Thursday, December 24, 2009
Doa Doa Asmaul Husna
Berikut adalah doa-doa daripada Asmaul Husna, iaitu doa-doa yang diawali dengan nama nama Allah yang baik. Allah s.w.t. telah menggalakkan agar hamba-Nya berdoa dengan menggunakan nama-nama-Nya, kerana dengan nama-nama tersebut doa itu akan lebih mudah dikabulkan. Dikatakan apabila seorang hambaberdoa dengan menggunakan nama-nama Allah, Allah s.w.t. akan merasa malu kalau Dia tidak kabulkan permintaan hamba-Nya itu. Maka janganlah kita lepaskan peluang yang baik ini. Kita boleh gunakan kesemua 99 nama Allah atau kita boleh memilih mana-mana nama Allah yang sesuai dengan doa yang akan diminta.
Alhamdulillahi rabbil a’lamin, Allahuma solli a’la Muhammad wa a’laa aalihi wa ashaabihi ajamaiin.
Ya Allah, dengan menadahkan tangan-tangan kami ini kepada-Mu, kami mengharapkan Rahmat –Mu, sesungguhnya Rahmat-Mu adalah luas dan meluasi segala sesuatu.
Ya Allah, kami beriman kepada-Mu, kewujudan-Mu dan Kebesaran-Mu, Engkaulah Maha Agung dan Maha segala-galanya.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Rahman, al-Rahim, Engkaulah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kasihanilah kami ya Allah, kami sangat-sangat mengharapkan belas kasihan daripada-Mu ya Allah. Sesungguhnya tidak ada yang dapat memberikan kasih sayang yang sebenarnya melainkan hanya Engkau. Segala kasih sayang yang pernah kami harapkan daripada selain-Mu, ternyata selalu menghampakan kami ya Allah.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Malik, Raja kepada segala raja, kepimpinan-Mu adalah yang terbaik dan akan membawa kepada kebaikan, tidak ada yang lebih baik kepimpinannya melainkan hanya Engkau. Kami reda menjadikan Engkau sebagai Pemimpin kami, yang lebih berhak dipatuhi daripada segala pemimpin yang lain.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Quddus, yang Maha Suci, Engkaulah Tuhan yang bersih daripada segala kelemahan, menyembuh dan mentaati hanya kepada-Mu tidak akan merugikan kami. Sesungguhnya segala pengharapan yang dicurahkan kepada selain Engkau selalu mengecewakan, Kami reda mempertuhankan Engkau Zat yang Maha suci.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Salam, yang Maha Selamat, berikanlah keselamatan kepada kami dan ahli keluarga kami. Peliharalah kami semua daripada segala macam kejahatan dan keburukan. Selamatkanlah kami dengan kebesaran nama-Mu ini daripada segala bencana dunia dan akhirat.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Mukmin, yang Maha Aman, amankanlah kami daripada segala yang kami takuti. Amankanlah ahli keluarga kami daripada segala sengketa, amankanlah kejiranan kami, amankanlah kawasan kami dan amankanlah Negara kami daripada segala kejahatan dan keburukan. Kami sedar bahawa, tidak ada nikmat yang lebih baik daripada hidup dalam keadaan aman sentosa, rukun dan damai.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Muhaimin, yang Maha Memelihara, peliharalah kami daripada segala yang tidak kami kehendaki. Peliharalah kami daripada segala yang keji, peliharalah kami daripada segala penyakit dan iri, peliharalah kami daripada hasad dan dengki. Sesungguhnya sesiapa yang dipelihara oleh-Mu akan selamatlah daripada segala yang tidak baik.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Aziz, yang Maha Mulia, Engkaulah yang termulia, agama-Mu adalah mulia, Nabi-Mu adalah mulia, kitab-Mu adalah mulia, maka masukkanlah kami di kalangan yang mulia.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Jabbar, yang Maha Perkasa bantulah kami yang lemah ini, mengatasi segala muslihat mereka yang memusuhi kami. Berikanlah kekuatan-mu kepada kami.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Mutakabbir, yang Maha Megah, Engkaulah berhak untuk memiliki sifat ini, kerana tidak ada yang lebih hebat daripada Engkau, maka jauhkanlah kami daripada sifat bermegah-megah hingga menyebabkan kami berhak menerima murka-Mu.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Khaliq, yang Maha Pencipta, ciptakanlah untuk kami yang terbaik, ciptakanlah zuriat yang baik untuk kami, kami mahukan seorang anak lelaki/perempuan atau cukuplah sudah anak-anak yang telah Engkau berikan kepada kami. (mintalah mengikut apa yang kita perlukan). Ciptakanlah kesempurnaan pada diri kami.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Barik, yang maha Pembuat, buatkanlah untuk kami apa sahaja yang baik untuk kami dunia dan akhirat dan jauhkan daripada kami segala apa yang akan membinasakan kami.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Musowwir, yang Maha Pembentuk, bentuklah untuk kami apa yang kami kehendaki, bentuklah untuk kami zuriat lelaki/perempuan, kembalikanlah kesempurnaan kami, hanya Engkau sahaja yang berkuasa untuk membentuk dan mengubah segala bentuk.
Ya Allah, dengan nama-Mu al-Ghaffar, kami meminta keampunan-Mu, ampunilah kami ya Allah, seandainya Engkau tidak mengampunkan kami, pastilah kami akan sengsara dunia dan akhirat.
Ya Allah, dengan nama-mu al-Qohhar, yang Maha Pemaksa, kasihanilah kami, dan jangan Engkau paksa kami melakukan sesuatu yang kami tidak mampu melakukannya, janganlah Engkau paksakan kepada kami ujian yang terlalu berat untuk kami, sebaliknya Engkau paksalah mereka, fulan bin fulan (sebut nama-nama) atau sesiapa sahaja untuk menerima kami dan apa-apa daripada kami. Engkaulah maha segala-galanya, dan paksakanlah musuh-musuh kami untuk melakukan sesuatu yang baik untuk kami.
Ya Allah, ya Wahhab, wahi Tuhan yang Maha Pemberi, berikanlah kepada kami apa sahaja yang kami perlukan, (sebutkan apa yang diperlukan), sesungguhnya apa yang Engkau berikan, tidak ada siapa yang dapat menghalang, dan apa sahaja yang tidak Engkau berikan, tidak ada siapa yang dapat memberinya.
Ya Allah, ya Razzaq, wahai Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki, berikanlah kepada kami rezeki-Mu yang banyak, cukukanlah keperluan kami, cukupkanlah keperluan anak-anak kami, cukupkanlah keperluan ahli keluarga kami, janganlah sampai kami terpaksa meminta-minta akibat daripada kekurangan rezeki.
Ya Allah, ya Fattah, wahai Tuhan yang Maha Pembuka, bukakanlah untuk kami kejayaan dalam apa jua usaha kami, bukakanlah pintu kefahaman kami, bukakanlah segala kesusahan dan kesulitan kami.
Ya Allah, ya A’liem, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui, Engkau mengetahui sesuatu yang kami tidak ketahui, Engkau ketahui apa yang ada di dalam hati-hati hamba-hamba-Mu, berikanlah kepada kami apa yang Engkau ketahui baik untuk kami dunia dan akhirat, jaugkanlah dari kami apa-apa yang Engkau ketahui tidak baik untuk kami dunia dan juga akhirat.
Ya Allah, ya Qabidh, wahai Tuhan yang Maha Pencabut, cabutlah segala keburukan yang ada pada kami, dan janganlah Engkau cabut nikmat yang Engkau telah berikan kepada kami lantaran daripada kelalaian dan kesilapan kami, sesungguhnya akan binasalah kami tanpa nikmat daripada-Mu. Sebaliknya Engkau cabutkan sahaja kekuasaan yang ada pada musuh kami .
Ya Allah, ya Basith, wahai Tuhan yang Maha Meluas, kuasa-Mu adalah luas, nikmat-Mu adalah luas, Rahmat-mu adalah luas, segala-gala kepunyaan-mu adalah luas, luaskan Rahmat-Mu kepada kami, luaskan pemberian-Mu kepada kami, luaskanlah pemeliharaan-Mu kepada kami.
Ya Allah, ya Khafidh, wahai Tuhan yang Maha Menjatuhkan, Engkau akan menjatuhkan siapa yang Engkau kehendaki, maka jatuhkan mereka yang memusuhi kami, jatuhkanlah mereka yang berniat mengkhianati kami, Engkaulah maha segala-galanya dan kami tidak ada kuasa dan upaya.
Ya Allah, ya Rafi’, wahai Tuhan yang Maha Mengangkat, angkaylah darjat kami disisi-Mu, angkatlah darjat kami di dunia dan juga di akirat. Angkatlah darjat kami di sisi mereka yang menghina kami.
Ya Allah, ya Mu’iz, wahai Tuhan yang Maha Memuliakan, Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, maka muliakanlah kami di dunia dan akhirat, muliakanlah kami di sisi mereka yang memandang rendah kepada kami. Kalau tidak kepada-Mu, kepada siap lagi hendak kami berserah diri.
Ya Allah, ya Mudzil, wahai Tuhan yang Maha Penghina, tidak akan mulia orang yang Engkau hina dan tidak akan hina orang yang Engkau muliakan, maka kepada-Mulah tempat kami menaruh pengharapan kami, sesungguhnya Engkau tidak akan mensia-siakan kami, janganlah Engkau masukkan kami di kalangan mereka yang hina.
Ya Allah, ya Sami’, wahai Tuhan yang Maha Mendengar, dengarkan segala rintihan kami, dengarlah segala doa dan permintaan kami, janganlah Engkau palingkan diri-Mu daripada kami, lantaran daripada kederhakaan kami, ampunilah kami.
Ya Allah, ya Basir, wahai Tuhan Maha melihat, Engkau melihat siang dan malam, Engkau melihat gelap dan terang, kepada-Mulah kami menyerahkan diri kami, kami lemah tanpa penglihatan-Mu, Engkau dengarkanlah untuk kami apa yang baik untuk kami, Engkau lihatkan untuk kami apa sahaja yang baik untuk kami, siang dan malam, gelap dan terang.
Ya Allah, ya Hakam, wahai Tuhan yang Maha Penentu Hukum, segala hokum-hukum-Mu adalah yang paling adil, hukumkan yang baik untuk kami, dan hukumkanlah yang sebaliknya untuk mereka yang berniat jahat kepada kami. Engkaulah yang Maha Menghukum, dan hukuman-mu adalah dahsyat, jauhkanlah kami daripada mendapatkan hukuman yang buruk daripada-Mu.
Ya Allah, ya A’dl, wahai Tuhan yang Maha Adil, tidak ada yang lebih Adil daripada-Mu, kepada Keadilan-Mu kami beriman, jadikanlah kami orang yang adil, jadikanlah kami ibu/bapa yang adil, jadikanlah kami di kalangan mereka yang sentiasa bersikap adil.
Ya Allah, ya Latif, wahai Tuhan yang Maha Lembut, lembutkanlah kami, lembutkanlah hati kami, lembutkanlah hati fulan bin fulan (sebutkan nama) terhadap kami.
Ya Allah, ya Khabir, wahai Tuhan yang Maha Berwaspada, kewaspadaan-Mu mencakupi segala perkara, peliharalah kami daripada segala mala petaka.
Ya Allah, Ya Halim, wahai Tuhan yang Maha Penyantun, layanilah kami dengan kesantunan-Mu, kami berlindung diri dengan-Mu daripada segala kekerasan-Mu.
Ya Allah, ya A’zim, wahai Tuhan yang Maha Agung, Engkaulah yang paling agung, tidak ada yang lebih agung daripada-Mu, bantulah kami daripada segala pemimpin dan penguasa yang zalim, Engkaulah maha segala-galanya.
Ya Allah, ya Ghafur, wahai Tuhan yang Maha Pengampun, ampunkanlah segala kesalahan dan kesilapan kami, tukarkan kejahatan kami yang lalu dengan kebaikan. Hapuskanlah segala dosa-dosa kami, Kami berharap agar dapat mati dengan keadaan tida dosa ya Allah, sesungguhnya azab-Mu menanti mereka yang berdosa.
Ya Allah, ya Syakur, wahai Tuhan yang Maha Menghargai segala amalan kebaikan hamba-Nya, tatkala manusia tidak menghargai segala usaha kebaikan kami kepada mereka, maka Engkau hargailah segala kebaikan amalan kami, Engkaulah yang mengetahui akan kesungguhan kami, janganlah Engkau sia-siakan segala amalan kami, kami sedar amalan kami terlalu banyak cacat dan kekkurangannya, maka dengan nama-Mu ini kami bermohon semoga Engkau terima segala amalan-amalan kami.
Ya Allah, ya A’liy, wahai Tuhan Maha Tinggi, tiada yang lebih tinggi kedudukannya melainkan hanya Engkau, maka tinggikanlah juga kami dalam penghidupan ini dan janganlah Engkau merendahkan kami.
Ya Allah, ya Kabir, wahai Tuhan yang Maha Besar, tiada yang memiliki kebesaran selain Engkau, jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang akan sentiasa membesarkan hanya Engkau, janganlah Engkau jadikan kami di kalangan mereka yang membesarkan penghidupan dunia, membesarkan harta, membesarkan kedudukan dan pangkat, membesarkan manusia. Kami sedar sikap sedemikian hanya akan menyebabkan Engkau murka, maka jauhkanlah kami daripada segala yang menyebabkan kemurkaan-mu.
Ya Allah, ya Hafiz, wahai Tuhan yang Maha Memelihara, peliharalah kami semua, peliharalah anak-anak kami daripada segala bencana keburukan, peliharalah kesemua ahli keluarga dan mereka yang kami sayangi daripada segala yang tidak diingini, bencana, wabak, penyakit, kemiskinan, perangai dan lain-lain keburukan.
Ya Allah, ya Muqith, wahai Tuhan yang Maha Menepati Waktu, tiada yang lebih daripada-Mu, setiap ciptaan-Mu telah Engkau berikan tempoh dan masa, berikanlah kami waktu yang membolehkan kami berbakti kepada-Mu, sebaliknya Engkau matikan kami bilamana Engkau ketahui dengan waktu itu kami hanya akan menjauhi-Mu.
Ya Allah, ya Hasib, wahai Tuhan yang Maha Penghitung, tiada siapa yang lebih tepat dan cepat menghitung daripada-Mu, dengan keimanan kami terhadap nama dan sifat-Mu ini, maka berilah perhitungan yang baik kepada amalan baik kami dan janganlah Engkau ambil kira keburukan dan kejahatan kami, ampunkanlah segala kesalahan kami yang lalu.
Ya Allah, ya Jalil, wahai Tuhan yang memiliki sifat Keagungan, tiada yang lebih agung daripada-Mu, terimalah pengakuan ikhlas kami ini dan tetapkanlah kami dalam keimanan ini, bahawa tiada yang lebih agung dalam kehidupan kami melainkan Engkau.
Ya Allah, ya Karim, wahai Tuhan yang Maha Mulia, tiada yang lebih mulia daripada-Mu, maka muliakan kami yang beriman kepada kemuliaan-Mu, hinakanlah mereka yang tidak beriman kepada kemuliaan-Mu.
Ya Allah, ya Raqib, wahai Tuhan yang Maha mengawas, pengawasan-Mu mencakupi setiap pelusuk alam ini, tiada satu pun yang terluput daripada pemerhatian-Mu, maka berikanlah pengawasan-Mu kepada kami, perhatikanlah anak-anak kami, ahli keluarga kami, harta benda kami semasa ketiadaan kami.
Ya Allah, ya Mujib, wahai Tuhan yang Maha Memperkenankandoa, perkenanlah segala permintaan kami, janganlah Engkau biarkan tangan-tangan yang menadah ini dalam keadaan kosong dan sia-sia, kasihanilah kami, sukupkanlah segala keperluan kami, jauhkan kami daripada keterpaksaan meminta dan mengemis, hanya kepada-Mulah tempat kami meminta.
Ya Allah, ya Wasi’, wahai Tuhan yang Maha Luas, kurniaan-Mu adalah luas, Rahmat-Mu juga adalah luas, maka luaskanlah kurniaan dan rahmat-Mu kepada kami.
Ya Allah, ya Hakim, wahai Tuhan yang Maha Bijaksana, tiada yang lebih bijak daripada-Mu, kebijaksanaan-Mu meliputi ciptaan-Mu dan segala hokum penetapan-Mu, maka dengan keimanan kami terhadap kebijaksanaan_mu ini, berikanlah kebaikan daripadanya jadikanlah kami di kalangan mereka yang sentiasa menyanjungi ciptaandari hukum-hukum-Mu, termasuk juga hokum syariat-Mu, janganlah Engkau jadikan hati dan pemikiran kami meremehkan hokum-hukum-Mu.
Ya Allah, ya Wadud, Engkaulah Tuhan yang Maha Menyintai, cinta-Mu adalah hakiki, cinta-Mu adalah sejati, maka cintailah kami, teruskan menyintai kami dan jadikanlah kami di kalangan hamba-Mu yang menyintai –Mu, menyintai Nabi utusan-Mu, menyintai kitab-Mu, meyintai agama-Mu dan menyintai segala orang yang Engkau cintai. Jadikanlah harti kami benci kepada segala yang Engkau benci.
Ya Allah, ya Majid, Engkaulah yang Maha Pemurah, murahkanlah kurniaan-Mu kepada kami, murahkan rezeki-Mu kepada kami.
Ya Allah, ya Ba’is, Tuhan yang Membangkitkan, kami beriman bahawasanya Engkau akan bangkitkan kami sesudah mati nanti, bangkitkanlah kami dalam kebaikan dan bersama orang-orang yang baik, bangkitkanlah kami untuk mendapatkan kebaikan, kemuliaan dan keindahan syurga-Mu. Janganlah Engkau bangkitkan kami dalam keadaan dosa yang tidak terampun, ingatkanlah kami kepada hari pembangkitan-Mu, janganlah Engkau lalaikan kami daripadanya.
Ya Allah ya Tuhan kami, dengan menggunakan sebahagian daripada nama-nama-Mu yang baik ini, kabulkanlah permintaan kami. Engkau telah menjanjikan akan mengkabulkan permintaan mereka yang berdoa dengan menggunakan nama-nama-Mu. Kabulkanlah permintaan kami ya Allah, janganlah Engkau sia-siakan doa kami ini.
Kami beriman kepada-Mu, beriman kepada nama-nama-Mu, dan beriman kepada sifat-sifat-Mu yang agung. Tiada Tuhan melainkan hanya Engkau, tiada yang berkuasa melainkan hanya Engkau.
Wa solallaahu a’laa nabiyyikal karim wa a’laa aalihi wasohbihi ajmain, wal hamdulillahi rabbil a’lamin.
No comments:
Post a Comment