Showing posts with label MAKKAH al-Mukarramah Kelebihan dan Sejarah. Show all posts
Showing posts with label MAKKAH al-Mukarramah Kelebihan dan Sejarah. Show all posts

Tuesday, January 26, 2010

Khutbah Terakhir - Nabi Muhammad s.a.w.

Khutbah ini disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah Gunung Arafah di Mekah.

“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan, aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan ALLAH pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. ALLAH telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk meyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah ALLAH, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. (Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih). Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan berAmal Soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap ALLAH pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah AL-QURAN dan SUNNAHku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang terus mendengar daripadaku. Saksikanlah Ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hamba Mu.”

Thursday, January 7, 2010

Masjidilharam








Kelebihan dan kemuliaannya

Masjidilharam meliputi Kaabah, tempat tawaf di sekelilingnya serta semua bangunan dan halaman untuk bersolat termasuk bahagian pembesaran yang dimulai pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. sehingga ke zaman Khadimul Haramain Raja Abdullah bin Abdul Aziz pada hari ini.

Masjidilharam mempunyai kelebihan yang mulia dan unik yang tidak dimiliki oleh mana-mana tempat di dunia ini. Kemuliaan ini kerana kedudukannya yang berada di Makkah. Ia merupakan bumi yang sangat mulia dan terdapat binaan Kaabah di dalamnya.

Terdapat banyak dalil daripada al-Quran yang menyebut dengan jelas tentang hubungan dan kaitan yang rapat antara Kaabah, Masjidilharam dan Makkah secara umum.

Perkataan “Masjidilharam” disebut 15 kali dalam al-Quran. Semua dalil ini menunjukkan kelebihan serta kemuliaan Masjidilharam dan Makkah kesuluruhannya.

Pertama: Perkataan “Masjidilharam” bermaksud “Kaabah”.
Allah s.w.t. berfirman yang *bermaksud: Kami sering melihat engkau (wahai Muhammad) mengangkat mukamu ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang engkau sukai. Palinglah mukamu ke arah Masjidilharam. (Surah al-Baqarah: 144)

Kedua: “Masjidilharam” bermaksud “Makkah”.
Allah s.w.t. berfirman yang *bermaksud: Wahai orang yang beriman, sesungguhnya orang musyrik (kafir) itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam selepas tahun ini. (Surah al-Taubah:28)

Masjidilharam telah dimuliakan sejak sebelum Islam lagi. Kaum Arab sebelum Islam tidak memasuki kawasan Haram dengan kasut mereka. Mereka mengelilingi Kaabah dengan tidak berpakaian kerana mereka percaya bahawa pakaian mereka telah dikotori oleh dosa-dosa mereka. Kaum lelaki melakukan tawaf pada waktu siang dan perempuan pada
malam hari.

Sebagai memuliakan Kaabah, Arab Quraisy juga tidak membina ruman-rumah mereka dengan bentuk empat segi, tetapi dengan bentuk bulatan.

Kedudukan Binaannya Sebelum Islam

Lebih kurang 200 tahun sebelum Hijrah, Makkah telah menjadi sebuah Bandar. Sebelum itu tiada binaan di kawasan sekitar Kaabah. Penduduk Makkah tinggal di sekitar lurah Bukit merah (sekitar kawasan Mudda’a dan al-Ma’lah) dan Jabal Abu Qubais yang menghadap ke arah lembah itu.

Apabila Qusai bin Kilab memegang pemerintahan Makkah, beliau telah menerajui binaan Bandar Makkah dan reka bentuknya. Semua rumah telah dibina mengelilingi Kaabah dengan satu kawasan persegi dikosongkan sekitarnya. Dengan permulaan yang ringkas ini, Makkah telah berkembang menjadi Bandar Suci bagi seluruh dunia Islam.

Sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. hingga ke zaman Qusai keadaan Masjidilharam hanyalah kawasan lapang sekitar Kaabah, tidak ada bangunan, ia dilingkungi oleh rumah orang Quraisy.

Perkembangan Selepas Pembukaan Makkah

Selepas kedatangan Islam dan pembukaan kota Makkahpada tahun ke-8 Hijrah sehinggalah ke zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar r.a., tidak berlaku sebarang perubahan mahupun pembinaan terhadap Kaabah serta kawasan di sekitarnya. Kerana pada waktu itu tidak ada keperluan untuk meluaskan kawasan Kaabah atau memagarinya.

Binaan dan Perkembangan Masjidilharam Dalam Sejarah

Pertama: Pembesaran Masjidilharam pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. pada tahun 17H / 638M.

Ia merupakan pembesaran yang pertama. Khalifah Umra r.a. mengambil keputusan ini apabila Kaabah telah rosak dilanda banjir. Beliau juga mendapati kawasan solat menjadi begitu sesak dan sempit, lalu beliau membeli kawasan di sekitar Kaabah dan menjadikannya kawasan masjid. Beliau juga mengarahkan agar pagar dibina di sekeliling masjid dengan beberapa pintu dan lampu-lampu dipasang di dindingnya.

Kedua: Pembinaan Masjidilharam oleh Khalifah Usman bin Affan r.a., pada tahun 26H / 646M.

Apabila Khalifah Usman r.a. datang ke Makkah untuk mengerjakan umrah pada tahun 26H, beliau mendapati tempat tersebut menjadi begitu sesak dan penduduk Makkah telah bertambah dengan pesatnya. Beliau mengarahkan agar dilaksanakan proses pembesaran Masjid dengan meruntuhkan rumah dan bangunan di sekitarnya dengan membayar pampas an kepada pemiliknya.

Pembesaran Masjidilharam yang dilakukan oleh Usman ini berbeza sekali dari segi binaan dengan yang sebelumnya. Beliau telah membina atap untuk melindungi para pengunjungnya daripada panas matahari. Pembesaran masjid yang dilakukan oleh Usman r.a. ini dianggarkan keluasannya ialah 2,040 meter persegi.

Ketiga: Pembinaan oleh Abdullah bin al-Zubair r.a. pada tahun 65H / 684M.

Abdullah bin al-Zubair r.a. merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk membaiki semula binaan Masjidilharam dan Kaabah apabila ia terjejas akibat kepungan yang telah dilakukan oleh penduduk Syam terhadap Kaabah. Beliau memustuskan untuk membaiki kerosakan yang berlaku terhadap Masjidilharam serta meruntuh dan membina semula Kaabah. Beliau tidak terus melakukannya, bahkan beliau meminta nasihat serta pandangana daripada beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w. yang lain.

Sebahagian daripada mereka bersetuju dan sebhagaiannya tidak. Tetapi beliau berpegang dengan hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang *bermaksud:

“Wahai Aishah! Kalaulah bukan kerana kaummu (Quraisy) yang masih baru meninggalkan suasana jahiliah (kufur) nescaya aku akan mengarahkan supaya diruntuhkan Kaabah dan dibina semula dengan memasukkan sudut yang telah dikeluarkan (oleh Quraisy) dan merendahkan binaan (pintunya) di atas tanah, kemudian menjadikan baginya dua pintu, iaitu satu disebelah timur dan satu lagi di sebelah barat, menjadikan binaannya menurut asas yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s.

Lalu beliau meninaikan kehendak Rasullah s.a.w. Kebetulan keadaan Kaabah pada ketika itu perlu diruntuhkan dan dibina semula. Abdullah meletakkan Hajarulaswad di kaabah, membina pintunya rapat ke tanah dan membuka sebuah lagi pintu di bahagian baratnya.

Apabila selesai pembinaan tersebut, beliau merenjiskan dengan wangian dan haruman serta menutupi dengan dibaj (kain sutera asli). Beliau juga telah meluaskan kawasan Masjidilharam di bahagian timur, utara dan selatan. Untuk tujuan ini, beliau telah mengarahkan agar beberapa rumah dan bangunan di sekitar Masjidilharam diruntuhkan dan dibayar pampasan kepada pemiliknya dan dijadikan masjid. Beliau juga mengarahkan agar atap masjid dibina.

Keempat: Pembaikan Masjid oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan pada tahun 75H / 694M.

Pada tahun 75H Khalifah Abdul Malik telah memerintahkan agar dilakukan penambahan dan peninggian terhadap binaan dinding Masjid. Manakala atapnya dibuat daripada saj (kayu jati). Emas seberat 50 misqal (1 misqal = 4.25g; 4.25 X 50 = 212.5 g) diletakkan di atas setiap tiang panjang yang bulat. Binaan inidikira sebagai proses pembaikan terhadap bangunan dan peninggian dinding masjid tanpa merubah kawasan sekitarnya.

Kelima: Pembesaran Masjidilharam oleh Khalifah al-Walid ibn Abdul Malik pada tahun
91H / 710M.

Pada tahun 91H, al-Walid telah mengambil keputusan untuk merombak semua pembaikan yang dilakukan oleh bapanya. Beliau membinanya semula secara terancang dan lebih sempurna. Beliau merupakan orang pertama yang membawa masuk tiang marmar dari Mesir dan Syam ke Makkah. Beliau juga membina pintu gerbang utama di setiap empat penjuru masjid.

Bahagian hadapan setiap serambi masjid pula dibina seperti gerbang dengan tiang marmar yang bersalut emas. Serambi yang telah dihiasi marmar ini juga diliengkapi dengan beranda yang dihiasi dengan batu kapur. Beliau juga memerintahkan agar dinding masjid disaluti dengan marmar sehingga berukuran satu meter tinggi. Atas masjid diperbuat daripada kayu jati yang berukir.

Keenam: Pembesaran Masjidilharam oleh Khalifah Abu Ja’far al-Mansur pada tahun 137H / 754M.

Di bawah pemerintahan al-Abbasiyah, binaan Masjidilharam telah memasuki era baru dari segi reka bentuk dan seni bina. Keluasan kawasan Masjidilharam juga bertambah berbanding keadaan sebelumnya. Pembesaran ini termasuk di bahagian utara dan barat masjid.

Khalifah Abu Ja’far al-Mansur telah membeli kesemua rumah di bahagian utara dan barat dan memasukkannya ke dalam kawasan masjid. Beliau juga mengarahkan pembinaan menara masjid apabila selesai pembesaran tersebut.

Pembinaan oleh al-Mansur ini termasuklah satu pintu gerbang besar yang diperbuat daripada marmar di sekeliling kawasan tengah masjid. Bahagian depan gerbang ini dihiasi dengan mozek dan emas. Bahagian dalam masjid pula ditutupi dengan marmar. Hijr Ismail juga dihiasi dengan marmar dan disaluti dengan batu pualam putih (alabaster) di bahagian dalam, luar dan di atasnya.

Pembesaran al-Mansur ini bermula pada tahun 137H dan berakhir pada tahun 140H.

Ketujuh: Pembesaran oleh Khalifah Muhammad al-Mahdi pada tahun 160H / 776M.

Pada tahun 160H, Khalifah Muhammad al-Mahdi bin Abi Jaafar al-Mansur telah datang ke Makkah untuk menunaikan haji. Beliau bertekad untuk membesarkan Masjidilharam dan meperbaharui binaanya. Perluasan ini melibatkan bahagian timur, barat dan selatan masjid. Beliau telah memerintahkan agar tiang-tiang marmar dibawa masuk ke Makkah dari Syam dan Mesir. Beliau juga menambah dua serambi di atas tiang yang diperbuat daripada marmar. Atap masjid dibuat daripada kayu jati berukir. Pembinaan ini siap pada tahun 164H.

Pembesaran kedua oleh al-Mahdi pada tahun 164H.

Semasa mengerjakan haji pada tahun 164H, beliau mendapati bahawa kedudukan Kaabah lebih hampir dengan bahagian selatan masjid daripada bahagian-bahagian lain. Ia tidak berada di tengah tengan masjid. Beliau terus mengarahkan agar semua rumah rumah yang terletak di bahagian tersebut diruntuhkan. Pelan baru telah direka, di mana Masjidilharam dijadikan dalam bentuk empat segi dan kaabah terletak ditengah-tengahnya.

Masjidilharam dibina dengan sempurna dan menjadi permata yang indah di dalam dunia seni bina pada zaman Abbasiyah. Binaan al-Mahdi ini kekal sebagai binaan yang teragung sehingga ke zaman moden. Beliau juga telah membina tiga buah menara masjid.

Kelapan: Pembesaran oleh Khalifah al-Mu’tadhid pada tahun 284H / 894M.

Pembesaran ini turut dikenali sebagai pembesaran Dar al-Nadwah. Dar al-Nadwah merupakan istana persinggahan bagi para khalifah apabila mereka berada di Makkah. Ia terletak di bahagian selatan kawasan masjid serta mempunyai halaman yang luas. Keluasan kawasannya lebih kurang 1,250 meter persegi.

Apabila rumah ini telah menjadi buruk ia telah diruntuhkan dan dijadikan sebagai masjid yang bersambung dengan Masjidilharam. Bangunan ini dibina dengan tiang persegi serta melengkung dengan atap daripada kayu jati. Dua belas buah pintu telah dibuka dari masjidilharam untuk ke masjid ini.

Pada tahun 306H bangunan tambahan ini telah disatukan dengan binaan Masjidilharam setelah ia menjasi masjid yang berasingan buat seketika. Para jemaah yang bersolat di dar al-Nadwah ini dapat melihat Kaabah di hadapan mereka.

Kesembilan: Pembesaran Masjidilharam oleh Khalifah al-Muqtadir Bilah pada tahun 306H / 918M.

Pembesaran ini di kenali sebagai pembesaran Bab Ibrahim. Ia terletak di bahagian barat Masjidilharam, iaitu di antara dua rumah Siti Zubaidah (isteri Khalifah Harun al-Rasyid), bersebelahan Bab al-Khayyatin dan pintu Banu Juma’.

Kawasan ini telah di masukkan ke dalam Masjidilharam. Dua pintu tersebut telah dibuang dan digantikan dengan satu pintu besar yang dinamakan Bab Ibrahim.

Pada zaman pemerintahan al-Mamalik 802H

Selepas kejatuhan kerajaan Abbasiyah di tangan Monggol pada tahun 656H / 1258M, kekuasaan untuk menjaga Masjidilharam telah bertukar kepada pemerintahan al-Mamalik di mesir. Mereka telah bekerja keras dalam usaha untuk membaiki dan menjaga Masjidilharam demi mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allah s.w.t.

Beberapa sultan al-Mamalik telah melakukan pembaharuan yang sewajarnya terhadap Masjidilharam, bermula pada tahun 802H semasa pemerintahan Sultan al-Nasir bin Barquq, manakala pembaharuan yang terakhir ialah pada tahun 882H /1477M semasa pemerintahan Sultan al-Asyraf Qaitbai.

Pembaikan Masjidilharam pada zaman Uthmaniyah 979 – 984H.

Kerajaan Uthmaniyah juga telah memainkan peranan besar dalam menunaikan tanggungjawab menjaga dan memperbaharui Masjidilharam, semenjak bumi Hijaz berada di bawah kekuasaan mereka pada tahun 923H / 1517M yang dipimpin oleh Sultan Salim 1. Sejak itu mereka menjadi pengawal kepada hal ehwal bagi dua Tanah Haram.

Setiap tahun mereka menghantar kiswah (kelambu) Kaabah, begitu juga dengan gaji dan elaun pekerja dan mereka telah membaiki dan menghiaskan Masjidilharam.

Pada zaman pemerintahan Sultan Salim dan Sultan Murad, serambi bahagian timur masjid kelihatan melengkong ke arah Kaabah. Ini disebabkan atap dan dinding kayu yang buruk telah menjadi reput dan berkarat kerana terdedah kepada cahaya matahari.

Kerja-kerja pembaikan di bahagian timur ini dimulakan pada tahun 980H. Ia telah diruntuhkan dan dibina semula.

Pada akhir proses pembaikan ini, Sultan Salim Khan ibn Sultan Sulaiman telah meninggal dunia dan digantikan oleh anaknya Sultan Murad yang mengarahkan agar projek tersebut diselesaikan dengan segala usaha yang terdaya. Akhirnya projek ini selesai pada akhir tahun 984h dan Masjidilharam terus mendapat perhatian dan penjagaan istimewa daripad Sultan Aal (keluarga atau dinasti) Uthmani.

Perhatian: Pembesaran Masjidilharam yang terakhir di lakukan oleh al-Muqtadir al-Abbasi, dan selepas itu Masjidilharam tidak diperbesarkan sepanjang sejarah di bawah pemerintahan al-Fatimiyyin, al-Ayyubiyyin, al-Mamalik dan al-Uthmaniyah. Masjidilharam Cuma dibaiki dan dihiasi dengan keluasan yang sedia ada, hinggalah sampai kepada pembesaran yang dibuat oleh kerajaan Arab Saudi pada tahun 1375H.

Kesepuluh: Masjidilharam di bawah Kerajaan Arab Saudi.

Almarhum Raja Aziz ibn Abdul Rahman al-Sa’ud telah member perhatian yang besar dalam kerja-kerja membaiki Masjidilharam, sama ada di bahagian dalam atau luarnya untuk memastikan penampilan yang sesuai dan setaraf dengan kemuliaannya.

Perhatian ini termasuklah projek membaik pulih semua kerosakan pada dinding, atap dan tiang masjid. Ia turut melibatkan proses membaiki kawasan laluan, sekeliling tempat tawaf, kesemua pintu dan mengecat Maqam Ibrahim dengan warna hijau, di samping tiang tembaga, beranda keempat-empat bahagian masjid, serta perhiasan dalam dan luar dinding masjid. Semua kubah telah dibersihkan, pintu-pintu masjid dibaiki dan dicat semula begitu juga tiang-tiang masjid. Raja Abdul Aziz begitu bersungguh-sungguh membaiki dengan sempurnanya keseluruhan Masjidilharam untuk menjadikan cantik berseri. Semua kerja ini selesai pada tahun 1347H.

Pembesaran pertama pada tahun 1375 – 1396 / 1955M

Perintah diraja telah dikeluarkan untuk memulakan proses pembesaran Masjidilharam, iaitu dengan meruntuhkan sesemua bangunan yang berada di sekelilingnya dan pemiliknya dibayar pampasan. Projek ini telah dijalankan delam beberapa peringkat selama 20 tahun, di bawah pemerintahan Raja Sa’ud dan Raja Faisal. Projek ini bertujuan untuk mengekalkan binaan berserambi Uthmaniyah. Sebahagian besarnya telah diruntuhkan dan dibina semula.

Pembinaan bermula di bahagian selatan masjid, diikuti kawasan seterusnya. Kerja-kerja dimulai dengan membina kawasan Mas’a (tempat sa’i – antara bukit Safa dan Bukit Marwah). Panjangnya sejauh 396m dan lebarnya 20m. Kawasan Mas’a tersebut dibina menjadi dua tingkat. Banyak pintu dan jendela baru telah dibina.

Kawasan bawah tanah dan serambi juga telah dibina. Tujuh menara baru didirikan. Nama-nama lama bagi pintu dan pagar dikekalkan. Bilangan kesemua pintu setelah selesai pembinaan ini 51 buah, meliputi pintu kecil dan besar.

Jumlah keseluruhan pembiayaan projek ini mencapat angka 662 juta Riyal Saudi. Luas keseluruhan kawasan Masjidilharam menjadi 180,850 meter persegi, dan boleh menampung seramai 400,000 jemaah, iaitu lebih dua kali ganda berbanding jumlah sebelumnya yang hanya mempunyai keluasan 27,850 meter persegi.

Pembesaran kedua oleh Khadimul Haramain, Raja Fahd ibn Abdul Aziz pada tahun 1409H / 1988M

Pada bulan Safar 1409H, Khadimul Haramin, Raja Fahd ibn Abdul Aziz telah meletakkan batu asas untuk pelaksanaan projek pembesaran Masjidilharam di bahagian timur masjid iaitu di antara Bab al-Malik dan Bab al-Umrah.

Pembesaran ini termasuklah pembinaan satu tingkat bawah tanah, dua lapisan tingkat atas, satu pintu utama yang dinamakan Bab al-Malik Fahd dan 14 buah pintu tambahan (kecil) yang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 95 buah pintu yang bernombor. Dua menara baru telah ditambah di bab al-Malik Fahd yang menjadikan keseluruhan menara Masjidilharam adalah sebanyak sembilan buah.

Pembesaran ini selaras dan seimbang dengan pembesaran yang dibuat sebelumnya. Kawasan atap (sutuh) masjid turut disiapkan untuk menampung lebih daripada 80,000 jemaah. Ia boleh dinaiki dengan 7 tangga elektrik (escalator) yang ditempatkan di sekeliling masjid.

Khadimul Haramain juga telah mengarahkan agar kawasan (medan) terbuka di sekililing masjid dilapisi dengan marmar dan dilengkapi dengan lampu yang mencukupi. Luas medan ini berukuran 88,000m.

Terowong bawah tanah telah dibina untuk kenderaan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan Masjidilharam. Kawasan khas disediakan untuk kenderaan berhenti bagi menurunkan penumpang serta mengambil pengunjung masjid yang kemudiannya akan dibawa naik dengan tangga elektrik ke medan Raja tadi. Sistem lampu, peredaran udara dan kawalan komputer yang canggih dipasang di dalam terowong ini.

Pusat pendindingan udara telah dibina di daerah Kudai untuk menyejukkan Masjidilharam dan kawasan Mas’a. Sistem penyejukan air juga di adakan untuk menyejukkan air zamzam.

Sebanyak sembilan ribu bilik air dilengkapi dengan tandas dan tempat berwuduk telah dibina, semuanya dilengkapi dengan system termoden dan tercanggih.

Projek pembinaan Masjidilharam dan persekitarannya ini selesai pada bulan Zulkaedah tahun 1413 / 1993M.

Ukuran Masjidilharam sekarang

Luas keseluruhan bangunan masjid selepas projek pembesaran baru ini ialah 76,000m. Ini tidak termasuk kawasan bumbung dan medan luar masjid (88,000 m).

Pembesaran ini telah menjadikan kawasan Masjidilharam tiga kali ganda lebih besar daripada pembesaran Saudi yang pertama. Jumlah keseluruhan luas Masjidilharam sekarang ialah 278,999 m, dan boleh menampung jemaah seramai 694,000 orang. Luas kawasan sekitar Masjidilharam pula ialah 366,000 m, boleh menampung seramai 220,000 orang. Oleh yang demikian, Masjidilharam boleh menampung seramai sejuta orang lebih, disebabkan peningkatan pengunjung yang begitu ramai ke Makkah khususnya pada musim haji dan bulan Ramadan.

Pada tahun 1424H / 2003M kerajaan Saudi telah melakukan pembaikan al-Mataf (tempat tawaf) di semua tingkat, khasnya di tingkat atas yang bentuknya tidak sekata, menjadikan jaraknya jauh dan susah bagi para jemaah untuk menjaga posisi sewaktu melakukan tawaf. Pembaikan ini dapat menampung lebih ramai jemaah yang melakukan tawaf, khasnya pada bulan Ramadan dan musim haji.

Imam al-Nawawi r.hm. telah menjelaskan bahawa sah melakukan tawaf di tingkat atas Masjidilharam. Pendapat ini telah dipersetujui oleh Majlis Fatwa Arab Saudi.

Penyusunan Saf di Dalam Masjidilharam

Pada mulanya, orang ramai bersolat bersama imam di belakang Magam Ibrahim. Namun, disebabkan bertambahnya bilangan kaum Muslimin, tempat ini menjadi bertambah sempit. Sehinggalah Khalid bin Abdullah al-Qasri (meninggal dunia tahun 120H), iaitu Gabenor Makkah pada masa itu menyatakan pendapatnya untuk menyusun dan mengatur saf para jemaah yang bersolat.

Pendapatnya ini mendapat sokongan daripada ulama-ulama besar dalam kalangan tabiin pada masa itu. Maka usaha penyusunan saf ini diteruskan.

Ibn Juraij bertanya kepada ‘Ata’ r.hm.: “Jika orang yang bersolat di Masjidilharam sedikit bilangannya, manakah yang lebih baik bagimu, sama ada mereka bersolat di belakang Maqam Ibrahim atau dengan cara membentuk satu saf sahaja di sekeliling Kaabah?” Ata’ menjawab, “Satu saf di sekeliling Kaabah dan seterusnya.”

Pendapatnya ini berdasarkan firman Allah s.w.t. yang *bermaksud: “Dan Kamu (Muhammad) akan melihat para malaikat bersaf-saf di sekeliling Arasy sambil bertasbih memuji Tuhannya.” (Surah al-Zumar: 75)

Harus diingat bagi orang yang bersolat di dalam masjid adalah wajib keatasnya untuk menghadap ke arah Kaabah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Umar r.a. bahawa antara timur dan barat itu semua kiblat kecuali di Kaabah (yakni wajib menghadap ke arahnya).

Manakala riwayat daripada Ibn Abi Husain mengatakan: “Kaabah ialah kiblat bagi orang yang berada di dalam masjid, manakala masjid itu kiblat bagi penduduk di Tanah Suci.

Setelah proses pembesaran Saudi yang pertama dan kedua selesai dilaksanakan, para jemaah sukar untuk melihat Kaabah secara langsung kerana terhalang oleh tiang, atap bangunan, tempat sa’i, halaman sekitar masjid dan sebagainya. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan Saudi di bawah pemerintahan Raja Fahd telah membuat garisan lengkung mengelilingi Kaabah di lantai masjid bagi memudahkan jemaah solat membuat saf yang betul.

Al-Mas’a (Tempat Sa’i)

Mas’a ialah ruang tempat sa’i di antara Bukit Safa dan Marwah. Sa’i adalah termasuk dalam rukun ibadat haji dan umrah. Tanah tempat sa’i ini, asalnya merupakan tanah yang berliku, curam dan tidak rata. Pembaikan dan pembaharuannya dilakukan sedikit demi sedikit sepanjang sejarah sehinggalah keadaannya seperti hari ini.

Sebelum ini, Mas’a serta Masjidilharam tidak bersambung dan dipisahkan oleh bangunan-bangunan. Ia terletak di kawasan pasar yang di kiri kanannya terdapat kedai-kedai dan para penjaja. Jadi pada waktu itu orang bersa’i dengan segala kesibukan di tengah-tengah deretan kedai.

Ini adalah satu perkara yang peilik, walaupun Mas’a ini merupakan salah satu tempat ibadat yang penting bagi haji dan umrah, tetapi sebelum ini tidak ada pihak berkuasa Tanah haram yang terfikir untuk menjadikannya satu tempat ibadat yang khusus, sedangkan mereka telah melakukan pelbagai pembesaran dan pembaikan terhadap masjid. Keadaan ini berkekalan sehingga pada zaman al-Syarif Husain dan perluasan serta penyatuan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Orang pertama yang membina atap bagi Mas’a ialah al-Syarif Husain bin Ali. Pada tahun 1335H beliau telah mengarahkan pembinaan atap untuk Mas’a bermula dari sebelah Marwah sehingga ke Ban al-‘Abbas (sekarang Bab Ali), manakala bahagian yang selebihnya tidak beratap. Tetapi atap ini tidak kukuh dan lama-kelamaan setelah terdedah kepada cuaca dan matahari ia menjadi berkarat dan bocor di sana sini.

Maka pada tahun 1366H Raja Abdul Aziz telah memerintahkan agar semua atap tersebut diruntuhkan dan diganti dengan atap yang baru. Maka atap baru dibuat daripada besi yang tahan karat dan utuh untuk melindungi Mas’a dari panas sepenuhnya, bermula dari safa hingga ke Marwah kecuali satu bahagian kecil sepnjang 8 m di hadapan Bab Ali yang tidak ditutup.

Ini kerana ia merupakan medan yang luas dan keadaan yang terbuka begitu lebih elok dan baik. Keluasan atap ini adalah lebih kurang 20.5 m. Apabila berlaku perluasan Saudi yang pertama pada tahun 1375H, (yang menyatukan Masjidilharam dan Mas’a) atap ini dibuang seluruhnya dan dipasang semula di atas jalan Mudda’a dan Judriyyah. Sebahagian daripadanya masih kekal sehingga ke hari ini (1424H / 2003M).

Untuk memudahkan orang ramai melakukan sa’i, kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan agar pasar tersebut ditutup serta semua bangunan yang memisahkannya dengan Masjidilharam diruntuhkan dan kedua-duanya dijadikan satu bangunan.

Mas’a ini telah dibina dua tingkat dengan lantai marmar. Panjang setiap tingkat Mas’a ini lebih kurang 394.5 m. Bermula dari hujung dinding di atas Bukit Safa sehingga hujung dinding di atas Bukit Marwah. Lebarnya pula kira-kira 20 m. Pada masa sekarang, atapnya (sutuh) juga telah dijadikan Mas’a.

Tingkat bawah telah dibahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian untuk melakukan sa’t dari Safa ke Marwah dan satu lagi untuk sa’i dari Marwah ke Safa. Di antara dua jalan ini, terdapat satu lorong khas untuk kerusi roda atau kereta sorong bagi orang yang memerlukannya. Ia juga dilengkapi dengan pendingin udara yang dikawal bersama dengan masjid.

Setelah pembesaran Masjidilharam dan Mas’a siap dilaksanakan, satu binaan yang bersambung telah dibuat di antara kedua-duanya. Pembinaan ini bagaimanapun, menimbulkan beberapa persolan:

Pertama: Hukum melakukan sa’i di tingkat atas Mas’a

Ahli Majlis Ulama Besar (The great Ulama’s Board) Arab Saudi dalam persidangan ke-4, pada 19 Oktober 1393 dan 12 November 1293H telah membuat keputusan:

“Harus melakukan sa’i di tingakat atas jika perlu, dengan syarat seseorang itu mesti melalui semua jarak di antara Safa dan Marwah dan tidak keluar daripada sempadan kawasan Mas’a.

Kedua: Adakah Mas’a termasuk dalam hokum Masjidilharam?

Oleh yang demikian, wanita haid atau nifas tidak boleh memasuki nya untuk melakukan sa’i dan sebagainya.

Al-Majma ‘al-Fiqhi al_Islami (Islamic Fiqh Council) di bawah Rabitah al-‘Alam al-Islami dalam persidangannya yang ke-14 pada 20 Syaaban 1415H bersamaan 21 Januari 1995 telah membuat keputusan dengan pendapat ramai: “Bahawa Mas’a selepas dibina bersambung dengan binaan Masjidilharam tidak termasuk dalam binaan dan hukum Majidilharam.”

Mas’a ialah suatu masy’ar (tempat ibadat) yang tersendiri, Allah s.w.t. berfirman yang *bermaksud: “Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syi’ar agama Allah.” (Surah al-Baqarah: 158)

Begitu juga menurut pendapat jumhur ulama, antaranya ialah imam mazhab empat, dari segi hukum adalah harus melakukan solat padanya dan berimamkan imam Masjidilharam, sama seperti tempat suci yang lain. Orang yang berhadas besar, haid atau junub boleh duduk dan melakukan sa’i, namun adalah disunatkan untuk melakukan sa’i dengan berwuduk. Wallahu a’lam.

Pada tahun 1428H atau 2007M pula, Kerajaan Arab Saudi telah membesarkan Mas’a (tempat sa’i) dengan menambah sebuah bangunan baru bersebelahan dengan bangunan yang lama. Kemudian diruntuhkan bangunan lama untuk dibina bengunan baru yang sama dengannya.

Pembesaran ini telah menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ramai ulama. Ia dibantah oleh kebanyakan anggota Ulama Besar Arab Saudi berdasarkan fatwa lama yang dibuat oleh mantan mufti Sheikh Muhammad bin Ibrahim r.hm. Ia juga mendapat sokongan sebahagian daripada ulama seperti Syeikh Abdullah al-Mani’ dan lain-lain.

Berdasarkan persaksian yang dibuat oleh mereka yang pernah tinggal di atas Bukit Safa dan Marwah, bahawa dua bukit itu adalah sebuah bukit yang besar pada asalnya. Ini bermakna perluasan yang dibuat itu masih dalam kawasannya dan tidak terkeluar dari tempat yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Firman Allah yang *bermaksud:
Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar agama Allah, Maka sesiapa yang beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, tidak ada dosa baginya mengerjakan sa’i antara kedua-duanya. (Surah al-Baqarah: 158)

Pendapat ini juga telah mendapat sokongan daripada ulama antarabangsa seperti, Syeikh Dr. Yusuf al-Qadarwi, dalam satu kenyataannya yang termaktub dalam laman web beliau iaitu www.qadarwi.net ketika ditanya berkenaan tindakan Kerajaan Arab Saudi itu.

Beliau menyatakan keizinan itu adalah berdasarkan kepada firman Allah s.w.t. yang *bermaksud: Allah mahu kamu senang dan Allah tidak mahu kamu susah. (Surah al-Baqarah: 185)

Juga sabda Nabi s.a.w. yang *bermaksud: “Kamu dibangkitkan dalam keadaan senang, dan kamu tidak dibangkitkan dalam keadaan menyusahkan.” (Sahih al-Bukhari, 213)

Allah s.w.t. menyatakan dalam al-Quran tentang “jangka tempat” sa’i itu, iaitu antara Safa dan Marwah, tanpa Allah menyatakan “lebar laluan” ke Safa dan “lebar laluan” ke Marwah. Oleh itu, tidak menjadi satu kesalahan bagi kerajaan Arab Saudi memperluaskan tempat sa’i antara Safa dan Marwah. Ini kerana, tidak terdapat nas yang mengharamkan perbuatan memperluaskan tempat sa’i, bahkan yang wujudnya adalah nas yang menguatkan lagi dalil keizinan memperluaskannya dengan alas an “agama islam adalah agama yang mudah.” Wallahu a’lam.

Wednesday, January 6, 2010

Hajarulaswad dan Maqam Ibrahim





Hajarulaswad

Ketika Nabi Ibrahim membina Kaabah dan sampai di tempat Hajarulaswad, Nabi Ibrahim a.s. meminta Nabi Ismail a.s. agar mengambil seketul batu yang boleh dijadikan sebagai tanda tempat permulaan tawaf. Lalu Nabi Ismail a.s. pergi mencarinya.

Tiba-tiba datang malaikat Jibrail membawa Hajarulaswad kepada Nabi Ibrahim a.s. Allah s.w.t. telah menyimpannya di Bukit Abi Qubais ketika berlakunya taufan Nabi Nuh a.s. lalu berfirman kepada Jibrail:

“Apabila engkau lihat khalili (kekasih-Ku) membina Rumah-Ku maka keluarkanlah ia kepadanya.

Apabila Nabi Ismail a.s. kembali bersama seketul batu, baginda mendapati bapanya telah meletakkan Hajarulaswad di situ. Dia terus bertanya: “Wahai bapaku, siapakah yang telah membawa batu ini kepadamu?” Lalu Ibrahim menjawad: “Ia dibawa kepadaku oleh orang yang tidak mengharapkan batu yang dibawa olehmu, ia dibawa oleh Jibrail.”

Semasa Quraisy membina Kaabah, setiap kabilah telah dibahagikan satu penjuru Kaabah. Apabila sampai binaan ke tempat Hajarulaswad mereka mula membantah. Setiap kabilah mendakwa mereka lebih berhak untuk meletak Hajarulaswad di tempat asalnya, sehingga mereka bersumpah untuk berperang sekiranya mereka tidak dapat meletakkannya.

Akhirnya mereka membuat keputusan bahawa: “Orang yang akan memutuskan perkara ini ialah orang yang pertama memasuki masjid ini dari pintu Bani Syaibah.”

Orang pertama yang memasuki pintu tersebut ialah Rasulullah s.a.w. Apabila melihatnya mereka bersetuju untuk menjadikannya sabagai hakim dalam permaslahan tersebut. Mereka memberitahu Rasulullah s.a.w. yang berumur 35 tahun pada ketika itu dan terkenal dengan gelaran “al-Amin”.

Rasulullah s.a.w. mengambil sehelai kain lalu meletakkan Hajarulaswad di atasnya. Kemudian Rasulullah s.a.w. mengarahkan seorang wakil daripada setiap kabilah untuk mengangkatnya hingga sampai ke tempatnya, dan Rasulullah s.a.w. mengambil Hajarulaswad dengan tangan Baginda yang mulia dan meletakkan ia di tempatnya.

Hajarulaswad merupakan batu yang tertanam di penjuru kaabah yang sangat penting, kerana ia adalah sebagai tanda permulaan dan akhir tawaf. Asalnya ia merupakan seketul batu sahaja, tetapi sekarang sudah pecah menjadi 8 kepingan batu kecil. Kepingan yang terbesar sebesar sebiji tamar, tertanam di dalam batu besar lain yang di lingkungi dengan sebuah penutup yand di berbuat daripada perak.

Menurut Syeikh Mohd Tahir al-Kurdi (meninggal dunia pada tahun 1400H): “Yang jelas daripada Hajarulaswad pada zaman kita – pertengahan abad ke-14 hijrah – yang kita sentuh dan kita kucup merupakan lapan kepingan batu kecil yang mempunyai saiz yang berbeza. Kepingan yang terbesar ialah sebesar sebiji tamar. Perpecahan Hajarulaswad kepada beberapa kepingan kecil ini disebabkan angkara khianat yang dilakukan oleh beberapa golongan penjahat pada masa yang lalu.

Sejak 50 tahun dahulu – pada awal abad ke-14 Hijar – bilangannya adalah sebanyak 15 keping. Kemudian ia semakin berkurangan disebabkan oleh proses baik pulih yang dilakukan terhadap lingkungan Hajarulaswad. Bahagian-bahagian batu yang kecil dan sudah hancur telah diuli semula dengan lilin dan kasturi. Kemudian ia diletakkan semula di tempatnya. Warnanya bertambah hitam kerana terlalu banyak air wangi diletakkan ke atasnya.

Perhatian: Berdasarkan maklumat ini, pada masa sekarang bukan semua batu yang berada dalam lingkungan perak ialah Hajarulaswad. Hajarulaswad ialah 8 keping batu kecil yang berada di dalamnya. Sesiapa yang ingin mengucup Hajarulaswad maka dia hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan batu tersebut, wallahu a’lam.

Beberapa peristiwa mengenai Hajarulaswad


Hajarulaswad telah melalui beberapa peristiwa sepanjang kewujudannya di muka bumi ini, yang menyebabkan ia menjadi pecah dan hancur. Antara peristiwa tersebut ialah:

1. Kesan daripada kebakaran yang pernah berlaku di Kaabah, sewaktu pemerintahan Quraisy dan pemerintahan Abdullah bin al-Zubair r.a. pada tahun 64H. Hajarulaswad telah retak menjadi tiga bahagian lalu Ibn al-Zubair mengikatnya dengan perak. Beliau merupakan orang yang pertama melakukan perkara tersebut.

2. Peristiwa al-Qaramithah. Salah satu cabang Syiah Isma’iliyyah al-Batiniyyah telah menanggalkan Hajarulaswad dan membawanya ke al_Ahsa’ Arab Saudi (dalam sirah disebut Hajar). Ia kemudiannya dikembalikan pada tahun 339H.

Pada 8 Zulhijjah 317H (dipanggil hari Tarwiyah) (dipanggil hari Tarwiyah), Abu Tahir al-Qurmuthi bersama 900 orang pengikutnya telah melakukan keganasan di Makkah, khasnya di dalam Masjidilharam. Mereka telah membunuh para jemaah haji dan mencampakkan mayat mereka ke dalam telaga zamzam. Lebih 30,000 orang telah di bunuhnya.

Mereka menanggalkan Hajarulaswad dan membawanya ke negari mereka dengan tujuan untuk menarik orang ramai ke sana untuk mengerjakan haji, sebagaimana Abrahah telah membina Kaabah di negerinya. Maka tempat Hajarulaswad telah menjadi kosong selama 22 tahun. Sehingga tahun 339H, Sanbar bin al-Hasan al-Qurmuthi telah menghantar kembali Hajarulaswad ke tempatnya selepas binasanya Abu Tahir.

Beberapa peristiwa lain.

Warna Hajarulaswad

Rasulullah s.a.w. bersabda yang *bermaksud: “Hajarulaswad itu diturunkan dari syurga. Warnanya lebih putih daripada susu. Maka dosa anak-anak Adam yang telah menjadikannya hitam.”

Bahagian yang berwarna hitam ialah bahagian depan yang disentuh oleh manusia, tetapi bahagaian dalamnya yang tertanam di Kaabah warnanya tidak berubah.

Dapat dibuat pengajaran di sini bahawa dosa-dosa manusia boleh menghitamkan batu yang putih berseri syurga, apatah lagi pengaruh dan kesannya terhadap hati manusia. Kita wajib menghindarkan diri daripada melakukan dosa dan maksiat yang menjadikan hati kita hitam oleh dosa-dosa yang dilakukan.

Kelebihan (fadhail) Hajarulaswad


Antara kelebihan Hajarulaswad ialah:

1. Berasal daripada batu syurga (yaqut) yang mulia,

Sabda Nabi s.a.w. yang *bermaksud: “Hajarulaswad dan Maqam Ibrahim merupakan dua biji batu daripada batu syurga. Allah s.w.t. telah menghilangkan cahaya pada kedua-duanya. Jika tidak, nescaya cahaya kedua-duanya akan menerangi di antara timur dan barat.”

2. Mendapat kelebihan dan ketinggian yang tiada diberikan kepada batu-batu yang lain.

Kedudukannya berada di penjuru rumah Allah s.w.t. yang mulia. Ditambah lagi dengan kucupan Rasulullah s.a.w. kepadanya, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh nabi-nabi sebelumnya.

Hajarulaswad menjadi tempat pertemuan bibir para nabi, orang soleh, para jemaah haji dan umrah di sepanjang lipatan sejarah. Ia juga menjadi temoat permulaan dan berakhirnya tawaf, sekali gus ia ialah tempat doa yang mustajab (dikabulkan doa).

3. Hajarulaswad akan menjadi saksi


Hajarulaswad akan menjadi saksi kelak kepada orang yang telah menyalaminya (menziarah dan mengusapnya) dengan kebenaran pada hari kiamat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang *bermaksud: “Demi Allah, Allah s.w.t. akan menbangkitkannya pada hari kiamat kelak, baginya dua mata. Dia akan melihat dengannya. Baginya lidah yang dia akan berkata-kata dengannya, menjadi saksi kepada sesiapa saja yang telah mengusapnya dengan kebenaran.”

Menurut riwayat Ibn Khuzaimah: “Hajarulaswad akan dibangkitkan pada hari kiamat besarnya seperti Bukit uhud di Madinah.” Ada juga riwayat mengatakan ia sebesar Bukit Abi Qubais di makkah.

4. Mengucup Hajarulaswad dan mengusap Rukun Yamani dapat menghapuskan dosa.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang *bermaksud: “Mengusap Rukun Yamani dan mengucup Hajarulaswad akan menghapuskan kesalahan (dosa).”

Ibn Abbas r.a. mengatakan: “Rasulullah s.a.w. tidak mengusap tangannya melainkan pada Hajarulaswad dan Rukun Yamani.”

Abdullah bin Umar r.a. mengusap Hajarulaswad kemudian mengucup tangannya lalu berkata: “Aku tidak pernah meninggalkannya semenjak aku melihat Rasulullah s.a.w. melakukannya.”

5. Rasulullah s.a.w. sangat mengambil berat terhadap Hajarulaswad dan memuliakannya.


Suwaid bin Ghafalah telah berkata: “Saya lihat Umar r.a. mengucup Hajarulaswad dan berada berhampiran sambil berkata yang *bermaksud: “Aku lihat Rasulullah s.a.w. sangat mengambil berat (menghormati, mengucup, mengusap) engkau.”

Umar bin al-Khattab r.a. mengucup Hajarulaswad lalu berkata yang *bermaksud: “Aku tahu kamu hanyalah sebiji batu yang tidak dapat memberi musibah mahupun memberi manfaat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah s.a.w. mengucupmu, aku tidak akan melakukannya.”

Hikmah daripada ucapan Umar: “Engkau tidak dapat memberi musibah mahupun memberi manfaat.”

Kata ulama: Umar berkata sedemikian kerana pada ketika itu manusia sangat dekat dengan zaman penyembahan berhala maka dibimbangi aka nada orang jahil yang menyangka bahawa mengucup hajarulaswad adalah sama dengan perbuatan orang jahiliah mengagungkan berhala.

Maka Umar r.a. ingin mengajar mereka bahawa mengucup Hajarulaswad bertujuan untuk membesarkan Allah s.w.t. semata-mata dan mengikuti ajaran Rasulullah s.a.w.
Perbuatan tersebut juga termasuk dalam amalan haji yang telah diperintah oleh Allah s.w.t.

Perbuatan tersebut berbeza dengan amalan jahiliah kerana mereka menyangka perbuatan menyembah berhala untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka Umar r.a. memberi peringatan agar membezakan perbuatan ini daripada iktikad jahiliah, bahawa ibadat tidak dilakukan kecuali kepada Tuhan yang boleh memberi mudarat dan manfaat iaitu hanya kepada Allah s.w.t.

Rahsia mengapa orang kafir tidak menyembah Hajarulaswad atau Kaabah.


Syeikh Mohd. Tahir r.hm. berkata: “Antara perkara yang patut disebut dan diambil perhatian ialah: Amalan orang Arab pada zaman jahiliah ialah mereka menyembah batu, khasnya batu-batu Makkah dan Tanah Haram, namun tidak ada riwayat yang mengatakan mereka telah menyembah Hajarulaswad atau Maqam Ibrahim, dalam keadaan mereka cukup menghormati dan menjaganya.

Setelah kami taammul (perhati) rahsia di sebaliknya, jelas ia merupakan ‘ismah (pemeliharaan) daripada Allah s.w.t., kerana sekiranya ia disembah pada zaman jahiliah kemudian datang Islam membesarkannya dengan arahan agar mengucupnya serta melakukan solat di belakang Maqam Ibrahim, maka orang munafik dan seteru Islam akan berkata: Islam menerima penghormatan kepada berhala dan masih wujud unsur-unsur syirik.

Orang yang pernah menyembahnya pula akan terus berpegang dengan kepercayaannya. Untuk itu Allah s.w.t. telah menjaganya semenjak dari zaman Nabi Ibrahim a.s. hingga ke hari ini, daripada disembah oleh orang jahil, sama seperti pemeliharaan-Nya terhadap Kaabah.

Beberapa Hukum Mengenai Hajarulaswad

1. Sunat mengucup atau mengusapnya pada bila-bila masa.
2. Sunat mengucup atau mengusapnya ketika mula melakukan tawaf.
3. Sunat meletakkan muka ke atasnya ketika mengucupnya.
4. Sunat mengucup atau mengusapnya ketika ingin keluar ke Safa untuk melakukan sa’i.
5. Mengucupnya dengan cara tidak mengeluarkan bunyi seperti mencium anak.
6. Istilam Hajarulaswad boleh dilakukan dengan mengucup atau mengusapnya dengan tangan atau dengan tongkat atau dengan mengisyaratkan tangan ke arahnya, kemudian mencium apa yang diisyaratkan kepadanya.
7. Kaum wanita hendaklah mencari waktu yang sesuai agar bercampur dengan lelaki.
8. Tidak menyakiti orang lain sewaktu berebut untuk mengucupnya.
9. Tidak berhenti di garisan Hajarulaswad sewaktu melambaikan tangan, khasnya pada waktu orang ramai, kerana ia akan mengganggu perjalanan orang yang sedang menunaikan tawaf dan akan menyakiti orang lain. Dan lain-lain lagi.

Sejarah Maqam Ibrahim


Takrif Maqam Ibrahim

Dari segi bahasa, “Maqam” bererti tempat berpijak.
Maqam Ibrahim ialah batu yang dibawa oleh Nabi Ismail a.s. untuk dijadikan tempat berpijak bapanya Nabi Ibrahim a.s. ketika mereka membina Kaabah. Dari atas batu inilah Nabi Ibrahim a.s. membina Kaabah dengan tangannya sendiri daripada batu-batu yang dibawa oleh Nabi Ismail a.s.

Setiap kali bangunan Kaabah bertambah tinggi, batu (maqam) tersebut ikut naik seolah-olah ia berfungsi seperti tangga kren.

Diriwayatkan bahawa Said bin Jubair berkata: “Batu Maqam Ibrahim ini, Allah s.w.t. telah menjadikannya lembut dan ia sebagai rahmat. Nabi Ibrahim a.s. berdiri di atasnya manakala Nabi Ismail a.s. menghulurkan batu-batan kepadanya.

Di atas batu ini juga Nabi Ibrahim a.s. menyeru manusia supaya dating mengerjakan haji setelah selesai membina Kaabah.

Al-Fakihi meriwayatkan bahawa: “Apabila selesai membina kaabah, Allah s.w.t. telah memerintahkan agar Nabi Ibrahim a.s. menyeru manusia untuk datang mengerjakan haji. Nabi Ibrahim a.s. naik ke atas batu (Maqam Ibrahim) lalu berseru: “Wahai manusia! Telah difardukan ke atas kamu mengerjakan haji.”

Maka ia telah diperdengarkan kepada mereka yang berada dalam sulbi lelaki dan dalam rahim perempuan. Mereka yang beriman serta mereka yang telah ditulis oleh Alalh s.w.t. akan datang untuk mengerjakan haji hingga hari kiamat telah menyahutnya dengan menyebut: Labbaikallahumma labbaik.

Oleh sebab perbuatan ini merupakan salah satu daripada amalan yang dicintai oleh Allah, maka Allah s.w.t. telah menjadikan kesan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. ini kekal sebagai peringatan kepada orang yang beriman daripada keturunannya, bagi mereka dan seluruh manusia.

Kedudukan Maqam Ibrahim

Ulama berselisih pendapat mengenai kedudukan asal Maqam Ibrahim.

Pertama:
Pada zaman Nabi Ibrahim a.a., seterusnya hingga ke zaman Rasulullah s.a.w., zaman Abu Bakar al-Siddiq dan Umar r.a. Mawam ini berada di tempat yang ada sekarang. Kemudian berlaku banjir pada zaman Umar bin al-Khattab r.a. lalu membawanya ke bahagian bawah makkah. Maka penduduk Makkah membawa dan meletakkannya di tepi kaabah, hingga datang Umar. Beliau telah bermesyuarat menegenai temoatnya yang asal dan meletakkan ia di tempat tersebut hingga ke hari ini.

Pendapat ini diriwayatkan pleh al-Azraqi dengan sanad yang sahih dan di sokong oleh Syeikh Said Bakdas.

Kedua: Pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan selepasnya, Maqam ini bersambung dengan Kaabah dan diletakkan sebgelah kanan pintu, sehinggalah ia dipindahkan oleh khalifah Umat al-Khattab r.a. ke tempatnya hari ini.

Pendapat ini diriwayatkan oleh Badur Razzak dalam al-Musannaf dengan sanad yang sahih daripada ‘Ata’ dan lain-lain, juga daripada Mujahid. Al-Baihaqi pula meriwayatkan daripada Aishah r.ha. dengan sanad yang kuta bahawa:

“Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar al-Siddiq r.a., Maqam ini bersambung dengan Kaabah, kemudian Umar bin al-Khattab r.a. mengalihkannya ke belakang (ke tempatnya hari ini.)

Tiada seorang pun daripada kalangan para sahabat dan orang yang selepasnya mempertikaikan perbuatan Umar ini. Mereka semuanya bersetuju dalam hal ini.

Umar berpendapat kedudukan asalnya telah menyempitkan kawasan tawaf dan solat, lalu dia meletakkannya di tempat yang lebih baik bagi maslahat umum. Perbuatannya itu mungkin sudah diilhamkan oleh Allah s.w.t. kerana dialah yang mencadangkan pada awalnya agar tempat tersebut dijadikan sebagai tempat solat.

Pendapat ini di sokong olah al-Hafiz Ibn Kathir Ibn Hajar dan al-Mu’allimi r.hm. Wallahu a’lam.

Cubaan Memindahkan Maqam Ibrahim ke belakang


Memandangkan bertambahnya bilangan jemaah haji dan umrah, kawasan tempat tawaf telah menjadi sempit. Tambahan pula ada sebahagian jemaah berhenti melakukan solat di belakang Maqam Ibrahim.

Pada tahun 1377H timbul fikrah (pendapat atau cadangan) untuk memindahkan Maqam Ibrahim ke belakang selepas pembesaran Masjidilharam. Maka timbul pro dan kontra dalam kalangan ulama Islam mengenai cadangan tersebut.

Buku pertama yang menyokong pemindahannya telah ditulias oleh Syeikh Abdul Rahman al-Mu’allimi al-Yamani, Pengarah Perpustakaan al-Haram al-Makki (meninggal dunia tahun 1386H) dan disokong oleh Syeikh Muhammad bin Ibrahim, iaitu bekas Mufti Am Arab Saudi (meninggal dunia tahun 1389H).

Ramai pula ulama yang menentang cadangan tersebut, kerana tempat tersebut telah dipilih oleh Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Umar r.a. Mengekalkan Maqam Ibrahim di tempatnya adalah lebih baik, lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh fitnah ini.

Pada musim haji tahun 1385H, Muktamar Rabitah al-‘Alam al-Islami telah membuat keputusan bahawa Maqam Ibrahim dikekalkan di tempatnya dengan di ubah suai lingkungan kaca tebal dengan ukuran yang lebih kecil untuk mengelakkan kesesakkan, maka ia kekal hingga ke hari ini.

Kelebihan Maqam Ibrahim

1. Dijadikan sebagai tempat solat yang diarahkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana dalam firman-Nya yang *bermaksud:

“Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang ama.n. Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.” (Surah al-Baqarah: 125)

Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab r.a. berkata: “Pendapatku telah diterima oleh Tuhanku dalam tiga perkara. Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, kenapa tidak kita jadikan Maqam Ibrahim ini sebagai tempat solat?’ Kemudian ayat ini pun diturunkan.”

Qatadah r.hm. menerangkan tentang ayat ini: “Kamu disuruh bersolat di situ, tetapi tidak disuruh menyentuhnya. Kami telah diberitahu oleh mereka yang telah melihat kesan tapak kaki dan jarinya (Ibrahim a.s.). Manusia berterusan menyentuhnya sehingga kesannya tanggal dan hilang.”

Solat sunat tawaf di Maqam Ibrahim


Jabir r.a. telah meriwayatkan mengenai cara pelaksanaan haji Rasulullah s.a.w. dengan katanya: “Ketika ku sampai di Kaabah bersama Rasulullah s.a.w., Baginda terus mencium Hajarulaswad, kemudian (tawaf tujuh pusingan) berlari-lari anak pada tiga pusingan yang awal dan empat pusingan dengan berjalan biasa. Baginda lalu ke Maqam Ibrahim lalu membaca: ‘Dab jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.’ Rasulullah s.a.w. menjadikan Maqam Ibrahim berada di tengah antara Baginda dan Kaabah.”

2. Maqam Ibrahim merupakan batu dari syurga.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang *bermaksud: “Sesungguhnya Hajarulaswad dan Maqam Ibrahim merupakan batu-batan dari syurga, Allah telah menghilangkan cahaya kedua-duanya, seandainya Allah tidak menghilangkan cahaya kedua-duanya, nescaya ia menerangi seluruh timur dan barat.”

Menurut riwayat al-Baihaqi: “Jika tidak kerana dosa anak cucu Adam, nescaya chayanya akan mampu menerangi seluruh timur dan barat dunia.”

3. Tempat makbul doa.


Menurut al-Hasan al-Basri (meninggal dunia tahun 110H) dan ulama-ulama lain, berdoa di belakang Maqam Ibrahim a.s. adalah amat mustajab.

4. Bukti Nyata (Aayaatun Bayyinat)

Maqam Ibrahim ialah bukti nyata tentang kekuasan Allah s.w.t. dan mukjizat Nabi Ibrahim a.s. yang kekal sehingga ke hari ini.

Firman Allah s.w.t. yang *bermaksud: Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk (tempat beribadat) bagi manusia ialah Baitullah yang berada di bakkah (Makkah) yang di berkati dan menjadi petunjuk bagi manusia. Padanya terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang nyata, (antaranya) Maqam Ibrahim. Sesiapa yang memasukinya akan mendapat keamanan. (Surah Ali ‘Imran: 96)

Maqam Ibrahim merupakan suatu tanda yang besar, mengandungi beberapa tanda kekuasaan Allah s.w.t. dan mukjizat yang nyata yang telah dizahirkan-Nya melalui batu ini, antaranya:

a. Kesan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. di batu yang pejal.


Allah s.w.t. akan menundukkan apa-apa saja dalam kalangan makhluk-Nya jika seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah s.w.t.

Kesan ini terukir di maqam yang telah dikenali oleh penduduk Tanah Haram. Abu Talib, bapa saudara Nabi s.a.w. pernah berkata mengenainya yang *bermaksud: “Tempat letak tapak kaki Ibrahim di batu yang dilembutkan – bagi kedua-dua tapak kaki yang tidak beralas.”

Persamaannya dengan tapak kaki rasulullah s.a.w.


Juga diketahui bahawa tapak kaki Rasulullah s.a.w. mirip dengan tapak kaki datuknya Nabi Ibrahim a.s. sebagaimana yang di riwayatkan oleh seorang sahabat, Jahm bin Huziafah al-Qurasyi r.a. (seorang yang pakar dalam ilmu mengenali waris) yang menyaksikan proses pembinaan Kaabah oleh Quraisy dan Ibn al-Zubir) berkata: “Sesungguhnya aku tidak perhah melihat sesuatu yang lebih sama, seperti samanya tapak kaki Rasulullah s.a.w. dengan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. yang pernah kami lihat di Maqam.”

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam hadis Isra’: “Aku melihat Nabi Ibrahim a.s. yang sangat hamper rupa dengannya.”

Ukuran Tapak Kaki Nabi Ibrahim a.s.


Seorang ahli sejarah Syeikh Mohd. Tahir al-Kurdi mengatakan bahawa kesan tapak kaki di Maqam itu sebelahnya sedalam 10cm manakala sebelah lagi 9cm, panjangnya 22cm dan mempunyai kelebaran 11cm. Ini menunjukkan bahawa nabi Ibrahim a.s. mempunyai ketinggian yang lebih kurang sama dengan kebanyakan lelaki pada masa ini. Hari ini bekas jari-jari kaki tidak nampak kerana Maqam dulunya terbuka dan ia hilang akibat sering disentuh oleh orang ramai.

b. Kekal sepanjang sejarah


Tidak sepertimana kesan para nabi dan rasul yang lain, walaupun terdapat beberapa usaha untuk mencuriny, juga terdedah terhadap cuaca dan banjir yang melanda Masjidilharam selama beribu-ribu tahun, namun sehingga kini ia tetap terpelihara dengan baik.

Pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. berlaku banjir besar yang dikenali dengan nama “Banjir Ummu Nahsyar”. Apabila banjir mulai surut, Umar r..a. segera pergi ke Maqam Ibrahim dan mendapatinya telah dihanyutkan ke satu dataran rendah di Makkah. Lalu Umar r.a. mengambil dan meletakkan ia di tempatnya semula.

Diriwayatkan oleh al-Fakihi pada suatu masa di Makkah terdapat seorang yang bernama Juraij (Yahudi atau Nasrani). Pada suatu malam Maqam Ibrahim didapati telah hilang, setelah dicari ternyata ada padanya, rupa-rupanya dia ingin membawanya kepada Raja Rom. Lalu diambil kembali Maqam Ibrahim daripadanya dan di penggal lehernya.

Al-Qaramithah yang telah mencuri Hajarulaswad juga cuba untuk mengambil Maqam Ibrahim, tetapi ia sempat disembunyikan oleh penjaga Masjidilharam.

Banyak lagi kejadian dan peristiwa yang menimpa Maqam Ibrahim sepanjang sejarah, Allah s.w.t. sahajalah yang menjaganya.

c. Terpelihara daripada menjadi sembahan kaum Musyrikin.

Pada zaman jahiliah, orang Arab menyembah berhala daripada batu-batan, tetapi tidak ada seorang pun yang diketahui pernah menyembah Hajarulaswad dan Maqam Ibrahim. Hal ini kerana penghormatan mereka terhadap kedua-duanya. Perkara ini merupakan kesucian yang dipelihara oleh Allah s.w.t., kerana Islam menghormati Hajarulaswad dengan cara mencium dan mengusapnya, manakala Maqam Ibrahim dihormati dengan cara bersolat di belakangnya. Jadi, tidak dapat dikatakan bahawa Islam telah member (atau memperakui) kehormatan terhadap sebhagian daripada berhala, kerana ini merupakan jenis ibadah yang membawa kepada syirik.

Dan banyak lagi kelebihannya.

Mengusap atau mencium Maqam Ibrahim


Mengikut sunah Rasulullah s.a.w. yang telah diajarkan bahawa mencium dan mengusap itu hanya khusus untuk Hajarulaswad dan Rukun Yamani. Sementara bagi Maqam Ibrahim, keutamaan dan kemuliaannya adalah dengan menjadikannya sebagai tempat solat. Oleh itu, mencium dan mengusap Maqam Ibrahim bukan sebahagian daripada sunah Rasulullah s.a.w. Sehinggakan ketika Abdullah bin al-Zubair r.a. melihat sekumpulan manusia yang sedang mengusap Maqam Ibrahim beliau berkata: “Wahai manusia kamu tidak disuruh untuk menyentuhnya tetapi disuruh untuk bersolat di situ.”

Perlu diingatkan di sini bahawa kebencian para ulama salaf dahulu terhadap perbuatan mengusap dan mencium Maqam Ibrahim ini terjadi ketika Maqam masih terbuka dan belum ditutup denagn sesuatu pun. Jadi, jika ia telah diletakkan di dalam kotak kaca yang tertutup pada masa sekarang, tentulah mengusap dan menciumnya lebih dibenci dan sangat tidak disukai.

Sunday, January 3, 2010

Kaabah




Ukuran Kaabah

Tinggi: 14 meter. Panjang di sudut Multazam (Hajarulaswad – Rukun Iraqi): 12:84 meter. Panjang di sudut Hijr ismail (Rukun Iraqi – Rukun Syami): 11.28 meter. Panjang diantara Rukun Syami dan Rukun Yamani: 12:11 meter. Di mana Rukun Yamani dan Hajarulaswad: 11:52 meter.

Pintu Kaabah


Kedudukan pintu kaabah sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Pada zaman Nabi Ibrahim a.s. baginda telah membuat dua pintu Kaabah. Pintu tersebut terletak rapat di atas tanah. Satu digunakan untuk masuk dan satu lagi untuk keluar. Pintu masuk dari arah timur dan pintu keluar dari arah barat. Dua pintu ini berupa lubang masuk tanpa daun pintu.

Kemudian Raja Tubba’ 3 yang bernama As’ad telah memasang pintu yang berdaun dua pada Kaabah.

Setelah Quraisy membina Kaabah mereka telah mengankat pintu Kaabah dari aras tanah dan menutup pintu sebelah barat.

Pintu yang ada pada hari ini terletak dua meter tinggi dari aras tanah, disaluti emas dan perak. Dibuat pada tahun 1399H. Menelan belanja sebanyak 13,420,000 Riyal Saudi dan emaqs sebanyak 280 kg.

Pintunya akan dibuka untuk membasuh bahagian dalam Kaabah. Satu tangga khas akan dibawa untuk menaikinya. Bahagian dalamnya akan dibasuh dengan air zamzam oleh Khadimul Haramain atau wakilnya dan lain-lain orang kenamaan. Dindingnya akan dibasuh dengan penyapu khas yang dibuat daripada daun tamar, kemudian akan direnjis dengan wangi-wangian. Begitu juga pintu ini akan dibuka jika ada tetamu negara yang ingin memasuki Kaabah.

Tiang Kaabah

Sewaktu Quraisy membina Kaabah, mereka telah menutupnya dengan atap, disokong dengan enam batang tiang dalam dua baris, setiap baris mempunyai tiga batang tiang.

Selepas itu sewaktu pembinaan Ibn al-Zubair, beliau telah menjadikan tiga batang tiang daripada kayu untuk menongkat atapnya. Jarak di antara satu tiang dengan yang lainnya ialah 2.35 meter. Di sebelah kanan pintu pula disediakan tangga untuk naik ke sutuh (atap) Kaabah.

Al-Hatim


Ulama berselisih pendapat dalam menentukan kedudukan al-Hatim.

Pertama: Tempatnya ialah di antara Hajarulaswad, Hijr ismail, telaga zamzam dan Maqam Ibrahim.

Kata Ibn Juraij: “Sebab dinamakan al-Hatim (pecah, rosak) kerana orang jahiliah bersumpah di tempat itu dan diperkenankan doa orang yang dizalimi. Ramai orang yang dizalimi berdoa di tempat tersebut dan didapati si zalim akan binasa. Demikian juga orang yang bersumpah dusta akan ditimpa bencana.

Oleh itu, ia menjadi penghalang kepada berlakunya kezaliman dan juga sumpah dusta hinggalah dating Islam.

Dinamakan sedemikian juga kerana orang bersesak-sesak berdoa di tempat itu.

Kedua: Al-Hatim ialah Hijr Ismail.

Pendapat ini diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. Sebab dinamakan al-Hatim ialah kerana tempat ini diruntuhkan daripada Kaabah. Kaabah telah dibina tinggi oleh orang Quraisy dan Hijr Ismail dikeluarkan daripadanya. Dinamakan sedemikian juga kerana orang Arab meninggalkan pakaian mereka di tempat ini sewaktu mereka hendak melakukan tawaf dan ia dibiarkan hingga rosak.

Ketiga
: Dinding yang melingkungi Hijr.

Keempat: Al-Hatim ialah al-Multazam.

Kelima: Di bawah Mizab (saluran emas).

Keenam: Syazarwan.

Pendapat pertama dan kedua adalah yang masyhur di kalangan ulama. Wallu a’lam.

Al-Multazam

Tempatnya ialah di antara Hajarulaswas dan pintu Kaabah.

Jaraknya ialah 2 meter.

Kata Sayidina Abdullah bin Abbas r.a.: “Al-Multazam terletak di antara Rukun Hajarulaswad dan pintu kaabah.”

Multazam ialah salah satu tempat yang diperkenankan doa dan disunatkan berdoa serta diletakkan pipi, dada dan lengan serta dua tapak tangan di Multazam.

Seorang sahabat nabi s.a.w., Abdullah bin ‘Amar r.a. melakukan tawaf di Kaabah kemudian beliau melakukan solat dan selepas itu mengucup Hajarulaswad. Kemudian beliau berdiri di antara Rukun Hajarulaswad dan pintu, dengan meletakkan dada, muka, dua lengan serta dua tapak tangannya di Kaabah. Beliau berkata: “Demikianlah kau melihat Rasulullah s.a.w. melakukannya.”

Mizab

Ia merupakan saluran untuk air keluar daripada bumbung Kaabah. Mizab pertama kali dibina oleh Quraisy sewaktu membina atap Kaabah. Mizab ini disalut dengan emas. Sebagaimana yang disebut, tempat ini juga merupakan tempat mustajab doa, wallahu a’lam.

Syazarwan


Lafaz ini berasal daripada bahasa Parsi, yang bererti binaan yang melingkungi mata air.

Yang dimaksudkan di sini ialah binaan yang berbentuk melengkung di bahagian bawah dinding Kaabah sampai ke lantai. Binaan ini dibuat di tiga penjuru Kaabah, tidak termasuk penjuru Hijr ismail kerana ia merupakan binaan asal daripada Kaabah. Tingginya daripada lantai lebih kurang 13 sentimeter, lebarnya pula 45 sentimeter.

Syazarwan berasal daripada dinding Kaabah ketika ia dibina menurut binaan Nabi Ibrahim a.s. Apabila Quraisy kekurangan belanja mereka telah mengurangkan keluasan asas dinding Kaabah bermula dari tapaknya di atas tanah.

Ada pendapat lain mengatakan bahawa Abdullah bin al-Zubair r.a. membinanya untuk melindungi dinding Kaabahdaripada diresapi air ke dalamnya, untuk mengikat kelambu Kaabah (kiswah) padanya serta untuk menjauhkan orang yang tawaf daripada menyentuh kiswah dan dinding Kaabah.

Ulama telah berselisih pendapat (khilaf) iaitu adakah Syazarwan termasuk dalam binaan Kaabah ataupun tidak? Jiak ia dianggap sebvagai sebahagian binaan Kaabah, maka tawaf yang dilakukan di atasnya adalah tidak sah. Demikian juga jika meletakkan tangan atau kaki di atasnya sewaktu melakukan tawaf, maka tawafnya tidak sah.

Para ulama daripada mazhab Syafi’i, Maliki dan Hanbali r.hm. mengatakan bahawa Syazarwan termasuk dalam binaan Kaabah, maka tidak boleh meletakkan tangan atau memijaknya ketika melakukan tawaf. Sesiapa yang melakukannya maka tawafnya adalah tidah sah.

Manakala ulama daripada mazhab Hanafi mengatakan bahawa Syazarwan tidak termasuk dalam binaan Kaabah, namun melakukan tawaf di luar daripadanya adalah lebih baik untuk mengelakkan daripada khilaf ulama.

Pendapat kedua ini dipersetujui oleh Syeikh ‘Izuddin Ibn Jama’ah daripada ulama al-Syafi’iyyah dan Syeikh Ibn Taimiyah. Wallahu a’lam.

Kiswah (Kelambu Kaabah)


Kiswah ialah kain hitam atau kelambu yang menutupi empat dinding Kaabah. Telah diriwayatkan bahawa orang yang pertama membuat kiswah ialah Bani Ismail a.s. Ada yang mengatakan bahawa Tubba’ al-Himyari, iaitu raja Yaman yang bernama As’ad, pada seribu tahun sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi rasul.

Kemudian amalan menutup Kaabah dengan kiswah berterusan hingga sampai pada zaman Islam, ketika zaman Rasulullah s.a.w. serta khalifah selepasnya dan sampai pada zaman kita pada masa ini.

Sebelum ini, kelambu Kaabah diperbuat di pelbagai tempat seperti di mesir, Yaman dan tempat-tempat lain mengikut masa dan sejarah pada waktu itu.

Pada masa sekarang, kiswah ini dibuat di sebuah kilang khas di Makkah. Ia mula dibuat di kilang ini pada tahun 1346H sehingga 1357H. Kemudian ia terhenti seketika dan kelambu Kaabah dibuat di Mesir.

Pada tahun 1382H ia dibuka kembali sehingga terbinanya kilang baru pada hari Sabtu 7 Rabiul Awwal 1397H bersamaan dengan 26 Mac 1977 di tempatnya hari ini iaitu di Ummul Jud.

Semejak itu, setiap tahun ia ditukar pada pagi 9 Zulhijjah iaitu pada hari wukuf.

Kiswah ini diperbuat daripada sutera asli halus. Bahan mentahnya diimport dari luar. Kemudian ia ditenun di kiliang ini. Sehelai kelambu memerlukan sebanyak 670 kg sutera mentah untul memprosesnya. Setelah ditenun, ukuran panjang kain kiswah ini ialah 658 m persegi.

Perbelanjaan keseluruhan untuk menyiapkan satu kelambu Kaabah ini ialah sekitar 17 juta Riyal Saudi, termasuklah kos bahan mentah dan gaji para pekerjanya.

Di kilang ini tulisan-tulisan khat ayat al-Quran di kaabah juga dibuat sebagai hadiah Khadimul Haramain kepada tetamu-tetamu kerajaan. Bendera Negara Arab Saudi turut dibuat di sini untuk kegunaan rasmi.

Kunci Kaabah


Pada awalnya al-Sadanah dan al-Hijabah iaitu kuasa menjaga member khidmat, membuka dan menutup Kaabah berada di tangan Nabi Ismail a.s., kemudian ia dikuasai oleh anak-anaknya, kemudian bapa saudaranya Jurhum dan kemuidan bani Khuza’ah.

Kemudian ia dikuasai olah Qusai bin Kilab iaitu datuk Nabi s.a.w. yang keempat dan seterusnya oleh ‘Abd al-Dar bin Qusai. Selepas itu, berlaku perebutan antara Quraisy untuk menguasainya. Akhirnya kunci Kaabah berada di tangan Usman bin Thalhah bin Abi Thalhah (nama sebenarnya Abdullah bin Abdul ‘Uzza bin Usman bin ‘Abd al-Dar bin Qusai).

Selepas pembukaan kota Makkah pada tahun 8H Rasulullah s.a.w. telah meminta kincu Kaabah daripa Usman bin Thalhah. Baginda membuka serta memasuki Kaabah. Setelah keluar daripadanya, Rasullah s.a.w. membaca ayat yang *bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu meyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya... “ (Surah al-Nisa’:58)

Baginda memanggil Usman bin Thalhah dan menyerahkan kunci Kaabah kepadanya sambil bersabda yang *bermaksud: “Ambillah kunci ini wahai Bani Thalhah dan ia akan kekal selama-lamanya di tangan kamu, tidak ada orang yang mengambilnya daripada kamu kecuali orang zalim.”

Menurut Ibn Kathir ramai ulama tafsir mengatakan bahawa ayat ini telah diturunkan kepada Usman bin Thalhah. Oleh itu Rasulullah s.a.w. menyerahkan kunci tersebut kepadanya.

Selepas kewafatan Usman pada tahun 42H, beliau tidak mempunyai anak, lalu kunci Kaabah itu telah diberikan kepada sepupunya iaitu Syaibah bin Usman bin Abi Thalhah. Kemudian anak-anak Syaibah mewarisinya secara turn-temurun sehingga sekarang. Mereka ini dikenali dengan nama “al-Syaibiyyin”.

Sebagaimana yang tersebut dalam hadis: “Kekal selama-lamanya di tangan kamu” menunjukkan bahawa keturunan Abu Thalhah akan kekal sehingga hari kiamat dan penjagaan Kaabah berada dalam tangan mereka. Ini merupakan mukjizat Rasullah s.a.w.

Kunci kaabah panjangnya 40 sentimeter. Ia disimpan di dalam beg yang dibuat daripada sutera yang bersalut emas yang dibuat di kilang kiswah di Makkah.

Muzium al-Haramian


Kerajaan Arab Saudi telah membina sebuah muzium yang dikenali dengan nama: Mathaf al-haramain al-Syarifain. Ia mula dibuka pada 25 Oktober 1420H, terletak bersebelahan dengan kilang Kiswah Kaabah.

Di muzium ini tersimpan barang-barang lama yang berada di dalam Kaabah, seperti pintu, kunci serta tiang Kaabah yang dibina pada tahun 65H dan lain-lainnya.

Khadam Kaabah (Aghawat)


Mu’awiyah bin Abi Sufyan r.a. ialah orang pertama yang melantik golongan hamba untuk berkhidmat dimasjidilharam, kemudian diikuti oleh khalifah dan selepasnya.

Kemudian jawatan tersebut bertukar kepada golongan lelaki yang “dikasi kemaluannya”. Alat kelamin mereka telah dimatikan semasa kecil pada ketika mereka tidak mengetahui apa-apa. Mereka ini dijadikan sebagai khadam yang berkhidmat di Masjidilharam dan di Masjid Nabawi.

Golongan ini dikenali dengan nama “Agha” ertinya lelaki yang mempunyai kemewahan dan kuasa, kerana mereka berkuasa di Masjidilharam. Dan dikenali dalam kalangan orang melayu di Makkah dengan nama “Sepotong”.

Mereka mempunyai jawatan dan pangkat. Biasanya orang lama akan menjadi ketua. Mereka memakai pakaian khas, iaitu jubah dengan kopiah keras serta memakai bengkung di pinggang. Golongan ini sudah semakin pupus sekarang. Kebanyakkan tugas mereka telah digantikan dengan petugas yang berkhidmat dengan syarikat Ladin atai lain-lainnya.

Kemusnahan Kaabah pada akhir zaman


Terdapat hadis Rasulullah s.a.a. yang mengesahkan bahawa Kaabah akan dimusnahkan pada akhir zaman nanti.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasullah s.a.w. telah bersaba yang *bermaksud: “Kaabah akan dimusnahkan oleh ‘Zul al-Suwaiqatain’ (lelaki yang berkaki kurus) dari Habsyah (Ethopia)”

Juga diriwayatkan bahawa Ali r.a. berkata yang *bermaksud: “Lakukanlah tawaf dirumah ini (Kaabah) ini sebanyak mungkin sebelum kamu dihalang daripada melakukannya. Seolah-olah aku dapat melihatnya (seorang lelaki dari Habsyah) dengan kepala dan telinga yang kecil, menghancurkannya (Kaabah) dengan cangkulnya.”

Manakala diriwayatkan olen Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang *bermaksud: “Seolah-olah aku dapat melihatnya, hitam dan berkaki pengkar (tempang), dia meruntuhkan batunya (Kaabah) satu demi satu.”

Sa’id bin Sam’an berkata bahawa dia mendengar Abu Hurairah r.a. memberitahu Abu Qatadah r.a. bahawa dia telahmendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang *bermaksud: “ Sumpah taat setia akan dilakukan kepada seorang lelaki di antara Rukun dan Maqam, dan tidak ada seorang pun yang akan melanggar kesucian Rumah ini kecuali kaumnya sendiri. Apabila mereka melanggarinya, jangan dipersoalkan lagi akan kemusnahan kaum Arab. Kemudian dating kaum Habsyah yang akan memusnahkan sama seklai sehingga ia tidak mungkin akan dapat dibina kembali dan merekalah yang akan mengeluarkan harta perbendaharaannya.”

Hadis-hadis ini tidak pula bercanggah dengan hadis Aishah r.ha., sabda Rasullah s.a.w. yang *bermaksud: “Satu pasukan tentera akan menyerang Kaabah dan apabila mereka tiba di satu kawasan lapang, bumi akan menelan mereka semua, daripada yang pertama dan yang terakhir.”

Al-Hafiz ibn Hajar r.hm. berkata: “Ini menjelaskan bahawa akan berlaku beberapa serangan ke atas Kaabah. Pada suatu masa Allah s.w.t. akan musnahkan mereka sebelum mereka sampai kepadanya. Ada kalanya Allah s.w.t. membiarkan mereka melakukannya. Apa yang jelas daripada hadis bahawa peristiwa meruntuhkan Kaabah ini berlaku mtakhir daripada hadis mereka ditelan oleh bumi.” Wallhu a’lam.

Thursday, December 31, 2009

Sejarah Pembinaan Kaabah



Kaabah ialah Baitullah al-Haram dan ia merupakan kiblat bagi umat Islam. Allah s.w.t. telah menjadikan baginya beberapa kelebihan seperti hubungannya dengan dua Rukun Islam, iaitu solat dan haji. Tidak sah seseorang Muslim sekiranya dia tidak menghadapkan muka ke arahnya dan tidak sah haji seseorang sekiranya dia tidak melakukan tawaf mengelilinginya.

Firman Allah s.w.t. yang *bermaksud” Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk manusia (sebagai tempat beribadat) ialah Baitullah yang berada di Bakkah (Makkah) yang diberkati dan menjadi ptunjuk bagi manusia.

Tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) dalam kalangan ulama bahawa rumah ibadat yang pertama didirikan untuk manusia ialah Kaabah. Ini berdasarkan hadis Abi Zar al-Ghifari r.a., ketika beliau bertanya Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah, apakah masjid yang paling awal dibina?” Jawab Rasulullah” “Masjidilharam.” Kemudian beliau bertanya lagi: “Selepas itu?” Jawab Rasulullah: “Masjidil Aqsa.” Beliau bertanya: “Berapakah jarak masa antara kedua-duanya?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Empat puluh tahun.”

Maksud “jarak masa 40 tahun” ialah jarak di antara pembinaan tapak asas kedua-duanya. Ini menunjukkan bahawa orang yang mula-mula meletakkan asas pembinaan Kaabah bukan Nabi Ibrahim a.s. dan orang yang mula-mula meletakkan asas pembinaan Baitul Maqdis bukan Nabi Sulaiman a.s.

Hal itu kerana jarak masa antara kedua-duanya adalah lebih daripada seribu tahun. Mereka berdua ialah orang yang memperbaharui binaan kedua-duanya, wallahu a’lam.

Tidak ramai yang mengetahui tentang sejarah pembinaan kaabah dan Masjidilharam. Kisah pembinaan Kaabah sebenarnya bermula sebelum Allah s.w.t. menjadikan bumi dan segala isinya. Perkara ini berdasarkan kepada maklumat yang disebut dalam kitab-kitab sejarah.

Terdapat hadis sahih yang menyebutkan bahawa nabi s.a.w. telah bersabda dalam khutbah pembukaan kota Makkah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah s.w.t. yang mengharamkan Makkah pada hari penciptaan langit dan bumi.”


Makkah tidak dipilih sebagai Tanah Haram jika tidak kerana kewuh=judan Kaabah padanya.

Perkara yang menjadi khilaf dalam kalangan ulama ialah penentuan siapakah orang yang pertama membinanya, khasnya binaan sebelum Nabi Ibrahim a.s. Walaupun ia disebut oleh ahli-ahli sejarah tetapi riwayat tersebut memerlukan penelitian dan kajian yang terperinci untuk menentukan kesahihannya.

Menurut riwayat Abu al-Walid al-Azraqi r.h. dalam kitabnya Akhbar Makkah, Ka’ab al-Ahbar telah berkata bahawa Kaabah ialah buih yang terapung di atas air selama empat puluh tahun sebelum Allah s.w.t. menjadikan langit dan bumi dan daripadanya dihamparkan kejadian bumi.

Mujahid r.hm.: “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjadikan tapak rumah ini (Kaabah) 2000 tahun sebelum dijadikan bumi dan asas (tapak) binaannya berada di lapisan bumi yang ketujuh.

Pembinaan Kaabah telah melalui beberapa peringkat. Riwayat tentang pembinaan ini sebahagiannya telah sabit dengan dalil yang terang dan jelas dan sebahagiannya pula hanya berdasarkan catatan ahli sejarah. Berikut akan disebut secara ringkas menegnai sejarah pembinaan Kaabah.

Pertama: Binaan Malaikat

Al-Azraqi meriwayatkan kepada Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-Husain r.hm., beliau berkata bahawa Allah s.w.t. berfirman kepada malaikat: “Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi.” Kemudian para malaikat bertanya: “Adakah Tuhan kami hendak menjadikan di bumi orang yang akan melakukan kerosakan?”

Setelah itu mereka berasa bersalah dan takut dimurkai oleh Allah s.w.t., lalu mereka bertawaf di sekililing Arasy untuk memohon ampun kepada Allah s.w.t. Kemudian Allah s.w.t. menjadikan di bawah Arasy sebuah rumah iaitu Bait al-Ma’mur dan Allah s.w.t. berfirman kepada malaikat agar bertawaf di rumah itu dan bukan lagi di Arasy. Kemudian Allah s.w.t. telah mengutus para malaikat supaya membina baitullah di bumi supaya makhluk di bumi dapat melakukan tawaf sebgaimana makhluk di langit bertawaf di Bait al-Ma’mur.

Kedua: Binaan Nabi Adam a.s.

Al-Azraqi meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa beliau berkata: “Semasa Adam a.s. diturunkan dari syurga dan sampai ke bumi, baginda telah berkata: “Wahai Tuhan, mengapa aku tidak mendengar lagi suara malaikat?” Allah s.wt. berfirman: ‘Semuanya kerana kesalahan engkau wahai Adam.’ Kemudian Allah s.w.t. memerintahkan supaya baginda membina Kaabah dan bertawaf mengelilinginya sebagaimana malaikat mengelilingi Arasy. Adam berjalan menuju ke tapak pembinaan Kaabah.

Bumi telah dikecilkan oleh Allah dan tempoh perjalanannya menjadi pendek. Setiap tempat dipijak oleh Adam akan dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai kawasan yang subur dan berpenghuni. Apabila sampai di Makkah, malaikat Jibrail a.s. memukul dengan sayapnya di tapak pembinaan Kaabah dan malaikat membawa batu kepadanya untuk dibina Kaabah. Bahan binaannya terdiri daripada batu yang diambil daripada lima gunung iaitu gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Juudi dan Hira’. Semetara konkritnya pula dibuat daripada batu pejal hitam.

Kata Ibn Abbas: “Adam ialah manusia pertama yang mengasaskan al-Bait (Kaabah). Baginda menunaikan solat serta bertawaf di situ.”

Imam al-Syafi’i r.hm. meriwayatkan daripada Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi katanya: “Sewaktu Adam a.s. meninaikan fadu haji, baginda telah berjumpa dengan malaikat. Mereka berkata kepadanya “Sempurnakan haji engkau wahai Adam. Kami telah melakukan haji sebelum daripada engkau semenjak 2000 tahun yang lalu.”

Ketiga: Binaan Shith bin Adam

Binaan ketiga oleh Shith ialah selepas hilangnya kesan binaan Adam a.s. Al-Azraqi telah meriwayatkan daripada Wahab bin Munabbih bahawa beliau berkata apabila diangkatkan khemah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Adam a.s. daripada perhiasan syurga untuk diletakkan di tapak Baitullah di Makkah selepas wafatnya Adam a.s., anak-anaknya pun membina di tempat itu sebuah ruamh daripada tanah dan batu. Mereka dan generasi-generasi seterusnya sentiasa memakmurkan rumah itu sehinggalah ia musnah dalam banjir yang berlaku pada zaman Nabi Nuh a.s. Apabila tiba zaman Nabi Ibrahim a.s., Allah s.w.t. telah memerintahkan baginda supaya membina semula rumah itu.

Perhatian:
Tidak terdapat dalil yang sahih tentang tiga peringkat binaan ini. Kata Syeikh Husain Ba Salamah r.hm., telah dating beberapa riwayat daripada sahabat dan tabiin tentang binaan Kaabah oleh malaikat, Adam dan Shith. Semuanya menyebut tentang peristiwa yang berlaku tanpa menyatakn sumber riwayat tersebut sama ada ia daripada Nabi s.a.w. atau Bani Israil (ahli kitab).

Oleh itu, ramai ulama tafsir berpegang dengannya serta mencatatkan dalam kitab tafsir mereka kecuali al-Hafiz Imaduddin ibn kathir r.hm.. Beliau telah mengkritiknya dan menyatakan bahawa riwayat tersebut sumbernya daripada bani Israil (al-Israiliyyat).

Keempat: Binaan Nabi Ibrahim a.s. dan Ismail a.s.


Binaan Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya Ismail a.s. telah di ceritakan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran dan terdapat banyak riwayat yang sahih dalam kitab-kitab hadis mengenainya. Antaranya ialah:

Firman Allah s.w.t. yang *bermaksud: Dan ingatlah, ketika Nabi Ibrahim meninggikan (membina) asas-asas Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Firman Allah s.w.t. yang *bermaksud: Dan ingatlah, ketika Kami (Allah) menyediakan kepada Ibrahim tempat Baitullah (dengan mengatakan) janganlah engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu pun dan sucikanlah RumahKu ini untuk orang yang tawaf dan orang yang beribadat dan orang yang rukuk dan sujud.

Pembinaan Kaabah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Ismail a.s. ialah berdasarkan perintah daripada Allah s.w.t., iaitu selepas beberapa kali Nabi Ibrahim a.s. datang menziarahi isteri dan anaknya Ismail a.s. di Makkah. Pada kedatangan kali yang ketiga, baginda telah diperintahkan agar membina Kaabah. Ketika itu Ismail a.s. telah berumur dua puluh tahun dan ibunya telah meninggal dunia.

Sewaktu Nabi Ibrahim a.s. tiba, anaknya ismail a.s. sedang duduk di bawah pokok berdekatan dengan telaga zamzam sambil mengasah anak panah. Nabi Ibrahim a.s. member salam dan duduk bersamanya. Baginda berkata kepada Ismail: “Wahai ismail! Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memerintahkanku supaya membina Kaabah.” Ismail mewnjawab: “Taatlah perintah Allah itu.” Lalu bapanya berkata lagi: “Allah juga memerintahkan agar engkau membantuku dalam pembinaan ini.” Ismail berkata: “Di manakah tempatnya?” Nabi Ibrahim a.s. menunjukkan tempat yang telah ditunjukkan kepadanya oleh malaikat yang mengiringinya. Selepas itu, mereka mula menggali tapak asas binaan serta berdoa: “Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 127)

Maqam Ibrahim

Nabi Ibrahim a.s. membina Kaabah dengan dibantu oleh anaknya nabi Ismail a.s. yang membawa batu di atas tengkuknya dan menghulurkannya kepada bapanya. Setelah binaan tersebut semakin tinggi, Nabi Ibrahim a.s. tidak sampai untuk membinanya, lalu Nabi Ismail a.s. mendekatkan batu kepadanya lantas Nabi Ibrahim a.s. berdiri dia atas batu tersebut dan meneruskan pembinaannya. Batu itulah yang dikenali dengan nama Maqam Ibrahim yang ada sekarang.

Hajarulaswad

Apabila sampai di tapak Hajarulaswad, Nabi Ibrahim a.s. meminta agar ismail a.s. mengambil seketul batu yang boleh dijadikan sebagai tanda tempat permulaan tawaf. Tiba-tiba dating malaikat Jibrail membawa Hajarulaswad dari syurga atau dari Bukit Abi Qubais. Setelah Ismail datang, baginda terkejut lalu bertanya: “Dari mana bapa mendapat batu ini?” Jawab Nabi Ibrahim a.s.: “Jibrail yang membawanya kepadaku.”

Hijr ismail


Hijr ismail ialah sebuah lingkungan yang terletak di utara Kaabah. Bentuknya ialah separa bulatan. Hijr Ismail dijadikan oleh nabi Ibrahim a.s. sebagai sebuah bangsal tempat berteduh di tepi Kaabah dan ia menjadi kandang kambing kempunyaan Nabi Ismail a.s.

Riwayat ini menunjukkan bahawa hijr Ismail tersebut tidak termasuk dalam binaan Kaabah, sebaliknya is merupakan kandang yang terletak di luar daripadanya. Namun begitu, semasa kaum Quraisy membina Kaabah, mereka telah mengecilkannya di bahagian utara kerana kekurangan belanja. Mereka mengurangkan sebanyak enam hasta (3 meter) menurut riwayat yang sahih dan memasukkannya ke dalam Hjir Ismail.

Abdullah bin al-Zubair pada zaman pemerintahannya telah memasukkan kesemuanya ke dalam binaan Kaabah.

Walau bagaimanapun, apabila Hajjaj memerintah beliau telah membinanya semual menurut binaan Quraisy dan demikianlah keadaannya hingga sekarang.

Oleh yang demikian, tidak sah tawaf di dalam Hijr kerana is termasuk dalam Kaabah dan sesiapa yang inigin bersolat di dalam Kaabah, dia boleh melakukan solat di dalam Hijr kerana sebhagaian daripadanya ialah Kaabah.

Kata Sayidatina Aishah r.ha: “Suatu hari, saya ingin memasuk kaabah untuk bersolat di dalamnya. Rasulullah s.a.w. pun memegang tangan saya lalu membawa saya masuk ke dalam Hijr dan bersabda (maksudnya):

“Solatlah dalam Hijr ini kalau kamu mahu masuk ke dalam Kaabah kerana ialah sebahagian daripada Kaabah, tetapi kaummu (Quraisy) kekurangan belanja ketika membinanya maka mereka pun mengeluarkannya daripada binaan Kaabah.”


Berkata Abdullah bin Abbas r.a.: “Bersolatlah ditempat solat orang yang terpilih dan minumlah minuman orang yang baik.” Orang ramai bertanya Ibn Abas: “Dimanakah tempat solat itu?” Jawabnya: “Di bawah Mizab (saluran emas).” “Dan apakah minuman itu?” Jawabnya: “Air zamzam.”

Ukuran binaan Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. adalah seperti berikut: Tingginya ialah Sembilan hasta, panjang bahagian pintunya tiga puluh hasta, panjang bahagian belakangnya (Rukun Iraqi) ialah tiga puluh satu hasta, panjang bahagian saluran emas ialah dua puluh dua hasta dan panjang Rukun Yamani ialah dua puluh hasta. Tapaknya terletak di atas bumi dan ia tidak berpintu.

Setelah selesai membina Kaabah, malaikat Jibrail a.s. memperlihatkan Nabi Ibrahim a.s. tempat manasik (ibadat haji). Kemudian, Allah s.w.t. memerintahkan agar nabi Ibrahim a.s. menyeru manusia supaya datang mengerjakan haji. Nabi Ibrahim a.s. menjawab: “Suaraku tidak sampai kepada mereka.” Allah s.w.t. berfirman: “Tugas engkau ialah menyeru dan Kami akan menyampaikannya.” Maka Nabi Ibrahim a.s. pun naik ke atas Maqam dan menyeru: “Wahai manusia, Allah s.w.t. telah memfardukan ke atas kamu ibadat haji.” Maka semua yang berada di dalam sulbi lelaki dan rahim perempuan mendengarnya dan semua yang beriman serta mereka yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. untuk mengerjakan haji menjawab: “Labbaikallahumma Labbaik.”

Kelima: Al-Amaliq

Amaliq ialah satu suku kaum yang berasal dari Yaman. Setelah mereka mengetahui bahawa terdapat sumber air di makkah dan kabilah Jurhum telah berpindah ke Makkah, mereka turut berpindah ke Makkah dan tinggal di jiyad iaitu kawasan bahagian bawah Makkah (al-Masfalah). Setiap pedagang yang dating dari Yaman yang memasuki kawasan ini akan dikenakan cukai 10 peratus. Ketua kabilah ini bernama al-Sumaida’ bin Hud bin Hadr bin Mazin. Kabilah ini sentiasa berperang dengan kabilah Jurhum. Setelah mereka mendapat kemenangan, hak menjaga Kaabah telah jatuh ke tangan mereka.

Sewaktu di bawah penjagaan mereka, telah berlaku kerosakan pada Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s., lalu mereka membaikinya mengikut binaan Nabi Ibrahim a.s. tanpa sebarang tambahan.

Keenam: Jurhum


Jurhum ialah kabilah yang pertama datang menumoang air zamzam Siti hajar. Mereka berkampung di Bukit Qu’aiqi’an, iaitu bukit yang bertentangan dengan Bukti Abi Qubais atau istana al-Safa. Mereka menguasai kawasan atas Makkah (al-Ma’la). Setiap pedagang yang memasuki kawasan mereka akan dikenakan cukai 10 peratus.

Kabilah ini diketuai oleh al-Harith bin Mudhad. Beliau ialah orang pertama dari suku ini yang menjaga kaabah setelah menewaskan kabilah Amaliq. Pemerintahan mereka berterusan selama 300 tahun.

Semasa pemerintahan mereka, telah berlaku kejadian banjir di Makkah. Air memasuki kawasan Kaabah dari sebelah atas sehingga meruntuhkan setengah binaan Kaabah. Kemudian, Jurhum membinanya semula berdasarkan asas binaan Nabi Ibrahim a.s. tetapi mereka meninggikan sedikit binaannya dan menjadikan pintunya berdaun dua serta dikunci.

Lama kelamaan, kabilah Jurhum tidak lagi mengambil berat tentang kesucian Kaabah, sehingga berlaku beberapa kejadian maksiat yang tidak pernah terjadi sebelumnya.

Antaranya ialah perbuatan zina antara Asaf dan Nailah di dalam Kaabah. Allah s.w.t. telah menukarkan kedua-duanya kepada batu sebagai pengajaran dan peringatan kepada manusia. Kemudian kedua-duanya dikeluarkan dari Kaabah dan Asaf diletakkan di atas bukit Safa manakala Nailah di atas Marwah. Kemudain, kabilah Jurhum telah bertawaf di antara kedua-duanya.

Antara kejadian yang tidak baik ialah percubaan untuk mencuri harta yang dihadiahkan kepada Kaabah dan pelbagai kejahatan lain lagi.

Ketujuh: Qusai Datuk Nabi


Selepas Jurhum, Makkah dikuasai pula oleh kabilah Khuza’ah. Kemudain makkah diperintah oleh datuk Nabi s.a.w. iaitu Qusai bin Kilab. Pada masa pemerintahannya, beliau telah mengumpul harta yang halal dan meruntuhkan Kaabah untuk dibina semula dengan satu binaan baru yang tidak pernah dibuat oleh orang sebelumnya.

Tinggi binaannya berukuran berukuran 25 hasta dan ia mempunyai atap daripada batang kayu ‘Dum’ (seperti batang nibung dan besar seperti batang kelapa) yang kukuh dan pelapah tamar. Asasnya masih seperti binaan Nabi Ibrahim a.s.

Semasa pembinaan ini, Hajarulaswad telah hilang dan tidak ada sesiapa yang mengetahui tempat ia berada. Setelah disiasat, Qusai diberitahu tempat bahawa kabilah Iyad semasa dihalau keluar dari Makkah oleh anak-anak Mudhar bin izar telah mengambilnya dan menanamnya di salah sebuah bukit di Makkah.

Peristiwa ini disaksikan oleh seorang perempuan. Qusai lalu pergi berjumpa dengan perempuan tersebut dan merayu agar beliau menunjukkan tempat tersebut.

Akhirnya Hajarulaswad ditemui kembali lalu disimpan oleh Qusai selama turun-temurun sehinggalah ke zaman Quraisy.

Kata Imam al-Mawardi rahimahullah: “Qusai bin Kilab ialah orang pertama dalam kalangan Quraisy yang membina Kaabah selepas Nabi Ibrahim a.s. dan beliau juga merupakan orang yang pertama membina atap Kaabah.”

Perhatian: Berkata sesetengah ulama: Selepas daripada binaan Qusai inilah, Abdul Muttalib membina pula Kaabah iaitu sebelum pembinaan oleh Quraisy. Sekiranya maklumat ini benar, Abdul Muttalib bolehlah dianggap sekadar membaiki kerosakan yang berlaku pada binaan Qusai, wallahu a’lam.

Kelapan: Binaan Quraisy pada tahun 591M


Kaabah yang dibina, sekali lagi menghadapi kerosakan. Sebagaimana yang diceritakan, seorang perempuan telah menyalakan api untuk membakar kemenyan bagi mewangikan Kaabah. Tiba-tiba bara api yang dibakarnya telah tercampak atau terpercik mengenai kelambu Kaabah dan menyebabkan berlakunya kebakaran ke atas Kaabah yang menyebabkan binaannya menjadi tidak kuat lagi. Selepas itu, berlaku pula banjir yang melanda Kaabah yang menyebabkan berlaku keruntuhan pada sebahagian Kaabah.

Selepas berlakunya peristiwa itu, para pemimpin Quraisy telah bermesyuarat untuk membina semula Kaabah yang telah runtuh sebahagiannya. Kebetulan pada masa yang sama, sebuah kapal dagang kepunyaan saudagar Rom telah pecah di lautan Jeddah. Bersama mereka ada seorang tukang kayu yang mahir bernama Yaqum. Quraisy telah membeli kayu dari kapal tersebut untuk dijadikan binaan atap dan tiang Kaabah.

Pihak Quraisy telah berazam untuk meruntuhkan semua binaan yang tinggal dan membinanya semula dengan asas yang baru kerana asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. telah terlalu lama.

Menurut al-Sinjari jarak antara binaan Nabi Ibrahim a.s. dengan binaan Quraisy ialah 2645 tahun.

Di dalam Kaabah, terdapat sebuah telaga yang di dalamnya tersimpan harta-harta yang dihadiahkan kepada Kaabah. Dalam telaga itu, ada seekor ular berbisa yang berwarna hitam di atas belakangnya, putih di bawah perutnya dan berkepala seperti kepala seekor kambing.

Ular ini telah berada di situ selama lima ratus tahun iaitu sejak zaman Jurhum lagi. Ular tersebut bertindak sebagai pengawal harta Kaabah kerana banyak berlaku kecurian ke atas harta Kaabah pada waktu itu.

Ketika kaum Quraisy berada dalam ketakutan untuk meruntuhkan Kaabah, ular itu sentiasa keluar menzahirkan dirinya. Oleh itu, mereka pun berkumpul di Maqam Ibrahim dan salah seorang pemimpin Quraisy bernama al-Walid bin al-Mughirah telah menyampaikan khutbah kepada kaumnya.

“Bukankah kamu semua mahukan kebaikan untuk membina Kaabah>” Mereka menjawab: “ya!”

Kata al-Walid: “Allah tidak akan membinasakan orang yang ingin melakukan kebaikan. Tetapi ingatlah, jangan sekali-kali kamu memasukkan perbelanjaan untuk membina rumah Tuhan kamu ini kecuali harta yang baik hasil usaha kamu. Jangan kamu masukkan harta riba, judi, pelacuran dan semua yang tidak baik dari harta kamu kerana sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menerima kecuali harta yang baik.”

Kemudian mereka pun berdoa: “Wahai Tuhan, sekiranya apa yang kami lakukan ini mendapat keredaan Engkau maka jauhkanlah ular ini daripada kami.”

Selepas itu dating seekor burung dari langit menuju kea rah ular yang sedang berada di atas dinding Kaabah dan menyambar kepalanya serta mencampaknya kea rah kawasan Jiyad.

Namun, perasaan takut akan dimurka dan ditimpa azab oleh Allah s.w.t. masih menebal dalam diri mereka sehingga al-Walid sekali lagi berkata: “Aku akan mula meruntuhnkannya. Aku telah tua. Sekiranya aku mati maka ia di sebabkan ajal yang sudah tiba.”

Beliau pun mengambil pemukul dan mula meruntuhkannya. Tetapi dengan tiba-tiba batu di bawah kakinya bergerak. Lantas beliau pun berdoa: “Wahai Tuhan, janganlah engkau menakuti kami, sesungguhnya kami ingin membaikinya dan kami tidak melakukannya kecuali untuk kebaikan.”

Kemudian beliau terus meruntuhkan Kaabah di bahagian dua rukun pada hari itu. Manakal orang lain hanya memerhatikan sahaja dan tidak menyertainya, bahkan mereka terus menunggu apakah akibat yang akan menimpa ke atas al-Walid pada hari itu.

Setelah tidak ada apa-apa yang berlaku, pada keesokan harinya ramailah yang bersama-sama meruntuhkan binaan Kaabah yang masih tinggal, sehingga sampai kepada asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. yang berupa sebuah batu besar yang berwarna hijau yang berbentuk bonggol-bonggol unta. Untuk mengangkat seketul batu tersebut, memerlukan 30 orang lelaki.

Al-Walid pun memasukkan cangkulnya di celah dua batu lalu menggoncangkannya hingga tercabut seketul batu dan dengan pantas Abu Wahab al-Makhzumi cuba mengambilnya tetapi batu itu terlepas dari tangannya dan terus kembali ke tempat asalnya.

Tiba-tiba suatu cahaya seperti kilat terpancar dari bawah batu tersebut dan bumi Makkah terus bergoncang. Mereka serta-merta berhenti memecahkan batu tersebut daqn menjenguk ke bawahnya mereka dapati asas Kaabah terletak di situ.

Setelah itu, mereka pun mengumpulkan bahan binaan asal lalu mengeluarkan harta yang mereka kumpul untuk membina Kaabah tetapi ia tidak mencukupi untuk membiayai pembinaannya mengikut binaan asal.

Oleh itu mereka pun berbincang dan membuat keputusan akan membina mengikut kadar perbelanjaan yang mereka mampu dengan mengecilkan binaan asal Kaabah sepanjang enam hasta sejengkal (3 meter) di bahagian Hijr ismail. Ia ditanda dengan lingkungan separa bulatan supaya orang ramai melakukan tawaf di bahagian belakangnya sahaja. Tempat ini dikenali dengan nama “Hijr Ismail” atau “Hatim”.

Mereka menambah ketinggiannya sebanyak Sembilan hasta mkenjadi 18 hasta, dan membina siap dengan enam batang tiang. Pintunya pula dijadikan satu sahaja dan diangkat untuk menahan daripada dimasuki air ketika banjir dan untuk mengawalnya daripada dimasuki oleh orang yang mereka tidak sukai.

Semasa pembinaan ini, Rasulullah s.a.w. menyertainya dengan mengangkat batu bata untuk binaan Kaabah. Pada waktu itu, Rasulullah s.a.w. berumur 35 tahun. Setiap kabilah diberikan satu bahagian daripada penjuru Kaabah.

Apabila tiba masa untuk meletakkan Hajarulaswad, mereka mula berbantah. Setiap kabilah mendakwa mereka lebih berhak meletakkannya sehingga sebahagiannya bersumpah untuk berperang sekiranya mereka tidak dapat meletakkannya.

Bani ‘Abd al-Dar telah membawa satu bekas darah dan mereka bersumpah bersama Bani ‘Adi akan mepertahankannya shingga mati. Darah itu dinamakan “La’aqah al-Dam”. Puak Quraisy menangguhkan pembinaan selama empat atau lima hari. Kemudian mereka berkumpul di masjid dan bermesyuarat.

Orang yang paling tua dalam kalangan Quraisy iaitu Abu Umayyah Huzaifah bin al-Mughirah al-Makhzumi berkata: “Orang yang akan memustuskan perkara ini ialah orang yang pertama memasuki masjid dari pintu Bani Syaibah.” (Ia salah satu pintu Masjidilharam di kawasan rumah orang Quraisy, terletak di belakang Maqam Ibrahim. Untuk memperingatinya, pintu no.26 di sebelah tempat sa’i dinamakan dengan Bab Bani Syaibah).

Mereka pun bersetuju di atas perkara tersebut. Orang yang pertama memasuki pintu tersebut ialah Rasulullah s.a.w. Setelah melihatnya mereka pun bersetuju untuk menjadikan Baginda hakim dan mereka memberitahu masalah tersebut kepada Nabi s.a.w. yang pada ketika itu berumur 35 tahun, dan terkenal dengan gelaran “al-Amin”.

Rasulullah s.a.w. mengambil sehelai kain dan meletakkan Hajarulaswad di atasnya. Kemudian Baginda mengarahkan setiap kabilah melantik seorang wakil untuk mengangkatnya hingga ke tempatnya. Lalu Rasulullah s.a.w. mengambilnya dengan tangannya yang mulia dan meletakkan Hajarulaswad di tempatnya.

Dalam al-Rahiq al-Makhtum disebutkan: “Kaabah yang dibina oleh Quraisy adalah berbentuk empat persegi, tingginya 15 meter, lebar di bahagian Hajarulaswad dan yang bertentangan dengannya 10 meter. Hajarulaswad tingginya dari lantyai 1.50 meter, bahagian pintu dan yang bertentangan dengannya 12 meter. Tinggi pintunya dari lantai 2 meter, dilingkungi tapak bawahnya dengan binaannya dengan batu setinggi 0.25 meter dan lebarnya 0.30 meter dan dinamakan dengan Shazarwan, ia dari tapak asal (binaaan Nabi Ibrahim a.s.) tetapi Quraisy mengeluarkannya kerana kekurangan nafkah.”

Kesembilan: Binaan Abdullah bin al-Zubair r.a.

Pada tahun 64 Hijrah bersamaan dengan tahun 683 Masihi daripada Aishah r.ha. katanya: “Nabi s.a.w. telah bersabda kepadanya yang *bermaksud: “Wahai Aisyah! Kalaulah kerana kaummu (Quraisy) yang masih baru meninggalkan suasana jahiliah (kufur) nescaya aku akan mengarahkan supaya diruntuhkan Kaabah dan dibina semula dengan memasukkan bahagian yang telah dikeluarkan oleh Quraisy dan merendahkan binaan (pintunya) di atas tanah, mengadakan baginya dua pintu, satu di bahagian timur dan satu lagi di bahagian barat, binaannya menurut asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s.”

Kata al-Bukhari: “Bersandarkan kepada hadis ini Ibn al-Zubair r.a. meruntuhkan Kaabah dan membinanya semula menurut apa yang dicita-citakan oleh Rasulullah s.a.w.

Setelah berlaku kepungan terhadap Abdullah bin al-Zubair serta pengikutnya di makkah, mereka telah berselindung di alam Masjidilharam. Tentera yang datang dari Syam di bawah pimpinan al-husain bin Numair telah menyerang mereka. Akibat daripada beberapa serangan tersebut, kebakaran telah berlaku lalu terkena Kaabah.

Terdapat pula riwayat yang mengatakan bahawa kebakaran itu berpunca daripada api yang dinyalakan oleh salah seorang dalam kalangan mereka yang sedang berlindung di dalam Masjidilharam.

Setelah Ibn al-Zubair r.a. bermesyuarat dengan beberapa orang sahabat tentang aabah, Abdullah bin Abbas r.a. mencadangkan agar dibaiki bahagian-bahagian yang rosak sahaja dan setelah beberapa hari selepas kejadian itu Ibn al-Zubair memustuskan untuk membina semula Kaabah berdasarkan haids Aishah. Lalu kaabah diruntuhkan dan beliau membinanya semula mengikut binaan Nabi Ibrahim a.s.

Kesepuluh: Binaan al-Hajjaj, tahun 74H / 693M


Apabila Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi serta tenteranya mengakhiri kepungan terhadap Abdullah bin al-Zubair r.a. dan membunuhnya beliau mengutus surat kepada khalifah Abdul Malik bin Marwan memberitahunya bahawa Ibn al-Zubair telah menambah binaan Kaabah dengan memasukkan Hijr Ismail ke dalam binaan Kaabah dan mengadakan pintu kedua.

Seterusnya Hajjaj meminta izin daripada khalifah untuk mengembalikan Kaabah kepada binaan asal yang dibuat oleh Quraisy. Setelah mendengarnya, khalifah memberi persetujuan dengan cadangan tersebut, kerana pada sangkaannya Ibn al-Zubair telah menambahnya mengikut kemahuannya. Maka ditutupnya pintu kedua sebelah barat, diangkat pintu sebelah timur dan dikembalikan kedudukan Hijr Ismail.

Selepas itu, Abdul Malik bin Marwan bertemu dengan al-Harith bin Abdullah, lantas beliau memberitahu khalifah bahawa apa yang dibuat oleh Ibn al-Zubair ialah berdasarkan hadis yang didengarnya daripada ibu saudaranya Siti Aushah r.ha. Setelah mendengarnya, khalifah terdiam sejenak lalu berkata: “Kalaulah saya tahu hadis ini sebelum membina semula Kaabah sudah tentu saya tidak akan mengubahnya.”

Perhatian:
Sewaktu pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid, baginda telah bertanya kepada Imam Malik r.hm. tentang hasratnya untuk mengembalikan binaan Kaabah mengikut binaan Ibn al-Zubair r.a. kerana binaan tersebut bertepatan dengan hasrat Rasulullah s.a.w.

Jawab Imam Malik: “Saya berseru kepada Tuan Amirul Mukminin kerana Allah, jangan Tuan jadikan Baitullah ini sebagai permainan pemerintah. Setiap orang akan meruntuh dan membina mengikut kehendaknya, dengan itu akan hilang kehebatannya daripada hati-hati orang Mukmin, wabillahit taufiq.”

Kesebelas: Sultan Murad Khan 4, tahun 1040H / 1630M

Selepas binaan Hajjaj, Kaabah kekal dengan binaannya hinggalah zaman pemerintahan Sultan Murad 4, iaitu pada 19 Sya’ban tahun 1039H, apabila berlaku banjir besar yang melanda Makkah dan menyebabkan runtuhnya dinding Kaabah.

Oleh itu, Sultan Murad telah memerintahkan agar dibina kembali Kaabah mengikut binaan asal yang dibuat pada zaman Hajjaj. Kerja-kerja pembinaannya siap pada bulan Ramadan tahun 1040H.

Kedua belas: Arab Saudi


Kaabah dan Masjidilharam kekal berada dalam keadaan tersebut lebih kurang 400 tahun lamanya sehinggalah zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Aziz. Beliau telah melancarkan projek pembesaran dan pembinaan semula Masjidilharam dan Kaabah yang bermula pada tahun 1375H dan disambung pula dengan projek perluasan tempat tawaf dan system pengaliran air Masjidilharam pada 1398H. Kemudian diikuti oleh projek-projek pembaikan berikut:

Pertama:
Pada 18 Rejab 1377H bersamaan 1957M, pada zaman pemerintahan Raja Sa’ud bin Abdul Aziz, telah berlaku keretakan pada dinding Kaabah dan beberapa kerosakan di bahagian atap Kaabah. Raja Sa’ud telah memerintahkan agar memperbaikinya.

Kedua:
Pada tahun 1417H bersamaan 1996M, iaitu pada zaman pemerintahan Khadimul Haramain Raja Fahd bin Abdul Aziz. Kaabah sekali lagi mengalami kerosakan kesan daripada keadaan binaan yang terlalu lama yang dibuat oleh Sultan Murad. Oleh itu, Khadimul Haramain telah mengarahkan agar memperbaharui binaan Kaabah sepenuhnya.