Wednesday, February 3, 2010

Mengubat demam panas - petikan dari Kitab 101 Hadis Sahih terbitan Telaga Biru Sdn Bhd

بسمِ اللـًّهِ الْكِبـيْرِ ، نَعُوذُ باللَّـهِ الْعَظِيـْمِ مِنْ شَرِّ عِرقٍ نَعَّارٍ ،
وَمِنْ شَرِّ حَرِّ النَّـارِ

Maksudnya : “Dengan nama Allah yang maha Besar, kami memohon perlindungan dengan Allah yang Maha Agung dari kejahatan urat dan kejahatan kepanasan api ” .

Keterangan & Petua Beramal

Menurut al-Imam Al-Zahabi, Ibn Abbas r.huma berkata bahawa Nabi s.a.w mengajar doa ini agar dibacakan bila ditimpa demam panas.
Menurut sebuah hadith yang dikemukakan dalam sahih Al-Bukhari dan Muslim, Asma` r.ha telah menuangkan air kepada seorang perempuan yang ditimpa demam.Beliau telah mengatakan bahawa Nabi s.a.w telah bersabda : “ Sejukkanlah dia dengan air”.

Renungan hari ini...

“Sesungguhnya seseorang dari kamu dihimpunkan kejadiannya dalam rahim ibunya empat puluh hari sebagai setitis mani, kemudian dia menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama juga kemudian dia bertukar menjadi seketul daging dalam tempoh itu juga, kemudian diutuskan kepadanya malaikat untuk meniupkan ruh padanya dan diperintahkan juga kepada malaikat itu untuk menulis empat perkara iaitulah rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia orang yang celaka ataupun orang yang menderita. ( HR al-Bukhari no 3036,Muslim no 2643 )

Doa agar mudah tidur, petikan dari kitab 101 Doa daripada Hadis Sahih terbitan Telaga Biru Sdn Bhd

اللَّهُمَّ غَارَتِ النُّجُومُ ، وَهَدَأَتِ الْعُيُونُ ، وَأَنْتَ حَيٌّ قَيُّومٌ ،
يَا حَيُّ ، يَا قَيُّومُ ، أَنِمْ عَيْنَيَّ وَأَهْدِئْ لَيْلِي

Maksudnya : Ya Allah , telah malap bintang-bintang , dan telah tenang mata-mata manusia , dan Engkau maha berkuasa , Wahai yang Maha Berkuasa , lelapkanlah mataku dan tenangkanlah malamku ini .

Keterangan & Petua Beramal
Diriwayatkan oleh At-Tabraniy dan Ibn al-Sunni , dari Hajjaj bin Imran As-Sadusiy, dari Amru bin Al-Husain, dari Muhammad bin Abdillah dari Thaur bin Yazid dari Khalid bin Ma’dan dari Abdul Malik bin Marwan bahawa bapanya pernah mengatakan bahawa Zaid bin Thabit pernah mengadu kepada Nabi saw tentang penyakit tidak boleh tidur malam yang menimpanya , lalu baginda saw mengajarnya doa di atas .

Menurut hadith riwayat Ibnus Sunni , Zaid bin Thabit r.a yang mengalami masalah sukar untuk tidur (insomnia) akhirnya dapat tidur dengan nyenyaknya berkat beramal dengan jampi yang diajar oleh Nabi saw itu .

Menurut pengarang buku Doa & Rawatan pesakit , doa ini boleh dibacakan pada pesakit dan air . Caranya iaitu , letakkan tangan kanan atas dahi semasa membaca doa dan tiup kedua belah biji matanya . Air yang telah dijampi dengan doa ini boleh digunakan untuk diminum dan untuk mandi .

Lelaki bersalaman dengan wanita? diringkaskan dari artikel Us Nik Ab Rahim Nik Ab Ghani, penulis dalam column Maqasid, Majallah SOLUSI

Sebenarnya, seorang lelaki itu boleh bersalaman dengan wanita mahramnya berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. pernah mencium Fatimah. (HR Abu Dawud dan al-Tirmizi). Selain daripada wanita mahram, bukan mahram atau diistilahkan sebagai wanita ajnabiyyah atau ajnabi. Wanita ajnabi ialah mereka yang halal dikahwini yang bukan mahram atau bukan isterinya. (al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami 7/598). Akhir-akhir ini, umat Islam sering mempertikaikan hukum Allah Taala, baik hukum yang kecil sehingga hukum yang besar termasuk hukum bersalaman sendiri. Berdasarkan pengamatan ulama, mereka bersepakat bahawa seorang lelaki tidak boleh bersalaman dengan wanita ajnabi. Seorang tokoh mazhab Shafie yang disegani, Imam al-Nawawi menegaskan : ‘Sesungguhnya halal melihat kepada wanita ajnabi jika ia ingin menikahinya, atau ketika urusan jual beli, atau ketika mengambil sesuatu barang atau memberi kepadanya dan seumpamanya dan tidak harus menyentuhnya dalam sesuatu situasi berkenaan’. (al-Azkar, 228).

Ummul Mukminin Aisyah r.a pernah bersumpah menafikan Rasulullah s.a.w. pernah menyentuh tangan wanita dalam bai’ah peristiwa hijrah : ‘Demi Allah, tangan baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita pun, baginda hanya berbai’ah dengan ucapan’. (Fath al-Bari 11/345-346 dan Sharh Sahih Muslim 13/10). Hadis ini menjelaskan bahawa bai’ah wanita hanya berlaku dengan ucapan sahaja tanpa bersalaman. (Sharh Sahih Muslim 13/10). Ini disokong oleh satu riwayat lain di mana Umaimah binti Raqiqah r.ah pernah berkata : ‘Aku datang kepada Rasulullah s.a.w. dalam kumpulan wanita, kami ingin berbai’ah dengannya. Kami berkata : “Kami berbai’ah denganmu wahai Rasulullah bahawa kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, kami tidak mencuri, tida berzina, tidak membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan membuat cerita dusta yang direka-reka serta kami tidak akan mengingkari perintahmu pada kebenaran”. Lantas Rasulullah s.aw. bersabda : “Pada perkara yang kamu mampu dan berdaya”. Umaimah menceritakan lagi : “Kami berkata bahawa Allah dan RasulNya lebih mengasihani kami daripada diri kami, ayuhlah kami ingin berbai’ah denganmu wahai Rasulullah”. Lalu Nabi s.a.w menjawab : “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita, sesungguhnya perkataanku kepada seratus orang wanita adalah seperti perkataanku kepada seorang wanita atau seumpama perkataanku kepada seorang wanita”. (HR al-Tirmizi 4/151-152, al-Nasa’i 7/149, Ibn Majah 2/959. al-Tirmizi menyebut : ‘Hadis ini hadis hasan sahih).

Hadis ini adalah nas yang jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. tidak bersalaman dengan wanita ketika berbai’ah. Jika Nabi seorang yang maksum tidak bersalaman ketika bai’ah, maka lebih aula hukumnya dalam situasi selain bai’ah. Apabila Rasulullah s.a.w. tidak bersalaman dengan wanita, sudah tentu kita juga wajib mengikut sunnah baginda kerana baginda s.a.w. adalah qudwah dan ikutan kita semua. Dengan dalil-dalil yang sudah jelas dan terang ini, maka tertolaklah segala dakwaan dan hasutan yang cuba menghalalkan perbuatan bersalaman antara lelaki dan wanita. Sesetengah orang berhujahkan keharusan bersalaman dengan wanita melalui hadis Ummu Atiyyah yang diriwayakan oleh al-Bukhari. (Fath al-Bari 10/262). Di sini, saya tidak mahu memanjangkan syubhah-syubhah yang dikaitkan dengan riwayat tersebut. Cukup saya nukilkan penjelasan al-Albani rahimahullah, pakar hadis terkenal : ‘Dan kesimpulannya ialah tidak sahih daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersalaman dengan wanita walaupun ketika peristiwa bai’ah, lebih-lebih lagi dalam situasi ketika bertemu. Segilintir orang yang berhujah keharusannya dengan hadis Ummu Atiyyah yang saya sebutkan tadi sedangkan lafaz bersalaman tidak pernah disebut dalam riwayat tadi dan mereka berpaling daripada hadis-hadis yang jelas menafikan Nabi s.a.w. bersalaman adalah merupakan satu perkara yang tidak keluar dari seorang mukmin yang ikhlas’. (Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 2/55).

Oleh itu, bagi kita umat Islam, tiada yang lebih baik dan lebih utama kecuali mengikuti sunnah dan petunjuk Nabi s.a.w. Dalam era moden sekarang, tidak perlu kita mendakwa untuk meniti arus kemodenan maka kita mesti mengikuti semua budaya barat dan cara mereka. Bahkan sebenarnya, yang menjadi keutamaan kita ialah memperkukuhkan diri kita dengan nilai-nilai murni Islam dalam era modenisasi sekarang. Ini supaya kita tidak mudah terjerumus dan tergelincir dihanyutkan oleh kesesatan dunia hari ini. Mudah-mudahan semua umat Islam mendapat hidayah Allah s.w.t. Amin.

Petua menghindari gangguan dalam tidur dari Kitab 101 Doa Dari Hadis-hadis Sahih terbitan Telaga Biru Sdn Bhd

antara petua yang sering diabaikan bagi golongan yang sering didatangi oleh mimpi buruk adalah beramal dgn doa ini.

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ
وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُونِ

Maksudnya : Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kemarahanNya , seksaanNya , dan kejahatan hamba-hambaNya, dan dari godaan syaitan (bisikannya) serta jangan sampai mereka datang (kepadaku)

Keterangan & Petua Beramal
الرؤيا الصالحة من الله والحلم من الشياطين فإذا رأى أحدكم ما يجب
فلا يحدث به إلا من يحب الحديث
Maksudnya : Nabi saw bersabda , yang bermaksud : “Mimpi yang baik adalah dari Allah, sedang mimpi (buruk) adalah dari syaitan. Apabila seseorang di antara kamu bermimpi yang disenangi, janganlah dibicarakan kecuali kepada orang yang senang mendengarnya.

Bagi seseorang yang bermimpi buruk, hendaklah berbuat seperti berikut:

a) Meludah ke kirinya, tiga kali
b) Minta pertolongan kepada Allah dari godaan syaitan dan kedahsyatan mimpinya, tiga kali
c) Membalikkan tubuh ( mengubah posisi)
d) Tidak menceritakan mimpi itu kepada orang lain.
e) Mengambil wudhuk lalu melakukan solat sekiranya mahu .
Menurut majalah Reader’s Digest edisi Julai 2006, berdasarkan kajian saintifik seseorang itu mampu merakamkan mimpi yang dilaluinya dan mentafsirkannya secara positif .Langkah yang perlu dilakukan adalah seperti di bawah :
1. Fikirkan sesuatu idea yang ingin kita bawakan dalam tidur.
2. Sediakan peralatan untuk merekodkan mimpi sebaik sahaja terjaga dari tidur.
3. Cuba bangun secara natural tanpa menggunakan jam loceng atau secara terpaksa.
4. Bangun secara perlahan dengan membuka mata secara beransur-ansur.
5. Hubungkan pola mimpi dengan keadaan semasa untuk mengelakkan lupa.
6. Tukarkan outcome mimpi kepada perkara yang positif.
7. Bersabar untuk mengingatkan mimpi semula, kerana ia mungkin mengambil masa yang lama untuk diingat semula.

Sekadar peringatan ...

PETIKAN DARI MAKALAH US UMAR M NOR DALAM MAJALAH SOLUSI

Pilih Keinginan atau Keperluan ?

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab “Al-Zuhd” bahawa Umar bin Al-Khattab suatu hari berkunjung ke rumah anaknya, Abdullah. Tiba-tiba dia melihat sepotong daging di rumah itu. Dia lalu bertanya, “Mengapa ada daging di sini?” Abdullah menjawab, “Aku teringin memakan daging, jadi aku membelinya.” Umar lalu berkata, “Apakah setiap kali teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang dilakukan seseorang, setiap kali dia menginginkan sesuatu lalu memakannya.”

Imam Ahmad juga meriwayatkan dalam kitab yang sama bahawa suatu hari Umar berjumpa dengan Jabir bin Abdillah yang sedang membawa daging dari pasar. Ia lalu bertanya, “Apa yang engkau bawa itu, wahai Jabir?” Jabir menjawab, “Ini daging. Aku membelinya sebab teringinkan hendak makan daging.” Sekali lagi Umar berkata, “Apakah setiap kali menginginkan sesuatu, engkau membelinya?”

Nafsu

Ucapan Umar Al-Faruk yang diakui Baginda Nabi s.a.w sebagai sangat pandai memilih kebenaran dan kebatilan ini adalah tepat untuk dijadikan panduan hidup. Beliau mengajarkan agar kita tidak menjadikan “keinginan” sebagai asas konsumsi melainkan “keperluan”. Sebab hakikat keinginan adalah nafsu serakah yang tidak mengenal batasan. Setiap kali diberi, ia akan meminta yang lain. Begitulah seterusnya sehingga jika selalu dituruti, ia akan menghantar manusia kepada gaya hidup mewah yang berakhir dengan pembaziran.

Sementara itu, asas keperluan intinya menjadikan akal rasional sebagai pembuat keputusan. Dengan kecerdasannya, akal akan memilih benda-benda yang penting dan yang kurang (atau sama sekali tidak) penting. Akibatnya, seseorang yang berpegang kepada asas ini dapat mengawal perbelanjaannya dengan baik dan selamat daripada kegawatan financial.

Prinsip ini memperlihatkan ketinggian fiqah Sayidina Umar. Sebab tidak terhitung anjuran Islam agar kita membangkang keinginan nafsu. Al-Quran bahkan menyebutkan bahawa sikap memperturutkan hawa nafsu merupakan gaya hidup kafir yang tidak selari dengan prinsip keislaman. “Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka.” (Al-Najm: 23)

Al-Quran juga menceritakan bahawa orang kafir menjadikan nafsunya sebagai tuhan selain Allah (Al-Furqan: 25). Jika begitu, membangkang keinginan nafsu merupakan persaksian tauhid yang sangat tinggi sehingga tepat ucapan Imam Sahl bin Abdillah Al-Tustari: “Allah tidak disembah dengan suatu amalan yang lebih baik daripada membangkang keinginan nafsu.”

Kisah tokoh Islam yang berkaitan dengan hal ini sangat banyak kita temui dalam buku-buku sejarah. Sayidina Umar, yang kisahnya membuka tulisan saya kali ini, terkenal dengan sangat pandai mengawal nafsu sehingga tidak pernah mencela makanan yang dihidangkan kepadanya.

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab Al-Zuhd bahawa pada suatu hari, pelayan Umar yang bernama Aslam berkata dalam hati: “Hari ini, aku akan membuat Umar mencela makanan.” Lalu dia menghidangkan segelas susu yang masam untuknya. Seketika meminum susu ini, wajah Umar berubah. Namun dia tidak mencela minuman itu, sebaliknya berkata, “Duhai betapa lazatnya rezeki Allah s.w.t.”

Anaknya, Abdullah bin Umar, sejak ditegur ayahnya tadi selalu meninggalkan sesuatu kerana Allah setiap kali mencintainya. Nafi, pembantunya, berkata, “Setiap kali Ibn Umar mencintai sesuatu dari harta miliknya, dia akan melepaskan sesuatu itu. Suatu hari dia menunggang seekor unta dan merasa sangat menyukainya. Dia segera turun dari unta itu dan berkata, wahai Nafi, lepaskan pelana ikatan unta ini dan jadikanlah ia korban untuk Baitullah.”

Prinsip hidup ini terus hidup dalam masyarakat Islam hingga berabad-abad kemudian. Ulama Baghdad yang terkenal, Sari bin Abdillah Al-Saqathi, pernah berkata, “Sejak tiga puluh tahun yang lalu, nafsuku selalu menuntut untuk (memakan) wortel yang dicelup ke dalam madu, namun aku tidak menurutinya.”

Balasan Meninggalkan Nafsu

Saya sedar bahawa ajakan untuk meninggalkan nafsu sangat ringan di lidah namun sangat berat diwujudkan dalam perbuatan. Apatah lagi hati manusia selalu berusaha memperoleh kelazatan sebanyak-banyaknya. Namun hal tersebut menjadi ringan sekiranya kita meyakini bahawa meninggalkan nafsu pada hakikatnya adalah menukar kelazatan kecil dengan kelazatan lain yang lebih besar.

Jangan salah faham. Saya tidak membicarakan tentang kelazatan syurga yang hanya boleh dinikmati selepas meninggal dunia. Insya-Allah kita akan mendapatkan itu juga nanti. Tetapi saat ini saya sedang berbicara tentang kelazatan “syurga dunia” yang dapat dirasakan sebelum nyawa kita berpisah daripada jasad. Ibn Athaillah al-Sakandari berkata, “Tuhan kita sangat pemurah. Tidak mungkin kita bekerja untuknya sekarang namun ia membalasnya nanti.”

Percaya atau tidak, anda dapat merasai balasan daripada amalan meninggalkan nafsu yang anda lakukan di dunia ini sebelum menerima pahalanya di akhirat kelak. Balasan minima yang segera anda rasakan adalah kenikmatan kembali kepada Allah dan berdamai dengan hati nurani. Ibrahim Al-Khawas berkata: “Barang siapa yang meninggalkan keinginan nafsu, namun ia tidak merasakan (kelazatan) balasannya dalam hati, bererti ia tidak jujur dalam meninggalkannya.”

Balasan lain yang sedang menunggu seperti yang dijelaskan oleh seorang sahabat Nabi s.a.w yang bernama Ubay bin Ka’b katanya: “Tidaklah seorang hamba meninggalkan sesuatu kerana Allah, melainkan Allah akan memberinya sesuatu yang lebih baik daripada itu dari arah yang tidak disangka-sangka.” Ucapan ini diriwayatkan oleh Ibn Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd.

Bagi pemuda yang suka melihat sesuatu yang haram, sila renungi ucapan sahabat Nabi s.a.w yang diakui ketinggian ilmunya ini. Lalu ditinggalkannya kerana kelazatan maksiat yang sedang menjerat itu hakikatnya membunuh anda. Dan yakinlah, kelazatan yang lebih besar (hanya Allah yang tahu apa bentuknya) sedang menunggu anda sebagai balasan yang Allah berikan kepada orang yang meninggalkan nafsu kerana-Nya.

Jika anda merasa seronok menghisap rokok, cubalah meninggalkan keseronokan ini kerana Allah. Nescaya keseronokan lebih besar dan halal akan menghampiri anda sebagai gantinya dari Allah.

Jika anda berasa nikmat mempraktikkan gaya hidup bebas daripada aturan agama tanpa hukum halal dan haram, sudah sampai saatnya anda merenungkan kembali kenikmatan itu. Jika ianya membawa kepada kenikmatan sebenar, sila anda memperturutkan nafsu anda hingga akhir hayat. Tapi jika anda yakin nikmat itu hanya akan berakhir dengan kesengsaraan, segera tinggalkan kenikmatan semua itu dan beralihlah kepada kenikmatan hakiki yang sedang menunggu anda.

Akhirnya,

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barang siapa yang meninggalkan sehelai pakaian (kerana dorongan) tawaduk kerana Allah, padahal dia mampu memakainya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan semua makhluk lalu membiarkannya memilih baju-baju iman yang dia kehendaki.”

Sering kali seseorang membeli sehelai pakaian bukan kerana memerlukannya untuk menutup aurat atau menjaga daripada panas atau sejuk. Dia membelinya hanya kerana pakaian itu pernah dilihatnya di dalam sebuah majalah fesyen. Begitu juga sikap sebahagian orang terhadap telefon bimbit, beg tangan, kereta, komputer riba dan aksesori lain yang mewarnai hidup kita. Hadis di atas menjelaskan balasan akhirat untuk orang yang bersedia meninggalkan kebiasaan buruk ini.

Akhirnya, sering-seringlah bertanya kepada diri sendiri ketika anda sedang memandang sesuatu benda di pusat beli belah, “Apakah saya ingin atau perlu membeli barang ini?” Lalu ucapkan kata-kata Sayidina Umar dengan jelas, “Cukuplah pembaziran yang dilakukan seseorang, setiap kali ia menginginkan sesuatu yang dia membelinya.” Wallahu a’lam.

Doa agar dapat membayar hutang dari buku 101 petua murah rezeki dan jauhi hutang terbitan Telaga Biru Sdn Bhd

اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلالِكَ عَنْ حَرامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ


Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezekiMu yang halal (hingga aku terhindar) dari yang haram. Kayakanlah aku dengan AnugerahMu, (hingga aku tidak minta) kepada selainMu.

Kisah di sebalik doa ini :

Menurut sebuah riwayat dari al-Imam al-Tirmizi , seorang lelaki bertaraf hamba telah datang berjumpa dengan Sayyidina Ali ra meminta agar ditunjukkan jalan membolehkannya hidup merdeka dan bebas. Sayyidina Ali memberitahunya jika kamu bermal dengan doa yang pertama di atas , engkau akan dapat membayar hutangmu walaupun jika sebesar gunung .