduduk Neraka, maka diperlihatkan Neraka. Dan dikatakan kepadanya, “inilah tempatmu hingga Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Ibn Umar.

Hadis-hadis lain yang berceritakan tentang azab kubur sangat banyak sehingga ulama Ahlus Sunnah sepakat menjadikan perkara ini sebagai akidah yang wajib diyakini setiap muslim. Dan tidak ada yang mengingkarinya kecuali ahli Bidaah. Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim berkata, “Mazhab Ahlu Sunnah menetapkan adanya seksa kubur, berbeza dengan puak Khawarij, majoriti Mu’tazilah dan sebahagian Murjiah.”

Azab Kubur sebuah hakikat

Orang yang mengingkari azab kubur tidak memiliki sembarang alasan selain ucapan mereka, “Kami sering menggali kubur yang telah lama, namun kami tidak pernah melihat mayat diseksa di dalam kubur mereka.”

Untuk menjawab ucapan ini, Imam Al-Ghazali dalam Al-Iqtisad fil I’tiqad berkata, “Pengamatan mata kita hanya tertumpu kepada jasad zahir belaka. Sementara yang merasakan seksa adalah hati atau batin manusia. Sebuah seksaan yang dirasakan seseorang tidaklah mesti menampakkan tanda-tanda yang boleh diamati jasadnya.”

Dalam Ihya, al-Ghazali membandingkan seksa yang dialami mayat dengan mimpi yang dilihat orang tidur. Sering terjadi, seseorang berasa sangat terseksa kerana bermimpi dipatuk ular. Semua itu hanya ia sendiri yang merasakannya, sementara orang yang berada di sebelahnya tidak menyedari hal itu sedikit pun. Begitu juga azab kubur yang dirasakan mayat. Meski kita tak melihat tanda-tanda seksaan di tubuhnya, bukan bererti azab kubur tidak ada. Azab itu tetap dirasakan, cuma kita sahaja yang tidak menyedarinya.

Kata al-Ghazali lagi, seekor ular sebenarnya tidak merbahaya tanpa racunnya. Dan racun itu pun sebenarnya tidak menyakitkan, akan tetapi kesan yang ditinggalkan racun itu pada tubuh manusia agak lama. Dan Allah berkuasa untuk menciptakan kesan racun di dalam tubuh seseorang tanpa melalui perantaraan apa pun. Jika itu terjadi, maka azab akan terasa pada diri seseorang tanpa sesiapa yang mengetahuinya.

Sebab-sebab Azab Kubur

Penyebab utama azab kubur ialah sifat-sifat tercela yang tersimpan di dalam jiwa manusia. Ibn Hibban meriwayatkan sabda Nabi s.a.w: “Akan diutus untuk orang kafir di dalam kuburnya 99 ular yang sangat besar (tinnin). Semua menggigit dan mematuknya hingga hari kiamat. Andai seekor sahaja dari ular ini keluar ke dunia dan meniupkan (racunnya) ke atas tanah, maka tidak satu pun tumbuhan yang dapat hidup di muka bumi.”

Imam Al-Ghazali berkata, “Jangan hairan dengan bilangan (ular) yang banyak ini. Sebab bilangan itu sebanyak bilangan akhlak tercela yang dimilikinya seperti sombong, riyak, hasad dengki, dendam dan sifat-sifat buruk lainnya.”

Penyebab azab kubur lainnya adalah namimah (adu domba), ghibah (mengumpat) dan tidak melakukan istibra’ selepas kencing. Istibra’ ialah memastikan air kencing yang masih tersisa dalam kemaluan keluar dengan sempurna. Hal itu dapat dilakukan dengan cara mengurut, batuk, berjalan beberapa langkah atau beberapa teknik lainnya. Ibn Hibban dan Al-Hakim meriwayatkan sabda Nabi s.a.w: “Kebanyakan seksa kubur disebabkan kerana air kencing.”

Imam Hannad bin Al-Sirri dalam kitab Al-Zuhd meriwayatkan dari seorang tabiin yang bernama ‘Amr bin Syurahbil katanya, “seseorang yang meninggal dunia, lalu malaikat datang kepadanya dengan sebuah cambuk api. Ia berkata, ‘Aku akan mencambukmu seratus kali.’ Orang itu berkata, ‘Mengapa? Aku selalu menjaga diriku semasa hidup.’ Malaikat tidak mempedulikan lalu mencambuknya satu kali sehingga kuburnya penuh dengan api. Malaikat itu lalu berkata, ‘Engkau pernah kencing lalu solat tanpa wuduk. Dan seseorang yang dizalimi datang kepadamu, namun engkau tidak membantunya.”

Azab kubur juga disebabkan kerana ratapan yang dilakukan seseorang ke atas mayat. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Umar bin Al-Khattab bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesuatu mayat diseksa di kuburnya kerana ratapan seseorang ke atasnya.” Para ulama mengatakan bahawa ratapan yang dimaksudkan di sini adalah ratapan yang dilakukan untuk melaksanakan wasiatnya untuk diratapi.

Herdikan malaikat yang diikuti dengan pukulan godam besi di kepala pernah disebutkan dalam tulisan saya yang lalu. Hukuman itu untuk orang yang tidak pernah mengambil berat tentang ajaran agama yang seharusnya menjadi panduan hidupnya di dunia.

Menyelamatkan diri daripada azab kubur

Azab kubur adalah sebuah hakikat yang nyata. Dan orang yang bijak akan segera membuat persiapan maksimal sebelum musibah itu menimpa dirinya. Imam Yahya bin Muadz Al-Razi berkata, “Orang yang bahagia ialah sesiapa yang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkannya, yang menyediakan kuburnya sebelum ia masuk ke dalamnya, dan yang meredai tuhannya sebelum Ia meredainya.”

Perkara utama yang dapat kita lakukan agar terhindar dari seksa kubur ialah terus meminta perlindungan dari Allah s.w.t. Semakin sering kita meminta, semakin besar peluang kita memperolehnya. Imam al-Bukhari dan Muslim banyak sekali meriwayatkan hadis yang membawa cerita bahawa Nabi s.a.w. meminta perlindungan daripada azab kubur.

Memperbanyakkan istighfar semasa hidup juga dapat membantu kita jauh daripada kesulitan di dalam kubur. Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab Al-Zuhd daripada seorang tabiin yang bernama Abu Minhal ia berkata, tidak ada jiran yang terbaik di dalam kubur daripada istighfar yang (dibacakan) dengan banyak.

Begitu juga tasbih, tahmid dan zikir-zikir lainnya. Imam Ahmad bercerita dalam kitab yang sama tentang seorang tabiin yang bernama Abdullah bin Ghalib. Semasa hidupnya, tokoh ini tidak pernah berhenti berzikir menyebut nama Allah s.w.t. Said bin Zaid berkata: “Ketika Abdullah bin Ghalib terbunuh, kami meletakkannya di dalam kubur lalu memendamnya. Tiba-tiba kami mencium dari tanah kuburannya wangi-wangian dari berbagai jenis minyak wangi.” Malah Malik bin Dinar pernah berkata: “Aku pergi mengambil sebahagian dari tanah itu lalu meletakkannya di kantong. Aku terus menerus mencium bau wangi tersebut.”

Untuk orang-orang yang telah meninggal dunia, ada beberapa hal yang dapat kita lakukan untuk meringankan penderitaan mereka. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibn Abbas bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mematahkan sebatang dahan yang masih segar lalu menanam kedua-duanya di atas dua kubur tersebut. Baginda bersabda, “Semoga seksa keduanya diringankan selama dahan ini belum kering.”

Para ulama berpendapat bahawa azab tersebut dikurangi kerana tasbih dahan itu. Kerana itu, Buraidah bin Husaib Al-Aslami (seorang sahabat Nabi s.a.w.) pernah berwasiat agar ditanamkan sebatang pohon di atas kuburnya. Imam Al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim berkata, “Para ulama menganjurkan pembacaan al-Quran di atas kubur kerana hadis ini. Sebab jika azab kubur dapat diringankan kerana tasbih dahan pohon, maka pembacaan al-Quran tentu lebih utama.”

Zikir dan tasbih yang dibacakan insya-Allah juga dapat meringankan azab. Al-Thabarani meriwayatkan dari Jabir bahawa ketika Rasulullah menguburkan Sa’ad bin Muadz, baginda bertasbih cukup lama sambil diikuti oleh para sahabat. Baginda lalu bertakbir, dan para sahabat ikut bertakbir. Mereka lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa tuan tadi bertasbih?” Baginda menjawab, “Hamba soleh ini tadi dihimpit oleh kubur, lalu Allah menyelamatkannya.”


Bangkit dari Kubur

Ketika waktunya tiba, Allah memerintahkan untuk dimulainya proses pembangkitan kembali. Allah s.w.t. berfirman, “Dan ditiuplah sangkakala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka. Mereka berkata: Aduhai celakalah kami! siapakah yang membangkitkan kami dari tempat-tidur kami (kubur)?". Inilah yang dijanjikan (Tuhan) yang Maha Pemurah dan benarlah rasul-rasul-Nya. Tidak adalah teriakan itu selain sekali teriakan saja, maka tiba- tiba mereka semua dikumpulkan kepada kami.” (Surah Yasin: 51-53).

Semua manusia bangkit dari kuburnya dengan tubuh telanjang dan berdebu. Semuanya berjalan menuju tempat yang sama dengan wajah tertunduk dan sejuta fikiran di kepala. Hisab amal perbuatan yang akan menentukan kedudukan itu hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.

2 comments: